suria

Hidup Bersatu Padu, Itulah Rakyat Sarawak Selama Ini

Penduduk Sarawak digelar sebagai rakyat yang paling bertoleransi di Malaysia. -Foto BERNAMA.
Penduduk Sarawak digelar sebagai rakyat yang paling bertoleransi di Malaysia. -Foto BERNAMA.
Penduduk Sarawak digelar sebagai rakyat yang paling bertoleransi di Malaysia. -Foto BERNAMA.

(Penulis menyertai program integrasi/inap desa di Bahagian Sri Aman, Sarawak yang dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional baru-baru ini.)

MUNGKIN janggal dirasakan oleh penduduk Sarawak sendiri bila mereka digelar sebagai rakyat yang paling bertoleransi di Malaysia.

Ini memandangkan selama ini rakyat Sarawak memang hidup aman damai dalam suasana harmoni di tengah-tengah pelbagai budaya dan adat resam yang diamalkan 25 kumpulan etniknya tanpa perlu mematuhi apa-apa slogan.

Lama sebelum '1Malaysia' menjadi satu perkataan penuh bermakna dalam perbendaharaan kata negara ini, 'perpaduan dalam kepelbagaian' telah sedia terjalin dalam komponen sosial, emosi dan ekspresi yang mencerminkan identiti Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyedari keadaan ini, memuji Sarawak (serta Sabah) sebagai contoh paling bertenaga bagaimana konsep 1Malaysia dilaksanakan. Hidup dengan semangat perpaduan telah sekian lama terjadi sejak nenek moyang mereka dan kekal sehingga kini.

Di Lubok Antu, satu daerah pelbagai kaum di Bahagian Sri Aman (majoriti penduduknya dari kaum Iban, serta Cina, Melayu dan Bidayuh), topik perpaduan adalah tidak asing bagi penduduk Iban yang tinggal di rumah panjang.

Dengan semua komuniti tinggal di bawah satu bumbung, pandangan mereka terhadap perpaduan begitu menyeluruh, sama seperti struktur sosial mereka yang unik.

KAMI SATU KELUARGA

Di rumah panjang Kampung Batu Bebini Atas yang menaungi 30 keluarga dan mempunyai bahagian masing-masing, ia bagai satu keluarga besar yang meriah di mana ibu bapa, anak-anak, saudara-mara tinggal bersama. Semuanya hidup sebumbung di bawah satu ketua keluarga.

Walaupun masih mengamalkan adat serta tradisi, keramahan penghuni ini begitu ketara dan kebanyakan penduduk rumah panjang ini, yang beragama Kristian, menerima kunjungan pelawat dengan tangan terbuka.

Tuai rumah (ketua), Seblie anak Mujab menceritakan suasana dan kehidupan harmoni di rumah panjang itu.

"Penghuni di sini memang mengenali satu sama lain dan mereka menghormati semua orang, mereka tahu menghormati tentang adat, pantang larang juga cara hidup di sini," kata beliau.

Tambah Seblie, kahwin campur juga biasa bagi masyarakat Iban dan integrasi pelbagai kaum di dalam rumah panjang merupakan amalan yang diterima. Rumah panjang yang dikunjung penulis mempunyai suri rumah berbangsa India yang suaminya Iban, manakala ada yang mengahwini wanita Islam.

"Perbezaan kaum bukanlah satu alasan menghalang kami daripada hidup bersama", kata beliau.

TERBUKA BINCANG MASALAH

Dengan perhatian terhadap rakyat Sarawak sebagai 'model' perpaduan bagi seluruh negara, Paul ak Bakar, 27, berkata negeri itu menerima satu penghormatan yang besar.

Menurut bapa keturunan Iban itu, tahap kepercayaan sesama rakyat Sarawak adalah tinggi, dan belajar menghormati orang lain daripada keturunan serta latar belakang berbeza telah membantu mereka menjadi lebih bijaksana.

"Kami bersyukur walaupun berbeza agama dan bangsa, tak bergaduh macam di luar negara. Perhubungan di rumah panjang saling bantu membantu. Kalau ada kahwin campur, kami layan sama macam ahli keluarga."

Isteri Paul, Diana ak Beriak, 24, menambah kata: "Di sini kami elak menyinggung perasaan orang lain. Kalau ada masalah, boleh bawa berbincang. Di sini (Sarawak) kami boleh berbincang dengan terbuka dan cari penyelesaian."

Kedua-dua mereka yang tinggal di Kuching kerana kerjaya Paul, membuat pelawaan terbuka bagi sesiapa yang mahu memahami mekanisme kebudayaan di Sarawak.

"Mereka yang dari Semenanjung perlu datang ke negeri ini melawat rumah panjang bagi menyelami kehidupan dan bergaul dengan rakyat tempatan. Kami jamin ia akan menjadi satu pengalaman yang membuka mata".

KONGSI NILAI DAN ASPIRASI SAMA

Meninggalkan kehidupan komuniti di Kampung Batu Bebini Atas dan memasuki pula kesibukan kehidupan di Sri Aman, menyaksikan semua penduduk tempatan bertutur bahasa Iban walaupun mereka daripada berlainan keturunan.

Bahkan pengamatan yang menarik antara lain ialah seolah-olah ada rekat sosial yang kuat dalam kalangan penduduk Sarawak.

Menurut penduduk tempatan Norzidah Rosli, 33, beliau boleh berinteraksi dengan semua orang tanpa ada sekatan.

"Di sini majoritinya orang Iban, tapi orang bukan Iban pun boleh bercakap bahasa Iban. Cina ke, Iban, Melayu, perkara tu yang istimewa bagi masyarakat di sini. Bahasa peribumi boleh bercakap dengan kawan-kawan, dan tak rasa kekok."

Menurut Mohd Fazrizal Mohamad, 21, dalam perayaan agama, tauke kedai akan memberikan hadiah bagi mereka yang menyambut perayaan.

"Sikap orang di sini mudah. Tidak kira di sekolah atau, kawasan perumahan, kami senang bercampur. Kahwin campur pun dah biasa sangat kat sini. Ramai saudara mara dari pelbagai kaum, jadi boleh mengenali budaya lain dengan lebih dekat."

RAKYAT MALAYSIA DIDAHULUKAN

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah baru-baru ini mengumumkan Malaysia yakin mencapai matlamatnya menjadi antara negara 10 teratas dalam Global Unity Index dalam masa lima tahun dengan adanya konsep 1Malaysia.

Keyakinan ini berdasarkan kepada kajian tahunan yang dijalankan badan bebas antarabangsa, Global Peace Index, yang menunjukkan indeks perpaduan negara semakin meningkat, dari kedudukan 38 pada tahun 2008 kepada tahap 26 tahun ini.

Beliau juga menyatakan bahawa Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional diarahkan untuk turun padang dan memberi penerangan kepada masyarakat agar mereka memahami pentingnya perpaduan.

Sarawak, walaupun merupakan contoh yang baik bagi konsep '1Malaysia', tetapi ini tidak bermakna ia lengkap.

Bagaimanapun sukar untuk tidak bersikap optimis bila perpaduan diamalkan di negeri ini lebih daripada apa yang diperkatakan.

Dalam satu perhimpunan umum, penduduk tempatan Sri Aman, Tay Lee Hua, 55, duduk semeja sambil makan bersama Dewi Jaafar, 55. Dewi ialah pegawai pergigian dari Sabah dan berketurunan Melanau.

"Saya tahu, saya kelihatan serupa (orang) Cina", kata Dewi yang sedar bahawa sering berlaku kesilapan mengenai keturunan beliau.

Lee Hua memandang jauh sambil tersenyum dan berkata: "Tapi di sini, kami tidak anggap diri kami sebagai Cina, Melayu atau Iban. Kami hanya mengaku kami rakyat Malaysia. Tidakkah itu lebih mudah?" - BERNAMA

Artikel Lain