PASIR PUTEH: Kompleks pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, Pasir Puteh akan berperanan ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan mengubah wajah bandar baru nelayan di pesisir pantai apabila ia mula beroperasi awal tahun depan.Projek mega yang dibangun dan dirancang di bawah Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) itu akan menjadikannya sebuah bandar baru yang termoden di wilayah ini.Lengkap dengan pelbagai kemudahan terutama ruang pendaratan, kemudahan dermaga, pusat pemerosesan berasaskan ikan, pusat jualan, bekalan subsidi minyak diesel/petrol dan pejabat pentadbiran, kompleks berkenaan akan mengubah taraf hidup nelayan yang kini masih berada dalam belenggu kemiskinan.Malah ia merupakan pemangkin dan pelengkap kepada proses pembangunan bandar baru itu yang kini membangun agak perlahan tidak seiring dengan pembangunan pesat di negeri jiran terutama Terengganu dan Pahang.Timbalan Ketua Pengarah LKIM, Mohad Khazin Hamzah berkata pada mulanya kompleks itu akan beroperasi selepas menyambut Aidilfitri yang lepas tetapi terpaksa ditunda selewat-lewatnya awal tahun depan atas sebab masalah teknikal."Ini terutama masalah pendawaian elektrik yang belum selesai dilaksanakan oleh kontraktor," katanya ketika ditemui di sini. DARATKAN IKAN DENGAN JUMLAH BESARKompleks berharga lebih RM80 juta yang dibina mengandungi beberapa fasa itu terletak di kawasan strategik kira-kira satu kilometer dari Laut China Selatan dengan menyusuri Terusan Semerak, yang mula dibina sejak lima tahun lepas dengan membabitkan kawasan seluas lebih 40 hektar.Mohad berkata kompleks itu dijangka dilanggani lebih 1,000 orang sehari yang terdiri pemborong ikan dari seluruh negeri Kelantan dan sebahagian Terengganu untuk mendapatkan harga yang berpatutan selain ikan yang lebih segar.Beliau berkata ia sangat berpotensi dan dapat mengatasi kompleks-kompleks LKIM di Kuantan dan Terengganu berasaskan kepada beberapa kelebihan terutama berupaya mendaratkan ikan dengan jumlah yang berskala besar.Terdapat antara 300 dan 400 buah bot laut dalam tidak termasuk bot nelayan pantai yang kini mendarat di merata tempat akan diwajibkan mendarat di situ sebaik ia beroperasi.Mohad berkata selain itu ia beroperasi di kawasan yang lebih menarik dengan membabitkan kawasan lebih 40 hektar berbanding 10 hektar di Kuantan. PELUANG PEKERJAAN DAN PERNIAGAANBeliau berkata pihaknya juga menyediakan 15 tapak untuk menempatkan projek-projek yang akan dilaksanakan di bawah ECER bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.Kompleks berkenaan akan memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada nelayan miskin di mana penempatan mereka menerusi projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) dengan kos RM27 juta dijangka siap dibina tidak lama lagi.Selain itu pembangunannya akan lebih terserlah apabila jalan baru dari Alor Pasir ke kompleks itu sejauh 10 kilometer siap dibina pada tahun depan selepas beberapa kali pembinaannya tergendala disebabkan masalah kontraktor gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.Jalan berkenaan yang berharga lebih RM60 juta yang merintangi Sungai Semerak akan memberi kemudahan kepada penduduk di Jajahan Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah termasuk Jeli apabila ia dapat memendekkan perjalanan hampir lima kilometer berbanding jalan sekarang dari Tebing Tinggi ke Tok Bali.Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Semerak, Datuk Mohd Jelani Jaafar berharap kompleks berkenaan dapat dibuka segera dan tidak lagi ditangguhkan dengan pelbagai alasan. MASALAH BERLABUH"Kami mahu kompleks dibuka segera, kami sudah lama bersabar, kami ingin menikmati pembangunan sebenar dan kami tidak mahu ia ditangguh-tangguhkan lagi," katanya.Beliau berkata kaum nelayan di situ yang turut disertai dari Besut, Bachok, Kota Baharu dan Tumpat selain Semerak kini terpaksa mendaratkan ikan-ikan mereka di jeti persendirian di merata-rata tempat dalam keadaan yang tidak selesa setiap hari kerana tiada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sebagaimana di Terengganu dan Pahang.Mohd Jelani, yang juga bekas anggota Dewan Undangan (DUN) Barisan Nasional (BN) Semerak, berkata keperluan itu lebih mendesak setiap kali musim tengkujuh (dari November hingga Januari) kerana bot-bot mereka hanya boleh berlabuh di Tok Bali.Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan pengguna berkata keadaan bandar Tok Bali sekarang tidak seindah sebagaimana yang diwar-warkan selain projek-projek pembangunan bergerak perlahan, harga ikan yang dipasarkan di merata-rata tempat tidak berbeza jika dibandingkan di tempat lain seperti di pasar Pasir Puteh dan Kota Baharu.Seorang suri rumah Nik Aishah Nik Hassan, 48, dari Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh berkata ini termasuk harga ikan kembung di Tok Bali dijual dengan harga RM9 sekilo di Pasar Besar Pasir Puteh dan di sekitarnya termasuk di Seri Aman harganya tidak jauh berbeza manakala kualitinya pula hampir sama."Bagi menjimatkan perbelanjaan lebih baik saya beli di pasar Pasir Puteh kerana saya tidak perlu mengisi minyak kereta bagi perjalanan membeli ikan di Tok Bali," katanya.Pengurus Syarikat Perikanan Laut Dalam Jet-7 (M) Sdn Bhd, Abdul Rahman Hamat berkata pihaknya tidak pernah menaikkan harga ikan malah harga yang djual masih kekal seperti biasa terutama ikan kembung antara RM7 dan RM8 sekilo.Kenaikan itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak orang tengah (pemborong) yang membeli sebaik sahaja ikan didaratkan dan menjualnya kepada pengguna di kawasan pendaratan itu bagi mendapatkan keuntungan segera."Ini berpunca tiada yang mengawalnya daripada dimonopoli harga ikan yang berpatutan," katanya. BERNAMA