BADAK sumbu dari Sabah kian menjadi perhatian sebagai maskot untuk hutan hujan tropika Malaysia di Jerman, berikutan usaha giat yang dijalankan bagi menyelamatkan spesies terancam itu yang dikatakan semakin pupus.Pelbagai persatuan dan masyarakat pencinta haiwan di Jerman mengutarakan secara besar-besaran mengenai hakikat bahawa hanya tinggal 50 ekor sahaja badak sumbu Sabah - definisi zoologi ialah 'dicerorhinus sumatrensis harrisoni' - yang adalah subspesies badak sumbu Sumatra.Para saintis di Institut Zoologi dan Penyelidikan Hidupan Liar Leibniz, Berlin telah memulakan satu program secara giat untuk melindungi hingga kepada pembiakan haiwan berkenaan bersama-sama dengan pihak Zoo Leipzig, kerajaan Malaysia, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pertubuhan Bersekutu Badak Sumbu Borneo."Telah tiba masanya kita menyelamatkan spesies ini. Badak sumbu Sabah adalah warisan budaya rantau kita. Kini kita memerlukan kepakaran profesional," Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dipetik sebagai berkata semasa beliau menerima kunjungan sekumpulan penyelidik dari Institut Zoologi dan Penyelidikan Hidupan Liar Leibniz dan Zoo Leipzig pada minggu lepas.Badak sumbu Sabah dianggap sebagai spesies indikator bagi ekosistem yang berkeadaan baik - hutan tropika tanah rendah. Seandainya spesies ini pupus, spesies lain, yang bilangannya juga rendah dan tinggal di bawah perlindungan ekologi badak sumbu Sabah juga akan menerima nasib yang sama. BANTUAN DARIPADA INSTITUT LEIBNIZ"Para saintis di Institut Zoologi dan Penyelidikan Hidupan Liar Leibniz akan membantu kami dengan kepakaran mereka dalam bidang perubatan pembiakan untuk mengenalpasti status kesihatan dan kesuburan haiwan berkenaan," kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Dr Laurentius Ambu, selepas bermesyuarat dengan semua rakan projek di Kota Kinabalu.Menurut Ambu, para pakar berkenaan akan mengusulkan cadangan kepada pihak Malaysia mengenai bagaimana untuk mewujudkan satu program pembiakan yang berjaya untuk spesies berkenaan.Badak sumbu Sabah, yang hanya berukuran 1.30 meter tinggi ialah badak sumbu terkecil di dunia. Habitatnya di hutan tropika tanah rendah di Sabah, terancam kerana pertumbuhan pesat ladang kelapa sawit. Akibatnya, haiwan unik itu terpisah daripada alam habitatnya dan tidak boleh membiak dengan baik.Seorang penyelidik Jerman memberitahu Bernama bahawa kerajaan Malaysia telahpun menubuhkan satu stesen pembiakan dengan kerjasama Pertubuhan Bersekutu Badak Sumbu Borneo bagi badak sumbu Sabah. Dalam santuari ini, haiwan berkenaan mempunyai peluang untuk membiak."Pertamanya, kita hendaklah memeriksa sama ada haiwan berkenaan berupaya untuk membiak," Dr Petra Kretzschmar dari Institut Leibniz dilaporkan berkata. KESUBURAN HAIWAN PENTINGIni kerana terdapat petunjuk, menurut penyelidik Jerman, bahawa kesuburan haiwan berkenaan mungkin berkurangan kesan daripada penggunaan racun serangga untuk penanaman pokok kelapa sawit.Bagi melindungi spesies berkenaan, para penyelidik Jerman berkata adalah penting untuk bertindak segera. Oleh itu, para penyelidik berkenaan ingin mencuba persenyawaan, menggunakan cara terkini bagi membantu pembiakan mamalia.Sepasukan pakar doktor dari Institut Leibniz yang diketuai oleh Dr. Thomas Hildebrandt, yang telahpun mencapai kejayaan dalam membiak badak sumbu, akan terlibat dalam program pembiakan itu.Menurut Zoo Leipzig, pihaknya akan melihat kebergantungan hidup optimum haiwan berkenaan dan melatih pekerja tempatan di stesen pembiakan itu.Projek berkenaan juga akan membantu melindungi hutan hujan berkenaan dengan penglibatan penduduk tempatan.Apa pun, satu program maklumat dan pendidikan peringkat tempatan dan antarabangsa dapat membantu orang ramai untuk lebih memahami akan kepentingan perlindungan bagi badak sumbu dan hutan tropikanya.Pada 2011, Zoo Leipzig akan membuka 'Gondwana Land' yang akan menjadi replika hutan tropika manakala spesies haiwan yang tinggal di dalamnya sebagai duta hutan tropika yang berada dalam ancaman.Projek Pemuliharaan Badak Sumbu Sabah akan dizahirkan di dewan tropika Gondwana Land untuk tontonan berjuta orang ramai dan seterusnya memberi sumbangan penting kepada perlindungan spesies badak sumbu Sabah. BERNAMA