suria

Meraikan Hubungan 35 Tahun Havana-KL

CARLOS A. AMORES bercadang untuk ke Johor Baharu pada penghujung Februari ini ketika Cuba dan Malaysia meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini. Buat kali pertama, beliau akan mengunjungi Tugu Peringatan Tanjung Kupang untuk memperingati mangsa Penerbangan Malaysia pesawat 653 yang terhempas pada 1977 dan mengorbankan kesemua 93 penumpang serta tujuh anak kapal.

Antara mangsa yang terbunuh ialah Mario Garcia, Duta Cuba ke Jepun yang ditauliahkan ke Malaysia ketika itu, dan isterinya.

"Kami berhasrat memberi penghormatan kami dengan mengunjungi tugu peringatan itu. Ia satu hubungan yang sangat istimewa," kata Amores, Duta Cuba ke Malaysia dan duta tetap ketiga di sini.

Pada 6 Februari ini, Cuba dan Malaysia secara rasmi meraikan ulang tahun ke35 hubungan itu.

"Sebagai sahabat yang akrab, saya amat pasti bahawa hubungan kita akan terus kukuh dan berkembang lebih pesat pada tahun-tahun mendatang. Dalam hubungan ini, saya fikir hubungan Cuba-Malaysia adalah contoh (ikutan) bagi kerjasama Selatan-Selatan," kata Amores dalam satu temu bual dengan Bernama di kedutaannya.

Havana dan Kuala Lumpur memeterai hubungan pada 1975, pada ketika wujudnya pemisah ideologi Perang Dingin, dan mencatatkan kemajuan dengan menjalin hubungan yang bermakna serta semakin membuahkan hasil dalam banyak bidang, merangkumi politik, ekonomi, perdagangan, perubatan, pendidikan, sukan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Amores, 43, berkata, hubungan dua hala semakin meningkat, terutamanya dalam bidang politik pada 1990-an yang menyaksikan Cuba membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1997, dan disusuli dengan pembukaan kedutaan Malaysia di Havana pada Februari 2001.

Beliau menyifatkan pembukaan kedutaan itu hasil pertukaran lawatan peringkat tertinggi, bermula dengan lawatan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad ke Cuba pada 1997 dan 2000, dan pemimpin Cuba Fidel Castro ke Malaysia pada 2001 dan sekali lagi pada 2003, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Semasa lawatan Castro pada 2001, kedua-dua negara memeterai perjanjian pertukaran teknikal perdagangan, ekonomi dan saintifik.

Momentum itu dikekalkan oleh pengganti Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang melawat Cuba pada 2004 dan pada 2006, untuk menghadiri Sidang Kemuncak NAM manakala Presiden semasa Cuba Raul Castro berkunjung ke Malaysia pada 2005, ketika beliau menjadi Naib Presiden pertama.

"Saya berpendapat lawatan peringkat tertinggi ini menegaskan kepentingan hubungan kita dan menjadi asas kepada era baru dalam hubungan diplomatik kita, dan sebab itulah kita berupaya mengenal pasti program serta projek demi manfaat bersama," kata Amores.

Havana dan Kuala Lumpur, kata beliau, berkongsi pandangan serupa dalam banyak isu yang menyelubungi dunia membangun dan komuniti antarabangsa yang menjadikan hubungan mereka lebih rapat dalam NAM, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kumpulan 77 negara-negara membangun.

Amores berkeyakinan bahawa hubungan ekonomi akan meningkat dan menjangkakan hubungan perdagangan pula akan turut diperkukuhkan.

Sungguhpun tiada pelaburan langsung Malaysia di republik kepulauan Caribbean yang dihuni oleh kira-kira 11.5 juta ini, Cuba dan Malaysia secara usahasama melaksanakan projek dalam sektor farmaseutikal serta bioteknologi yang sangat berkait rapat dengan Cuba.

Cerut Cuba yang sangat terkenal di dunia dan vaksin Hepatitis B adalah eksport utama Cuba ke Malaysia dan mengimport makanan, perabot serta produk komputer dari Malaysia.

Syarikat minyak negara bagi Cuba dan Malaysia Cubapetroleo dan Petronas melaksanakan usahasama mencari gali minyak serta gas asli di perairan Cuba.

Amores menggalakkan pelaburan Malaysia dalam pelancongan di Cuba dan menyenaraikan pendidikan serta sukan sebagai bidang lain yang keduadua negara akan meningkatkan kerjasama.

Terdapat 21 pelajar Malaysia di Cuba, kesemuanya melainkan seorang, meneruskan pengajian dengan memperoleh biasiswa penuh daripada kerajaan Cuba.

Sebaliknya, Cuba mendapat manfaat daripada Program Kerjasama Teknikal Malaysia, kata Amores.

Cuba memberi keutamaan kepada menjalin hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih akrab serta jalinan kebudayaan, dan ke arah itu, telah membawa kumpulan muzik Cuba, pameran kesenian dan menganjurkan acara kebudayaan di Malaysia.

"Jika anda bertanya sesiapa saja di Cuba tentang Malaysia, mereka akan menjawab mereka tahu mengenai Malaysia. Kami dapat merasai persahabatan dan sikap baik masyarakat Malaysia terhadap Cuba," kata Amores. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Apa Makna Allah Kepada Melayu

Artikel Berikut

Artikel Lain