suria

Kisah Tun Abdul Razak di pentas Istana Budaya

MEREKA bermula kecil, bagi mengkisahkan perjalanan hidup seorang yang besar peribadi dan peranannya untuk Malaysia - Perdana Menteri kedua, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Tahun lepas Aswara - Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan - mementaskan Muzikal Tun Abdul Razak melalui siri Gema Merdekanya sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-51.

"Bermula di London, Berakhir di London," kisah Tun Abdul Razak disingkap oleh pelajar-pelajar Aswara ini selama tiga hari di bawah arahan Khairunazwan Rodzy, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater daripada naskhah yang asalnya ditulis Mohd Izzuddin Ismail, pelajar Diploma Penulisan Kreatif tahun ketiga, dan diolah Nor Najwa Azmee, lulusan Diploma Penulisan Kreatif.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyaksikan persembahan mengenai allahyarham bapanya pada hari terakhir pementasan di Panggung Eksprimen pada 22 Okt 2008.

Muzikal Tun Abdul Razak wajar dipentaskan lagi! cadang beberapa pihak yang menonton persembahan pelajar-pelajar itu dan kali ini ia diangkat ke pentas dan pada skala yang lebih besar, di Panggung Sari Istana Budaya pada 16-20 Ogos sempena bulan Kemerdekaan ke-52.

Ini bermakna Aswara mencipta sejarah sendiri menjadi institut pengajian tinggi awam yang pertama diberi penghormatan membuat persembahan muzikal di IB.

TUKAR PENGARAH

Arahan pementasan juga beralih di bawah nama besar Datuk Rahim Razali - pelakon, penulis skrip, pengarah drama dan filem serta penggiat teater terkenal di Malaysia.

Untuk watak Tun Abdul Razak dan isteri Tun Rahah Mohd Noah, dua artis ternama mengambil alih -- Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff -- selebihnya 66 lagi pelakon yang berkongsi pentas dengan mereka ialah pelajar-pelajar Aswara sendiri, menjadikan seramai 175 orang bergabung tenaga membuat persembahan ini termasuk ahli muzik.

Bagaimanapun untuk persembahan matinee pada pukul 3 petang 17 hingga 18 Ogos, kedua-dua watak utama itu dilakonkan sendiri oleh pelajar Aswara. Pada tahun lepas watak Tun Abdul Razak dilakonkan oleh pelajar Rime Nazren Abdul Razak yang cemerlang lakonannya sehingga menerima banyak pujian. Ternyata Aswara melahirkan ramai anak sesi berbakat.

Persembahan muzikal ini bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan Tun Abdul Razak yang walaupun hanya enam tahun menjadi perdana menteri, memberi sumbangan besar kepada dasar dan pelaksanaan pembangunan politik, ekonomi dan sosial Malaysia.

KISAH LONDON

"Bermula di London, Berakhir di London" mengkisahkan pada awalnya berita kematian Tun Abdul Razak pada 14 Jan 1976 di London dan kisah yang dimulakan dengan persembahan Borea Anak Tanjung itu terhenti secara simboliknya, kerana masing-masing terkejut dengan berita kematian perdana menteri itu.

Kemudian kisah diimbas menyoroti detik-detik awal kepimpinan dan perjuangan Tun Abdul Razak semasa melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, London.

Semasa di England, beliau menjadi anggota parti Buruh British dan pemimpin pelajar Kesatuan Melayu Great Britain yang terkenal. Beliau turut menubuhkan Malayan Forum, sebuah organisasi untuk pelajar Malaya membincangkan isu politik negara.

Tun Abdul Razak kembali ke London pada 1956 selepas pulang ke tanah air dan menjadi Ketua Pemuda Umno, Menteri Besar Pahang dan menang pilihan raya umum negara yang pertama pada 1955.

Kali ini beliau ke London kerana menyertai rombongan menuntut kemerdekaan negara.

DASAR KEPIMPINAN

"Buku Merah, Buku Hijau, pembukaan Felda, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan Tun Abdul Razak pada tahun 1971 dan penubuhan Barisan Nasional pada 1973 untuk menggantikan parti Perikatan ialah antara babak-babak yang diselitkan dalam persembahan itu.

Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak juga diperkenalkan Rukun Negara yang lima prinsip utamanya menjadi ideologi nasional tentang ikrar rakyat ke arah membentuk masyarakat yang berpegang kepada tunggak yang sama, bertatasusila dan mendaulati undang-undang serta setia pada negara. Pada asasnya prinsip ini juga yang mengisi ciri-ciri 1Malaysia yang diperkenal anaknya Perdana Menteri, Najib.

Ketokohan dan kebijaksanaan Bapa Pembangunan Malaysia ini dalam menangani konfrontasi dengan Indonesia, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan mengadakan hubungan diplomatik dengan China demi membebaskan Malaysia daripada ancaman komunis, ditonjolkan dengan baik dalam muzikal ini.

Tun Abdul Razak juga diingati kerana hubungan baiknya dengan masyarakat, sering melawat mereka di desa-desa, termasuk dengan menunggang basikal.

Dipertontonkan juga babak sebagai bapa, yang dalam kesibukan sebagai Perdana Menteri, masih sempat meluangkan masa menyambut hari jadi anak bongsunya Nazir ketika berusia 2 tahun, berkawan dengan sahabat baiknya Tan Sri Taib Andak, tidakkan gemarkan warna hijau dan pakaian berjalur serta sukakan masakan ikan patin.

BABAK BERMAKNA

Antara momen sedih ialah perbualan terakhir di antara dua sahabat, Tun Abdul Razak dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman, ketika Tun Abdul Razak mahu berlepas menghadiri mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (Chogm) di Kanada.

Bicara mereka dalam keadaan mereka sedar dan berkongsi rahsia penyakit masing-masing, Tun Abdul Razak menghidap leukemia dan Tun Dr Ismail, masalah jantung dan kanser tekak.

Tun Dr Ismail meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 akibat serangan jantung ketika memangku jawatan perdana menteri, membawa bersamanya rahsia penyakit Tun Abdul Razak.

Satu lagi momen ialah perbualan allahyarham dengan isterinya Tun Rahah sebelum negarawan ini mahu berlepas ke Perancis dalam keadaannya yang memang sudah tidak sihat, dan isterinya setia menyiapkan beg bajunya.

Tun Abdul Razak disahkan menghidap leukemia pada 1969. Bayangkan bagaimana kuatnya semangat beliau untuk bekerja pada ketika jangka hayat hidupnya diberitahu doktor tidak lama dan dalam masa yang sama merahsiakan masalah itu daripada mereka yang rapat dan disayanginya termasuk Tun Rahah.

Dalam perbualan itu, Tun Rahah menyuarakan dalam nada bertanya, kenapa Tun Abdul Razak tidak kembali terus ke Malaysia selepas ke Paris, tetapi mahu singgah di London (tanpa diketahuinya untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di sana).

Tambah memilukan ialah visual yang mengiringi momen sedih - Tun Dr Ismail yang aktif berkunjung ke merata pelusuk tanah air ketika berkhidmat, begitu juga tayangan semasa jenazah allahyarham Tun Abdul Razak tiba dengan pesawat dari London dan ribuan rakyat menunggu dalam kesedihan di lapangan terbang Subang.

LAGU KEGEMARAN

Persembahan muzikal ini memasukkan 22 buah lagu yang disokong dengan prop dan visual babak-babak sejarah yang menarik. Antara lagu-lagu itu terselit kegemaran Tun Abdul Razak seperti Enjit-enjit Semut dan Joget Pahang.

Rahim semasa ditemui selepas majlis pratonton pementasan ini berkata kalau diikutkan pementasan muzikal, semua dialog ialah di dalam lagu tetapi persembahan ini istimewa kerana bersifat sejarah dan ada fakta yang mahu diperjelas melalui dialog.

Cuma pada momen atau babak yang menyentuh emosi, lagu diperbanyak dan ditekankan.

Rashidi yang membotakkan bahagian depan kepalanya untuk menyerupai Tun Abdul Razak, berkata allahyarham yang dikaji peribadinya dan daripada cerita Tun Rahah, pelembut orangnya, tidak pernah meninggikan suara. Itu yang tidak dapat diikuti Rashidi kerana di atas pentas besar seperti IB, beliau terpaksa melontarkan suaranya dengan lebih kuat.

Dengan persembahan yang begitu meriah dan sarat dengan fakta sejarah mengenai tokoh negara ini, terbukti Aswara berjaya menggabungkan tenaga muda untuk memberikan persembahan yang meyakinkan sebagai tanda apresiasi kepada seorang negarawan berjiwa besar yang bukan lahir dalam zaman mereka. BERNAMA

Artikel Lain