suria

Kerjasama, itulah amalan sebaiknya

BAGI peminat cerita kartun atau animasi, terutamanya kanak-kanak, kini ada satu siri animasi (versi yang dialih ke Bahasa Malaysia) ditayangkan di saluran sebuah stesen televisyen swasta mengenai tiga haiwan peliharaan yang saling membantu dan bekerjasama menyelamatkan haiwan lain yang berada dalam bahaya atau kecemasan.

Setiap episod siri 'Wonder Pets' itu akan berakhir dengan tiga watak utama haiwan peliharaan, iaitu seekor hamster (Linny), kura-kura (Tuck) dan itik (Ming-Ming) menyanyikan "...Apa yang penting? Kerjasama. Apa yang penting? Kerjasama...".

(Versi Bahasa Inggeris siri animasi itu turut ditayangkan di sebuah saluran stesen televisen satelit).

Siri animasi itu, walaupun hanya sesuai bagi anak-anak kecil, kini meningkat popular bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga remaja dan golongan dewasa.

Menurut tinjauan Bernama, apa yang membuatkan siri itu semakin menarik minat ramai ialah nyanyian "...Apa Yang penting? Kerjasama... Apa Yang Penting? Kerjasama..." oleh tiga watak utama haiwan peliharaan cerita berkenaan.

Difahamkan versi alih bahasa itu lebih menarik ramai penonton jika dibandingkan dengan versi asal bahasa Inggeris.

Bahkan nyanyian itu dijadikan nada dering yang menerima sambutan hangat pengguna telefon bimbit.

BERAT SAMA DIPIKUL RINGAN SAMA DIJINJING

Tetapi apa yang signifikan daripada siri animasi itu ialah penggunaan perkataan 'kerjasama'.

Apa itu kerjasama?

"Sejak kita kecil lagi, kita diajar dengan pepatah 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Samalah dengan konsep gotong-royong di mana kerja yang berat kalau diusahakan bersama, maka menjadi ringanlah ia. Itulah yang dimaksudkan dengan kerjasama", menurut seorang penjawat awam Zaidah Zainal.

Bagi ibu kepada tiga anak itu, kerjasama boleh diwujudkan di mana-mana sama ada dalam keluarga, di tempat kerja di dalam sebuah organisasi atau pun dalam pelbagai bidang lain.

"Contohnya dalam operasi dan pentadbiran sebuah wad di hospital, mestilah ada kerjasama dari mereka yang merawat seperti pakar dan pegawai perubatan, , jururawat, pembantu perubatan dan petugas sokongan. Begitu juga di pihak keluarga pesakit serta pesakit itu sendiri.

"Begitu juga di kampung dan di bandar, kalau ada majlis kenduri sama ada untuk perkahwinan atau yang lain, kerjasama iaitu gotong-royong antara penduduk akan melancarkan perjalanan majlis dan meringankan beban kepada mereka yang menganjurkan majlis itu," katanya.

PERKARA UNIVERSAL

Bagi pengurus kewangan sektor swasta Dayang Aminah Abu Bakar, konsep kerjasama ialah satu perkara yang universal dan merangkumi pelbagai bidang seperti kerjasama dalam bidang ekonomi, kerjasama orang ramai dalam pencegahan jenayah, kerjasama mencegah penyakit berjangkit seperti penularan pandemik selesema H1N1 baru-baru.

"Ia adalah 'team work' iaitu kerja berpasukan. Sukar hendak melaksanakan sesuatu tanpa kerjasama. Kita sebagai satu komuniti yang besar dalam sebuah negara aman dan damai di mana perlunya saling tolong menolong untuk menyelesaikan masalah kepentingan bersama,", kata beliau.

Pegawai perubatan Dr P. Ragesh berkata kerjasama bermakna bekerja bersama, bersama-sama memikirkan tentang penyelesaian masalah dan bersama-sama menikmati hasil yang dicapai.

"Alangkah baiknya jika pemimpin-pemimpin kita dapat bekerjasama untuk kepentingan rakyat dan negara tanpa menghiraukan fahaman politik masing-masing. Sudah tentu ini dapat membawa negara ke mercu pembangunan dan kemakmuran yang lebih tinggi," katanya.

Menurut Dr Ragesh, apabila kita ingin menerapkan suatu kerjasama yang baik serta efektif dalam pengurusan operasi kerja maka kita harus ada pembahagian tugas.

"Kita juga harus memberi contoh yang baik. Bagaimana hendak kerja secara efisyen dan efektif. Terlampau banyak bercakap tentang kerjasama pun tak guna, lebih baik beri contoh bagaimana kerjasama yang baik boleh dijalankan.

KERJASAMA DALAM GAGASAN 1MALAYSIA

Konsep kerjasama inilah antara intipati penting yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri mahukan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama serta kebudayaan bersatu dan bekerjasama untuk membawa Malaysia ke mercu yang lebih gemilang.

Seperti kata watak-watak haiwan comel dalam siri animasi itu:

"Apa yang penting? Kerjasama!

Apa yang penting? Kerjasama!.

"Kami tak besar. Dan kami tak kuat.

"Bila bekerjasama semua jadi mudah"

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain