suria

'Senja' Menggamit Kewujudan Kedai Runcit?

SELAIN tidak pernah sunyi dengan kerancakan arus pembangunan, penduduk di kawasan bandar sebagai masyarakat pengguna, turut menyaksikan tumbuhnya hipermarket ibarat cendawan selepas hujan.

Fenomena pertumbuhan hipermarket ini bagaimanapun dilihat mengakibatkan 'sakit yang kronik' bagi kedai-kedai runcit yang telah wujud sekian lama.

Ada yang berpendapat kemunculan hipermarket mendatangkan tekanan dan impak yang hebat terhadap industri runcit di negara ini.

"Kehadiran hipermarket banyak membantu warga konsumer. Mereka menyediakan tempat parkir yang luas serta percuma, ruang membeli-belah yang bersih dan selesa serta harga jauh lebih murah daripada apa yang boleh didapati di kedai runcit.

"Semua barang termasuk untuk keperluan harian serta barangan basah seperti sayur, ikan dan ayam ada d jual. Begitu juga dengan pakaian dan produk-produk lain semuanya ada di bawah satu bumbung dan ini menyenangkan serta menjimatkan masa pengguna," kata pengguna Saifuddin Iskandar kepada Bernama mengenai pandangannya tentang kehadiran hipermarket.

REVOLUSI INDUSTRI RUNCIT DI MALAYSIA

Hipermaket ialah sebuah superstore (gudang atau gedung besar) yang menggabungkan konsep supermarket dan department store (gedung harian).

"Hasilnya ialah satu premis runcit yang sangat besar dan menawarkan pelbagai jenis barangan di bawah satu bumbung termasuk barang runcit serta produk am. Oleh itu hipermarket menawarkan kepada pelanggan apa yang mereka perlukan dalam satu minggu hanya dalam satu perjalanan membeli belah," kata aktivis pengguna Gurmukh Singh.

Menurut Gurmukh Singh sejak industri hipermarket membuka tirai di Malaysia pada tahun 1994 bila Carrefour membuka premis pertamanya di Subang Jaya, Selangor dan diikuti dengan hipermarket Giant Cash & Carry di UEP Subang Jaya, setahun kemudian, ia mencetus satu revolusi dalam industri runcit di negara ini.

Menurut http://shoppers.bluehyppo.com/hypermarkets.asp sehingga tahun 2003 saja terdapat 22 hipermarket di Semenanjung Malaysia.

Selangor paling banyak dibanjiri hipermarket tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat lebih banyak hipermarket yang baru dibuka serta dalam pembinaan di negeri-negeri Pantai Timur.

CABARAN BAGI KEDAI RUNCIT, PASAR RAYA?

Menurut Gurmukh Singh, walaupun menerima impak dengan kewujudan hipermarket, hayat kedai runcit masih lagi panjang.

"Kedai runcit dan juga mini-market masih ada tempatnya dalam kalangan konsumer terutama di bandar dan pekan kecil serta kampung.

"Impak yang lebih ketara dengan kehadiran hipermarket sebenarnya dirasakan oleh supermarket (pasar raya). Ini kerana hipermarket dan pasar raya menarik pengguna dari pool (kumpulan) yang sama", kata beliau.

Menurut Gurmukh Singh dalam aspek ini pasar raya menerima tekanan kerana pengguna rata-rata berpendapat bahawa barang yang dijual di hipermarket lebih murah daripada yang didapati di pasar raya.

"Pengguna di negara ini sensitif pada harga dan ini menyebabkan mereka memilih hipermarket. Bagi kedai runcit, mereka tidak perlu gusar sangat kerana kedai runcit biasanya mempunyai kumpulan pelanggan yang setia".

Bagi Gurmukh Singh, kedai runcit menawarkan khidmat personalised (layanan mesra serta peribadi) seperti mengambil pesanan dan menghantar barang ke rumah. Tuan punya kedai dan juga pembantu lebih ramah kerana mereka mengenali pelanggan.

"Di kawasan perumahan, biasanya pelanggan hanya mencari barang yang mereka perlukan pada ketika itu sahaja dan lebih selesa untuk datang pada masa lain bagi membeli barang lain. Mereka lebih selesa mengunjungi kedai runcit dan bukan premis yang lebih besar serta rumit susunannya," kata beliau.

Kata Gurmukh Singh, pelanggan kedai runcit hanya bercadang membeli barang dalam jumlah yang kecil setiap hari.

"Dengan ini mereka dapat merancang bajet, sebab itu mereka lebih suka berbelanja sikit-sikit sahaja setiap hari. Lainlah kalau ke hipermarket, konsumer akan terlebih belanja".

Hipermarket menggunakan kemudahan kad kredit dan ini secara langsung menggalakkan pengguna berhutang.

"Kadang-kadang pelanggan terbeli barang yang mereka tidak perlu disebabkan terdapat bermacam-macam promosi yang diadakan di hipermarket", katanya.

PASARAN RUNCIT YANG TIDAK DIBANGUNKAN

Menurut pendidik Raffar Minhat, hipermarket menjana ekonomi seperti memberi peluang pekerjaan dan juga menggalakkan perkembangan sesuatu kawasan dengan pembinaan infrastruktur baru seperti jalan raya.

"Hipermarket juga ditutup lambat pada waktu malam, jadi memang sesuai bagi mereka yang sibuk bekerja di siang hari. Hipermarket berkembang pesat kerana negara kita mempunyai sistem pasaran runcit yang tidak diperkembangkan", kata Raffar.

Bagi Raffar, beliau sendiri terbawa-bawa dengan cara berbelanja di hipermarket.

"Mula-mula saya hanya mahu dua atau tiga barang. Tetapi kerana tarikan harga yang lebih murah saya pun mula terbeli barang lain yang sebenarnya tidak diperlukan sangat. Akhirnya saya berbelanja lebih daripada bajet yang sepatutnya".

Bagi beliau, khidmat yang disediakan kedai runcit, lebih berdedikasi serta lebih mesra. Pekedai runcit akan dengan rela hatinya menghantar pesanan tong gas oleh pelanggan sama ada ke rumah atau restoran dengan secepat mungkin.

Menurut Raffar, ada kedai runcit yang menggunakan e-mel untuk menerima pesanan.

"Kalau nak dikira harga di kedai runcit bukanlah jauh sangat bezanya daripada apa yang ditawarkan di hipermarket. Bahkan kadang-kala ada kedai runcit yang menawarkan harga yang lebih murah.

"Layanan mesra seperti ini tidak dapat diberi oleh hipermarket. Oleh itu kedai runcit masih diperlukan oleh pengguna di Malaysia", kata beliau.

Bagi Raffar, senja belum menggamit kewujudan kedai runcit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Hijrah Membangun Minda

Artikel Lain