suria

Apa Makna Allah Kepada Melayu

KUALA LUMPUR: Kontroversi penggunaan nama "Allah" oleh bukan Islam perlu ditangani secara teliti bukan sahaja dari sudut undang-undang dan ketuhanan tetapi juga perlu dinilai dari aspek sosiologikal, kata seorang pakar.

Katanya kelantangan sesetengah pihak menyuarakan isu tersebut tanpa memahami secara mendalam isu berkenaan, mengeruhkan lagi keadaan.

Profesor antropologi sosial Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata isu itu perlu ditangani secara teliti ibarat menarik rambut di dalam tepung kerana ia bukan isu remeh.

"Sebaliknya ia boleh membawa implikasi besar terhadap hubungan etnik dan ketenteraman awam," kata beliau.

Penggunaan kalimah "Allah" menjadi kontroversi sejak Mahkamah Tinggi membenarkan majalah mingguan Katolik, Herald, menggunakan kalimah itu pada 31 Disember lepas.

Kelmarin, atas dasar kepentingan negara, kebenaran itu ditangguh hakim yang sama, Datuk Lau Bee Lan berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia. Shamsul Amri berkata penyelesaian isu itu banyak bergantung kepada sudut mana ia dinilai serta sejauh mana semua pihak mampu berhujah secara rasional.

Persoalannya, kenapa sebahagian Melayu-Muslim di negara ini menentang keputusan itu sama ada secara terbuka ataupun senyap?

Untuk memahami dari sudut realiti sejarah-sosial, Shamsul Amri merujuk kepada Artikel 160 Perlembagaan Malaysia yang menginterpretasi bahawa orang Melayu adalah "seseorang yang menganut agama Islam, kebiasaannya bertutur dalam Bahasa Melayu serta akur kepada adat Melayu".

Di atas interpretasi ini dan beberapa peruntukan lain khususnya Artikel 3 dan Artikel 11 (4) sejak negara merdeka, kerajaan sama ada pada peringkat persekutuan atau negeri telah mentadbir, merancang dan melaksana pelbagai dasar tadbir urus, menyentuh pelbagai aspek kehidupan orang Melayu beragama Islam.

Keadaan ini, menurut pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) itu telah memahat semacam satu "psychic unity" yang sukar dikikis bahawa, "Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Shamsul Amri berkata dalam kehidupan beragama orang Melayu, kalimah "Allah" adalah segala-galanya daripada tiang iman hinggalah pegangan, norma dan nilai dalam kehidupan seharian mereka.

"Label Melayu-Muslim adalah paling tepat untuk mengkategorikan orang Melayu di Malaysia tetapi ia jarang digunakan kerana wujud pandangan umum orang Melayu adalah secara otomatis beragama Islam," katanya.

Keadaan ini berbeza dengan etnik Melayu di Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thai, Selatan Filipina, Sri Lanka, Afrika Selatan dan tempat lain dalam "diaspora Melayu" di mana orang Melayu bukan secara otomatisnya beragama Islam kerana tidak didukung faktor disebutkan di atas, membezakan identiti sosial mereka.

Beliau berkata kajian sosiologikal membuktikan perkara paling sensitif kepada Melayu di Malaysia adalah berkaitan dengan agama Islam kerana mereka menganggap "Islam adalah kepunyaan mereka" dan "social proprietyship" ini tidak boleh dipersoalkan.

Maka Melayu-Muslim menganggap Allah adalah kepunyaan mereka dan hanya mereka yang tahu dan berhak membincangkan mengenainya. "Mereka dilahirkan sebagai seorang Islam, hidup sebagai seorang Islam dan mati sebagai seorang Islam... inilah realiti historissosial di Malaysia.

"Kompleksiti realiti sosial kehidupan beragama Islam orang Melayu di Malaysia bertambah rumit apabila Islam dijadikan simbol dan ideologi politik," kata Shamsul Amri, yang menambah kewujudan politikal Islam di peringkat global yang bergerak dalam kerangka Ummah turut merumitkan lagi keadaan.

"Misalnya, ramai orang Melayu-Muslim tidak dapat membezakan perjuangan Palestin adalah perjuangan nasionalisme bukan perjuangan Islam kerana tidak semua orang Palestin beragama Islam," katanya.

Barangkali senario ini menerangkan kenapa timbul reaksi negatif daripada kumpulan Melayu-Muslim apabila pihak Gereja Kristian dibenarkan menggunakan kalimah "Allah" sebagai terjemahan "God" dalam seksyen bahasa Melayu majalah terbitan mereka yang dicetak dalam empat bahasa itu.

Hakim Lau telah memutuskan lanjutan kepada Artikel 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dari segi ajaran dan pendidikan kepada penganut agama Kristian. Beliau berkata lanjutan daripada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah "Allah" kepada orang Islam untuk menyebarluaskan agama tetapi ia bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama.

Pada 16 Febuari, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan gereja dan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.

Beliau mendakwa perkataan 'Allah' bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Kalimah 'Allah' digunakan dengan meluas dalam kalangan penduduk asli Kristian di Sabah dan Sarawak dengan kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Malaysia.

KDN mewajarkan larangan itu atas alasan keselamatan negara dan bagi mengelak salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam sehinggalah membawa kepada keputusan mahkamah pada 31 Disember lepas dan penangguhan penggunaannya semalam.

Bagi felo utama KITA Datuk Dr Denison Jayasooria, isu kalimah itu mampu diselesaikan dengan mengadakan perbincangan dan dialog di antara pemimpin agama dan masyarakat. Dalam hal ini, Denison berkata kerajaan perlu menjadi orang tengah dan menyelesaikan isu itu secara berhemah sejajar dengan konsep 1Malaysia yang menekankan kepada teras penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial.

"Harapan masih ada namun kerajaan mesti benar-benar ikhlas dalam menyelesaikan punca masalah dan menjadi orang tengah dalam isu ini," katanya mengaitkan konsep 1Malaysia dengan isu itu sebagai antara cabaran perlu ditangani kerajaan dalam meyakinkan rakyat terutamanya golongan minoriti.

Tanpa menafikan semua pihak berhak menyuarakan pandangan atas dasar demokrasi, Denison turut mengecam tindakan segelintir pihak yang memanipulasikan isu itu untuk kepentingan politik sempit yang tidak menyesaikan konflik ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain