suria

Miri Destinasi Semulajadi Terbaik Pelawat Singapura

SEJAK adanya penerbangan langsung AirAsia dari Singapura ke bandar raya Miri di Sarawak mulai bulan September lalu, bekas bandar minyak di Bumi Kenyalang itu mula mendapat perhatian pelawat dari kota Singa ini.

Sebelum adanya penerbangan murah ini, pelawat dari pulau Temasek ini biasanya akan ke negeri-negeri di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur untuk bercuti makan angin atau menikmati keindahan alam semulajadi seperti meneroka rimba hijau, mandi di air terjun atau mendaki bukit dan gunung.

Tetapi sejak adanya satusatunya penerbangan terus yang menghubungi kota hutan batu ini dengan kota balak Miri, bandar raya kedua terbesar di Sarawak selepas Kuching, pelawat Singapura kini mula membuka mata ke arah laluan pelancongan baru ini.

Sebenarnya, Sarawak walaupun terletak tidak jauh di sebelah timur utara Singapura dan hanya dipisahkan oleh Laut China Selatan atau sejam sahaja penerbangan dari Changi ke bandar raya Kuching, bumi Kenyalang ini belum betul-betul dikenali oleh orang Singapura.

Penduduk Singapura hanya mula menoleh ke negeri-negeri di kepulauan Borneo di sebelah timur utara Laut China Selatan ini apabila AirAsia memperkenal penerbangan tambang murah dari Changi ke Kuching dan Kota Kinabalu, Sabah, pada November 2008.

Sejak itu, sedikit demi sedikit penduduk Singapura serta ekspatriat yang tinggal di republik ini mula mengunjungi Sarawak, negeri yang mereka kenali sebelum ini, melalui bacaan buku atau novel tulisan orientalis atau penulis barat.

DULU HANYA TERBANG KE KUCHING

Sebelum kedatangan AirAsia, memang sudah ada penerbangan dari Singapura ke Kuching melalui penerbangan syarikat lain tetapi ia tidak menawarkan tambang murah dan jadual penerbangan yang kerap.

Keadaan Sarawak, negeri yang berkawasan luas dan masih kekurangan kemudahan pengangkutan serta penginapan, juga menyebabkan pelawat dari Singapura hanya berpeluang berkunjung ke Kuching dan kawasan berhampiran seperti Santubong, Bau, Kota Samarahan, Lundu, Serian dan Tebedu.

Dan lawatan mereka terhad ke tempat seperti Kampung Budaya Sarawak di Santubong, taman hidupan liar Matang dan Semenggoh, taman-taman negara Bako dan Batang Ai serta Tanah Tinggi Borneo, Tasik Biru, dan rumah panjang Iban dan Bidayuh yang berdekatan.

Pelawat yang bertumpu ke Kuching tidak akan dapat menikmati tarikan sebenar Sarawak yang memang terkenal kaya dengan alam semulajadi seperti rimba belantara, bukit bukau, gunung ganang, sungai-sungai yang menjadi nadi pengangkutan negeri itu serta guagua besarnya yang bersejarah, selain warisan budaya lebih 30 penduduk etnik tempatan.

Menyedari keadaan itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) mengambil langkah proaktif mulai September mempromosi Miri seiringan dengan pengenalan penerbangan tambang murah dan terus dari Singapura ke bandar raya itu melalui pelbagai pameran pelancongan di Singapura seperti anjuran National Association of Travel Agents Singapore dan Pelancongan Malaysia.

Letitia Samuel dari LPS berkata Miri menawarkan pelbagai tarikan pelancongan unik dan semulajadi yang masih belum dikenali atau diketahui rahsianya seperti Gua Niah dan hutan belantara Borneo yang terletak di pinggiran bandar raya itu sahaja.

TAMAN NEGARA NIAH

Para pelawat yang datang ke Miri dengan penerbangan dari Kuala Lumpur atau Kuching kebiasaannya akan terlepas atau tidak akan melawat Taman Negara Niah, serta tempat tarikan lain yang banyak berdekatan bandar raya itu kerana hendak ke Taman Negara Mulu yang lebih popular.

Oleh itu lapangan terbang Miri dijadikan mereka sebagai transit untuk menukar pesawat sebelum terus ke Taman Negara Mulu yang mempunyai guagua besar yang diiktiraf Unesco sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dengan itu, kata Letitia, anak kelahiran Sarawak keturunan Bidayuh, mereka terlepas peluang untuk melawat gua-gua yang tidak kurang besar dan bersejarah dari segi peradaban manusia di Taman Negara Niah.

Gua-gua di Taman Negara Niah pernah diduduki oleh manusia di zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

Gua0gua itu hanya mula diterokai pada 1957 oleh kurator Muzium Sarawak pada masa itu bernama Tom Harrison, yang mengendalikan ekspedisi arkeologi menggali kawasan sekitar gua itu, dan ia masih mempunyai kesan menarik peninggalan sejarah manusia zaman itu.

Di kawasan gua inilah ditemui artefak Palaeolitik atau zaman batu tua dan rangka manusia moden yang tertua di kawasan Asia Tenggara, dan penemuan ini menandakan wujudnya satu peradaban manusia di sini dan menjadikan taman ini satu daripada pusat arkiologi terpenting di dunia.

BURUNG WALIT

Terdapat tiga gua utama di kawasan Taman Negara Niah ini iaitu Gua Pedagang, Gua Besar dan Gua Lukisan.

Gua Pedagang dipanggil demikian kerana mengambil sempena kawasan gua itu dijadikan oleh pedagang tempatan untuk berjual beli sarang burung walit yang dipungut di sekitar gua-gua di Taman Negara Niah.

Pelawat yang ke gua itu masih dapat melihat bekas tapak atau rangka seperti tiang pondok dan kedai tempat pemungut dan penjual sarang burung walit tinggal dan berdagang, di Gua Pedagang, yang dibina lebih 50 tahun lalu.

Walaupun, kegiatan memungut sarang burung walit tidak serancak seperti dari tahun 50an hingga akhir 70-an, pelawat yang masuk ke gua itu sekarang masih akan dapat melihat kegiatan memungut sarang burung walit oleh pemungutpemungut tempatan.

Yang menarik dan mengkagumkan ialah pelawat akan dapat melihat bagaimana pemungut-pemungut ini dengan berlampu suluh diikat di kepala memanjat tiangtiang kayu atau buluh yang disambung dan digantung di siling gua yang kadang kala tingginya seperti tujuh atau lapan tingkat bangunan, mencari sarang burung walit di dalam gua yang gelap gelita itu. Tidak hairanlah pemungut-pemungut ini sangup bertarung nyawa seperti 'Spiderman' kerana nilai harga sarang burung walit yang belum diproses ini amatlah tinggi iaitu sekitar RM3,000 hingga RM7,500 sekilogram.

LUKISAN DI GUA

Selain tarikan Gua Pedagang, pelawat juga akan berpeluang melawat Gua lukisan yang di dalamnya terdapat lebih 100 lakaran atau lukisan Neolitik dari zaman batu baru di beberapa bahagian dinding sepanjang 50 meter di dalam Gua Lukisan ini.

Lukisan itu, dalam pelbagai saiz dengan ukuran daripada beberapa sentimeter hingga ke satu meter, termasuk mempunyai rupa bentuk manusia, perahu, dan lakaran abstrak dan geometrik, yang dipercayai dilukis dengan menggunakan pewarna merah daripada tumbuhan.

Jelas, pelawat di rantau ini termasuk dari Singapura tidak perlu pergi jauh seperti Afrika, Eropah, Asia Barat atau Amerika Selatan untuk melihat lukisan-lukisan oleh manusia purba kerana guagua di Niah ini pun tidak kurang hebat sejarah tamadun manusianya.

Selain itu, pelawat juga dapat menikmati kebesaran gua utama di Niah yang dipanggil Gua Besar kerana di situ dapat dilihat dengan jelas pembentukan lapisan batu-batan gua seperti stalagmit dan stalaktit dan kesan kerja arkeologi termasuk rumah peninggalan Tom Harisson.

Selain gua, Miri juga menawarkan peluang kepada pelawat yang berkeinginan mendekati diri mereka dengan alam semula jadi seperti kehijauan rimba hutan belantara, melihat binatang liar, memetik buahbuahan tempatan di pokok dan mandi manda di air terjun yang jernih dan sejuk airnya.

SAFARI DI MIRI

Seorang pengusaha hotel, Henry Law Ing Hua, 59, membina sebuah pusat peranginan dinamakan "Borneo Tropical Rainforest Resort" bersebelahan dengan Taman Negara Bukit Lambir.

Terletak 36 km sahaja dari bandar raya Miri atau 30 minit berkereta dari Lapangan terbang Miri, pusat peranginan itu yang seluas lebih 300 hektar, dilengkapi dengan kira-kira 50 bilik tidur dan calet, serta hostel untuk mereka yang datang secara berkumpulan.

Pusat peranginan itu yang dibuka secara berperingkat sejak 1 Jun 2007, menyediakan pelbagai kegiatan seperti meredah hutan, menaiki bot menyelungsuri sungai, melihat ternakan peliharaan dan berjalan malam di dalam hutan.

Pusat itu juga dilengkapi kemudahan untuk berkhemah di hutan, memanjat dinding, abseling, memancing ikan di kolam, dan beriadah seperti bermain badminton, bola keranjang dan futsal.

Terdapat juga dusun buah-buahan seperti nangka, cempedak, rambutan, dabai, longan, nenas, mempelam, sukun, durian, jambu, laici, langsat, ciku, limau, betik dan pisang. Pelawat dibenarkan memetik dan memakan buah-buahan terus dari pokok.

Law yang merupakan pengarah urusan, pusat penginapan itu berkata beliau merancang untuk membuka satu kawasan terbuka berpagar untuk menempatkan haiwan liar tempatan seperti safari tahun ini.

Nyata sekali, dengan segala kemudahan yang sedia ada di Miri, para pelawat dari Singapura yang ingin mengharungi kehidupan alam semulajadi, tidak perlu lagi pergi jauh untuk menikmati peluang ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain