suria

Mencari Lubuk Emas Di Bumi Malaysia

KUALA LUMPUR: Mereka bekerja berkumpulan. Masing-masing, warga Indonesia ini mempunyai kemahiran tersendiri dalam selok belok bertukang rumah, membaiki atap, memasang paip, mengecat dan sebagainya.

Asalnya mereka datang ke sini sebagai pekerja binaan. Kemudian mereka mengutip pengalaman untuk bekerja sendiri secara sambilan terutama semasa kontrak masih panjang tetapi kerja di tempat binaan sudah selesai.

"Saya datang ke Malaysia semasa berusia 20 tahun pada tahun 1991, bekerja dengan majikan Cina membuat bangunan besar dan tugas saya ialah mengikat batu," kata Nizamuddin atau lebih mesra dipanggil Sayuti Mastor.

Selepas tujuh tahun bekerja dengan beberapa majikan, beliau memberanikan diri mengambil upah kerja membaiki rumah. "Saya memang sudah ada asas kerja memasang paip dan memasang wayar di Indonesia.

"Tetapi pengalaman dan pengetahuan banyak saya timba di sini," katanya yang menyertai sekumpulan pekerja Indonesia melakukan kerja membaiki dan mengubah suai beberapa buah rumah di sebuah taman perumahan di sini.

KUMPUL KEMAHIRAN

Yang menariknya mereka akan datang pada waktu dan hari berlainan mengikut kerja yang diperlukan jika waktu bertukang, dua tiga orang yang terlibat, esoknya orang lain pula akan datang mengecat, kemudian tiba pekerja yang pakar membuat kabinet pula membawa peralatan dan kelengkapan untuk dipasang.

Bagaimana caranya mengumpulkan kawan-kawan senegara dengan pelbagai kemahiran ini?

"Kami bekerja di banyak tempat. Sebab itu kami tahu kebolehan masing-masing dan kami berhubungan selalu," katanya. Contohnya ketika ditemu bual Bernama, Sayuti sedang menyiapkan kerja membaiki sebuah rumah yang didapatkan oleh rakan kongsinya Dasir Tamin.

Kata Sayuti, pada mulanya modal yang digunakan untuk memulakan kerja ialah melalui bayaran pendahuluan daripada majikan, dan bayaran kemajuan secara berperingkat sehinggalah mereka mempunyai modal sendiri untuk bergerak secara lebih besar.

Pernah kena tipu? "Ada juga, terutama semasa saya tidak pandai membuat surat perjanjian," katanya sambil menunjukkan contoh dokumen hitam putih yang kini disediakan untuk dirinya dan pemilik rumah yang disimpan di dalam pendrive.

"Kadang-kadang ada pemilik yang bukan berniat hendak menipu, tetapi akhirnya tidak menghabiskan bayaran. Mungkin mereka rasa sudah keluarkan terlalu banyak modal. Kami pula tidak boleh berbuat apa-apa untuk menuntutnya," katanya.

Kini projek yang mereka dapat, termasuk membina banglo, membaiki dan mengubah suai rumah yang memakan belanja besar dan dalam soal pembayaran, mereka lebih berhati-hati.

MULUT KE MULUT

Beliau dan rakan-rakan sudah biasa dengan pengalaman bila sedang membaiki sesebuah rumah, akan datang jiran sebelah atau berdekatan untuk meminta rumah mereka juga dibaiki atau dicat semula.

"Beginilah biasanya kami mendapatkan kerja, melalui mulut ke mulut hasil kerja kami dihebahkan," kata Sayuti yang berasal dari Nganjuk, Jawa Timur.

Beliau menganggap usahanya belum sampai ke tahap berjaya tetapi sedang meniti kejayaan, disebabkan itu beliau memahirkan diri dalam pelbagai kerja pembinaan dulu sebelum mengambil beberapa kontrak sendiri.

Sayuti sebelum itu juga pernah bekerja di pejabat sebuah syarikat yang menguruskan pengambilan pekerja asing, mengendalikan urusan pentadbiran, permit, pengangkutan dan sebagainya.

"Pada 1998 saya cuba nasib buat kerja ubah suai rumah,dan sambung dapur. Hinggalah ke hari ini.

"Orang ambil kami sebab harga kami berpatutan dan kualiti kerja baik," katanya bila ditanya kenapa orang tempatan terutamanya pemilik kediaman persendirian cenderung memilih mereka untuk melakukan kerja-kerja binaan ini.

SEMANGAT DAN KEYAKINAN

"Modal utama saya ialah keyakinan dan keberanian dan saya mencari rakan kongsi dari negara sendiri kerana kami tidak suka menggigit dan tidak mahu digigit, Mahu untung tetapi tak mahu rugi," katanya berfalsafah.

Bagaimanapun menurut Sayuti dia berpegang kepada pepatah "di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung" maka dia dan rakan-rakan tidak pernah membelakangkan undang-undang negara dan peraturan tempatan serta amanah orang untuk melakukan kerja-kerja ini.

Oleh itu mereka akan memastikan rekod mereka bersih dan rumah yang dikendalikan, dijaga baik.

Sayuti berkata sebelum ke Malaysia, beliau bersekolah, dan di sebelah petangnya menjaja akhbar.

"Selepas habis sekolah menengah saya ikut kakak saya yang selalu datang ke Malaysia mengikut suaminya setelah mendengar cerita yang baik-baik mengenai Malaysia," katanya.

Bagi Sayuti di Malaysia peluang kerja banyak dan setakat ini dia tidak pernah menganggur.

"Saya pun ada ramai kawan yang membantu semasa mula-mula datang ke sini dan dua tiga bulan tak ada gaji. Saya masih catat di dalam diari, gaji saya mula-mula dulu sebanyak RM175.75 selama 15 hari bekerja dengan majikan Cina pada 1991.

"Hampir 90 peratus kami warga Indonesia yang datang ke sini tidak ada modal apa-apa. Untuk datang ada yang jual kerbau dan sawah dan kami serahkan 100 peratus diri kami ke sini, tanpa tahu apa yang ada di sini.

"Tapi bagi saya, saya melangkah bukannya sungai tetapi lautan, dan saya tidak akan berpatah balik. Sebab itu saya berusaha keras di sini," katanya yang kini menetap di Gombak bersama keluarganya.

HANTAR WANG KE KAMPUNG

Bagi rakannya, Dasir, 40, dia bekerja untuk menanggung keluarga di Malaysia dan ibu bapa di Kampung Bangkalan, Madura, Jawa Timur.

Dasir juga tidak kesunyian di sini kerana selain anak berusia 14 tahun dan isteri, beliau mempunyai lima adik beradik di Malaysia.

Beliau menceburi bidang pembinaan sejak 10 tahun lalu, mula-mula mengambil kontrak kecil daripada majikannya, tolong menyiapkan kerja kawan-kawan, dan akhirnya bekerja sendiri, mengambil kontrak dan membahagi-bagikan kerja dengan adik dan rakan-rakan yang mempunyai kemahiran berbeza.

"Saya tidak menghadapi masalah besar dalam mengambil upah cuma kadang-kadang orang tak bayar apabila kerja sudah siap. Pernah, beliau bercerita, rumah yang dibaiki dengan kos RM30,000, tetapi tidak dibayar, sedang mereka yang bekerja di bawahnya perlu diberi upah.

"Sejak itu saya belajar untuk berhati-hati. Kata orang, tidak buat silap kita tidak akan sedar. Saya anggap itu bukan rezeki saya dan sekarang adakalanya saya mendapat projek hingga RNM500,000 untuk kerja di dua tempat serentak," katanya.

"Orang di sini (Malaysia) pun bagus, kerana tiada siapa yang cuba kacau kerja kami," katanya yang mempunyai kenderaan sendiri untuk mengangkut barang-barang dan rakan pekerja.

CEBURI BIDANG LAIN

Pendapatan puratanya sehari, kini tidak pernah kurang daripada RM100 dan kalau menghantar wang kepada ibu bapanya yang berusia lebih 60 tahun di kampung, beliau akan pastikan tidak kurang daripada RM1,000 sekali hantar.

Dasir menganggap peluang kerja di Malaysia banyak dan bergantung kepada seseorang itu untuk merebutnya dan berusaha. "Jika kita pandai guna peluang, kita akan berjaya. Syaratnya jangan malas. Kalau sudah menanam, mestilah mahu melihat hasil tuaiannya, jadi kami bekerja tidak kenal erti penat, hujan atau panas," tegasnya.

Beliau tidak mempunyai masalah bergaul dengan orang Malaysia. Cuma bila bekerja, beliau lebih suka berpakat dengan rakan-rakan senegaranya.

"Orang sini (Malaysia) agak manja dan tidak ramai yang suka kerja kasar ini," katanya berterus terang.

Cita-cita Dasir ialah untuk membuka perniagaan sendiri dan menurutnya ada seorang yang bergelar "Tan Sri" banyak memberikan sokongan dan menghulurkan bantuan kepadanya termasuk menggalakkan beliau mendaftar perniagaannya di Internet.

"Buat masa sekarang saya mahu mengumpul modal yang cukup dan mungkin beralih bidang, membuka restoran atau lain-lain selepas ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain