suria

Beca, Asam Pedas Dan Porta De Santiago

MELAKA: Baru-baru ini penulis berpeluang melawat bandaraya Melaka yang bersejarah dan menginap di sebuah hotel 'butik' yang terletak di Jalan Kota, di tengah-tengah kota warisan ini.

Apa yang menarik pandangan beliau ialah tentang tempat letak kenderaan yang sentiasa penuh melainkan selepas tengah malam.

"Di sini (Melaka) keadaan memang sebegini. Dari siang sehinggalah ke tengah malam, semua tempat parkir penuh. Keadaannya semakin terdesak pada hujung minggu kerana lebih ramai pengunjung akan tiba", menurut seorang kakitangan hotel yang hanya mahu dikenali sebagai Mel.

Seorang lagi pekerja hotel, Nick (bukan nama penuh) berkata: "Apa nak susahkan? Kalau nak lihat tarikan di kota Melaka, tinggalkan saja kereta dan jalan kaki keliling pusat bandar. Lebih berbaloi daripada berlegar-legar berjam-jam nak cari petak kosong, buang masa lawatan sahaja".

Tepat sekali. Lokasi hotel tersebut adalah di tengah-tengah bandaraya Melaka bersejarah yang dikenali sebagai 'Pusat Merah' di kawasan yang diisytiharkan Unesco sebagai Tapak Warisan Dunia.

Antara mercu tanda bersejarah di kawasan ini ialah bangunan Stadhuys, Menara Jam dan Gereja Christ di mana semuanya berwarna merah dan hanya 'sepelaung' jaraknya dari hotel tempat penulis menginap.

Hotel tersebut juga memang dekat dengan destinasi menarik seperti Bukit St Paul, Porta De Santiago, Jonker Walk, Chinatown, Little India dan Mahkota Parade, kompleks membeli-belah terbesar. Semuanya terletak di Bandar Hilir.

Bagaimana dengan mereka yang kelainan upaya? Penulis juga merupakan orang dari kumpulan ini. Tidakkah sukar bagi mereka untuk berjalan kaki bagi menikmati segala pemandangan di tempat menarik ini?

Naiklah beca, itulah nasihat dari Mel.

NAIK BECA

Bagi yang muda serta sihat, bersiar di Bandar Hilir adalah cara yang paling baik bagi meninjau kota warisan ini. Tetapi bagi mereka yang tua, orang kelainan upaya serta yang tidak suka banyak berjalan banyak, ada cara lain untuk melihat sekitar Bandar Hilir.

Terdapat banyak beca di 'Dataran Merah' serta kawasan lain di bandaraya ini. Penarik atau tukang beca juga bertindak sebagai pemandu pelancong dan sedaya upaya mereka menerangkan tentang tempat menarik di sini.

Cuma penguasaan Bahasa Inggeris mereka agak terhad tetapi mereka dengan penuh 'bersemangat' menerangkan sejarah Melaka terutama kepada pelancong asing.

Beca-beca ini biasanya menunggu pelanggan mereka di depan Gereja Christ dan Mahkota Parade. Mereka akan menawarkan khidmat membawa pelancong mengelilingi 'Melaka Lama' (kawasan asal sebelum projek tambak laut dimulakan pada awal 1980-an).

Laluan mereka adalah mengelilingi kuil di Chinatown dan Muzium Maritim dan balik ke Gereja Christ (keliling Bukit St Paul, Jalan Kota, Jalan Istana dan Jalan Merdeka.

Tambang adalah RM40 bagi satu jam, yang ditetapkan oleh Majlis Melaka Bandaraya Bersejarah.

"Usah khuatir, beca ini punya insurans dan penumpang dilindungi ", kata seorang tukang beca ketika beliau membawa penulis mengelilingi kawasan Melaka Lama.

ASAM PEDAS

Melaka juga memang terkenal dengan masakan asam pedas dan ketika di sana, penulis mengambil kesempatan untuk menikmati masakan tersebut.

Tetapi di mana ada masakan asam pedas yang asli?

"Kenapa tak pergi ke barisan gerai yang bersebelahan Pasar Borong di Batu Berendam?", ujar seorang rakan yang bertugas di Majlis Melaka Bandaraya Bersejarah.

Kalau anda tidak berapa kenal dengan masakan asam pedas, ianya merupakan satu masakan berkuah yang mengandungi rasa asam serta pedas yang biasanya dimasak bersama ikan (kadang-kadang dengan telur ikan atau daging tetel).

Ianya dihidangkan dengan nasi putih serta telur masin. Medan selera asam pedas, yang mempunyai 15 gerai, di Batu Berendam beroperasi dari lewat petang hingga awal pagi.

Penulis, keluarga dan rakan-rakanya memilih sebuah gerai serta memesan guli asam pedas yang mengandungi pelbagai ikan. Ada asam pedas ikan kembong, pari, bawal, parang, tenggiri serta jenahak.

Terdapat juga gerai asam pedas ala 'claypot' di Kota Laksamana, berdekatan dengan Jonker Street, sekarang dikenali sebagai Jalan Hang Jebat.

TARIKAN LAIN

Masakan asam pedas bukannya satu-satu tarikan bagi pelancong melawat Melaka. Terdapat banyak lagi tarikan yang akan meninggalkan memori menarik bagi pelawat.

Terkenal sebagai bandaraya penuh sejarah di Malaysia, melawat Melaka seolah-olah menjejak kaki ke masa silam. Terdapat banyak lokasi bersejarah yang anda boleh lawati yang boleh membawa anda 'kembali pada zaman yang lampau'.

Antara tarikan moden masa kini ialah Menara Taming Sari yang merupakan menara 'gyro' berputar pertama di negara ini. Ia mempunyai balai pencerapan yang boleh memuatkan 66 orang pada setiap masa dan berdiri megah setinggi 110 meter.

Dari Menara Taming sari, pengunjung dapat melihat semua tempat bersejarah di bandaraya Melaka serta Selat Melaka.

Tarikan yang lain adalah seperti 'Eye on Malacca' setinggi 25 meter, Gereja St Francis Xavier, Bukit Cina yang merupakan bukit 16.8 hektar (42 ekar) dipenuhi lebih 12,500 jirat.

Apa yang membuatkan Bukit Cina begitu istimewa ialah ianya kawasan jirat yang tertua dan terbesar di luar negara China.

Selain ini, Gereja Christ yang dibina oleh Belanda pada tahun 1773 bagi menggandakan satu kurun pemerintahan mereka di Melaka juga memang menarik perhatian pelancong.

MUZIUM BUDAYA

Muzium Budaya, yang disediakan pada tahun 1954 oleh British di sebuah bangunan yang dibina Belanda pada 1660. Muzium tersebut kemudian berpindah ke bangunan Stadhuys pada tahun 1982 sebelum akhirnya berubah lokasi ke sebuah Kompleks RM2.5 juta pada tahun 1986.

Muzium tersebut mempunyai 1,350 bahan artifak, cetak, gambar serta lukisan yang menceritakan sejarah dan kebudayaan Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka serta masyarakat migran pada zaman serta kurun-kurun yang awal.

Terdapat juga kostum serta pakaian, perhiasan, barangan tembaga serta senjata lama dipamerkan. Muzium ini sebenarnya terletak dalam replika Istana Melayu yang dibina dari sketsa yang dijumpai dalam sejarah Melayu, di Bukit St Paul.

Kota St John (dipanggil penduduk tempatan sebagai San Juan) terletak di Jalan Ujong Pasir manakala Muzium Maritim serta replika kapal Portugis 'Flo De La Mar' adalah di Jalan Quayside dan Muzium Warisan Baba Nyonya berada di Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Gereja St Peter dibina pada tahun 1710 di Jalan Bendahara. Manakala mercutanda Melaka yang paling dikenali pelancong adalah bangunan 'merah' Stadhuys yang dibina pada tahun 1650.

Muzium Etnografi yang mempamerkan pelbagai pakaian pengantin dan relik-relik yang lain terletak di Jalan Gereja.

PORTA DE SANTIAGO

Kota A Famosa atau 'Yang Masyhur' dalam bahasa Portugis merupakan satu-satunya kota peninggalan mempunyai senibina Eropah di Asia. Malangnya yang tinggal kini adalah pintu gerbang 'Porta de Santiago'.

Pihak British telah mengarahkan pembinasaan kota tersebut pada tahun 1806 dan kesemuanya hampir musnah melainkan pintu gerbangya sahaja setelah campurtangan Sir Stamford Raffles yang melawat Melaka pada tahun 1810. - BERNAMA

Artikel Lain