suria

Hoong Ling - Kisah Seorang Dermawan Hati

KUALA LUMPUR: Pada usia kebanyakan gadis remaja asyik berkongsi cerita mengenai 'buah hati' atau kisah cinta, Chew Hoong Ling pula menyibukkan dirinya berkempen mengenai pendermaan organ selepas mengikrarkan mata dan organnya sendiri!

Meskipun ketika itu usianya baru mencecah 13 tahun, remaja ini tidak goyah pendirian setelah membulat keputusan mahu menjadi penderma organ.

Bersifat 'tidak mementing diri' bukannya asing bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini meskipun dia datang dari sebuah kehidupan rumah tangga yang mengalami keruntuhan.

Ibu bapanya bercerai ketika dia berumur hanya empat tahun dan untuk tempoh 16 tahun berikutnya, dia tinggal dengan ibu saudaranya (sebelah ayah) di Teluk Intan, Perak.

Kehidupan tanpa ibu dan ayah membuatkan remaja ini banyak menghabiskan masa dengan mengaktifkan diri dalam pelbagai kegiatan ko-kurikulum sekolah.

PENTINGKAN ORANG LAIN

Semasa di bangku sekolah menengah di SMK Convent, Teluk Intan, Hoong Ling mula menyemai bibit 'tidak mementingkan diri' menerusi kerja komuniti meskipun ia sedikit sebanyak menjejaskan keputusan SPM dan SPTMnya.

Untuk peperiksaan UPSR dan PMR, dia memperoleh semua A dan SPM mendapat 5A.

Hoong Ling mengakui bahawa dia begitu cenderung melakukan kerja kemasyarakatan kerana mahu mengikut jejak langkah idolanya, aktivis sosial yang tidak asing lagi, Tan Sri Lee Lam Thye.

Kerja kemasyarakatannya menyerlah apabila menyertai St John Ambulance yang motonya ialah "Khidmat untuk Manusia" (Service to Mankind) di mana dia meningkat sehingga menjadi komander.

Dalam Interact Club, dia diajar prinsip "tidak mementingkan diri sendiri." (Service Above Self).

Kedua-dua organisasi itu, katanya memainkan peranan besar dalam tahun-tahun tumbesarannya.

Hoong Ling juga aktif dalam bidang sukan, bukan sebagai pemain, tetapi menjadi pengurus pasukan rumah yang berjaya muncul sebagai juara.

Menurut gadis berhati waja ini, anak-anak seharusnya digalakkan membabitkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum sekolah kerana pengalaman berharga itulah yang telah membentuk peribadinya.

Pembabitan demikian, tambahnya memberi peluang untuk dia menguasai bukan sahaja kemahiran kepimpinan tetapi juga pengurusan serta penyampaian.

Kecintaannya dalam kerja kemasyarakatan terus berkembang selepas dia tamat persekolahan.

"Congak punya congak saya menyertai sehingga 12 organisasi selepas tamah sekolah. Kalau difikirkan, tak tahu di mana saya dapatkan masa dan tenaga untuk semuanya itu," Hoong Ling memberitahu Bernama dalam satu wawancara selepas pelancaran bukunya 'I Dont Know You But Let Me Save You' di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buku setebal 114 halaman itu dan diterbitkan oleh Zubedy Ideahouse Sdn Bhd ialah kisah perjalanan hidupnya sebagai dermawan hati serta kecintaan serta komitmennya yang mendalam dalam pendermaan organ.

Ia juga mengandungi borang pengikraran serta kad sementara penderma organ yang menurut Anas Zubedy, Pengarah Urusan Zubedy Ideahouse sebagai bahagian paling mahal buku berkenaan.

Menurut Hoong Ling matlamat utama bukunya ialah untuk memberi inspirasi terutama dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengikrarkan organ mereka selepas kematian mereka.

"Sekiranya lebih ramai orang tampil untuk mengikrarkan organ mereka dan lebih banyak organ ada, tidak perlu untuk ada penderma organ ketika mereka masih hidup kerana ia melibatkan banyak masalah sosial dan mewujudkan juga pasaran gelap," katanya.

BAGAIMANA IA BERMULA

Boleh dikatakan pada awal 90-an, tidak ramai yang ingin tahu tentang pendermaan organ dan tahap kesedaran juga masih rendah.

Hoong Ling sendiri mendapat maklumat mengenai pendermaan organ secara tidak sengaja apabila dia membaca buku kecil yang dihasilkan Persatuan Buddhist Hilir Perak.

Satu daripada isi kandungannya ialah artikel "The Joy of Giving" yang memuatkan contoh mereka yang mengikrarkan organ masing-masing termasuk Ong Ai Ling, seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Kisah itu, menurut Hoong Ling sebenarnya banyak menyumbang kepada pembentukan jati dirinya dan sehingga kini dia begitu teringin untuk berjumpa sumber inspirasinya itu.

"Umur dia 11 dan saya 13. Kalau dia boleh, saya tak boleh ke?". Soalan ini mengasak setiap ruang otak Hoong Ling sehinggalah dia mengikrarkan mata dan organnya menerusi Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia. Pada masa itu Pusat Sumber Transplan Nasional belum ditubuhkan.

Bermula daripada detik itu, Hoong Ling mengorak langkah berkempen untuk pendermaan organ dengan langkah awal menampal poster di papan notis sekolahnya.

Ketika dia di tingkatan enam di SMK St Anthony, Teluk Intan dia menganjurkan kempen derma darah dan organ yang disifatkan paling berjaya pernah dibuat.

Kecintaannya kepada pendermaan organ turut memuncak.

MEMBANTU ORANG YANG TIDAK DIKENALI

Sekitar 16 tahun selepas mengikrarkan mata dan organnya, ketulusan hati Hoong Ling diuji sebaik sahaja dia menjawab satu emel yang diterima berhubung pendermaan darah.

Emel berkenaan adalah dari ibu saudara kepada pesakit kanser muda, Lee An Qi yang menderita kanser hati pada usia 13 tahun.

"Emel itu dihantar kepada saya dan ingat saya untuk derma darah jadi saya hubungi ibu saudara An Qi, Alicia. Dia sms saya mereka memerlukan penderma hati," jelas Hoong Ling, sambil menambah ketika itu keadaan An Qi amat tenat dan dia tidak mempunyai banyak masa lagi untuk hidup.

Menurut Hoong Ling, fikirannya berkecamuk kerana meskipun dia banyak berkempen untuk pendermaan organ, tetapi tidak tahu menahu tentang pemindahan organ.

Dia lalu bertanya pandangan ayahnya yang dipanggil "Pa" tentang niatnya mahu mendermakan hatinya dan sebagai seorang yang berfikiran terbuka, ayahnya menyuruh dia membuat dulu ujian sebelum mengambil sebarang keputusan.

"Pa" adalah graduan Guangzhou University of Traditional Chinese Medicine dan menurut Hoong Ling, ayahnya mengambil pengajian itu kerana satu sebab, mahu membantu orang lain!

Apabila dia menelefon ibunya pula untuk mendapatkan pandangan, respons yang diterima tidak seperti ayahnya. "Dah gila ke?" itu jawapan ibunya.

Malah sahabatnya yang tahu serba sedikit tentang pemindahan hati menyoal hasrat Hoong Ling mahu mendermakan hatinya, apatah lagi kepada seorang yang tidak dikenalinya langsung.

Bagaimanapun, bagi Hoong Ling, masanya sudah tiba untuk dia mengotakan apa yang dijanjikan selama ini.

DI SEBALIK KESAKITAN

Hoong Ling terpaksa melalui ujian demi ujian dan sesetengahnya amat menyakitkan. Ujian awal dibuat di sebuah makmal perubatan di Subang Jaya dan sewaktu ujian ini dia diberitahu yang dia hanya ada buah pinggang sebelah kanan!

Seminggu selepas ujian itu, Hoong Ling dimaklumkan yang dia penderma yang sesuai untuk An Qi.

Ujian yang lebih menyeluruh dibuat berikutnya di Singapura.

Pemindahan hati pula disempurnakan di Asia Centre for Liver Diseases and Transplantation (ACLDT) di pulau republik itu.

Pembedahan ditangguhkan dua kali sebelum dijalankan pada 14 Januari 2009.

Hoong Ling menggambarkan kemudiannya proses pemulihan yang begitu menyakitkan dan parut seakan logo Mercedes Benz kelas-S sepanjang 14 inci di perutnya akan kekal sebagai lambang prinsip hidupnya yang tidak mementingkan diri!

An Qi hanya bertahan lapan bulan selepas pembedahan pemindahan hati. Remaja itu menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan paru-paru ketika berusia 14 tahun.

Menurut Hoong Ling dia berada di Melaka bersama beberapa orang rakannya dari luar negara apabila menerima panggilan telefon Alicia yang memaklumkan An Qi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Alicia kata dia hanya mahu beritahu saya tetapi saya dapat rasakan panggilan telefon itu bukan setakat mahu beritahu sahaja. Seolah-olah dia kata datanglah kalau mahu tengok An Qi buat kali terakhir," katanya.

Kematian An Qi, kata Hoong Ling memberikan dia lebih kekuatan untuk memperhebat kempen pendermaan organ. Dia juga tidak menyesal mendermakan sebahagian hatinya kepada An Qi meskipun remaja itu hanya hidup lapan bulan selepas pemindahan hati dijalankan.

MENGENANG KEMBALI

Menurut Hoong Ling, dia sering ditanya terutamanya apabila berceramah mengenai pendermaan organ, bagaimana dia membuat keputusan untuk mendermakan hatinya.

"Keputusan yang sukar terutamanya apabila mahu menyelamatkan nyawa seseorang.

"Ada beberapa sukarelawan lain yang tampil untuk menderma hati mereka tetapi tidak sesuai dan itulah yang mendorong saya untuk mendermakan hati saya.

"Tetapi ditanya sama ada saya akan melakukannya lagi, mungkin tidak jika mengambil kira pelbagai proses yang perlu dilalui," katanya.

Hoong Ling memberitahu Bernama bahawa sepanjang tempoh menyiapkan bukunya "I Don't Know You But Let Me Save You", dia berkesempatan memikirkan banyak perkara.

"Selepas banyak berfikir dan merenung semula perjalanan hidup saya, saya macam tak percaya saya boleh membuat keputusan mendermakan hati saya," kata Hoong Ling yang bagaimanapun mengakui dia lebih sihat berbanding sebelum pemindahan hati itu.

Menurut Hoong Ling, hati manusia ialah satu-satunya organ yang boleh tumbuh semula.

"Tiga hingga empat bulan selepas pembedahan, hati saya tumbuh semula antara 80 hingga 90 peratus.

"Saya rasa lebih kuat sekarang. Kesihatan saya tak berapa bagus sebelum pemindahan hati. Saya mengalami tekanan darah rendah, sakit gastrik dan selsema setiap beberapa bulan. Sekarang, harap dijauhkan (mengetuk jarinya ke meja) saya belum lagi perlu berjumpa doktor," kata Hoong Ling yang kelihatan begitu sihat dan ceria.

MASA DEPAN

Kecintaan mendalam Hoong Ling berkempen mengenai pendermaan organ sejak kira-kira 16 tahun lalu membuahkan banyak anugerah terutama Malaysian Women's Weekly Great Women of Our Time Award 2008.

Apabila ditanya sama ada dia akan menderma lagi hatinya, ini jawapannya:

"Saya tak boleh menderma apa-apa lagi buat masa ini. Pendermaan hati hanya boleh dibuat sekali sahaja dan saya tak boleh derma buah pinggang saya, kerana saya ada hanya satu buah pinggang.

"Bagaimanapun, selepas saya meninggal dunia nanti, mereka boleh ambil organ-organ saya dan apa yang perlu," kata Hoong Ling yang juga mengalami kecacatan pendengaran di telinga kiri sejak lahir.

Mengenai masa depannya, dia memberitahu Bernama bahawa rancangannya untuk menubuhkan apa yang dipanggil sebagai Keusahawanan Sosial yang berpusat kepada kempen kesedaran pendermaan organ.

"Jun lepas saya dilantik ahli jawatankuasa Pusat Tindakan Kesedaran Umum mengenai Pendermaan Organ di bawah Kementerian Kesihatan.

"Pelantikan ini memberikan saya lebih ruang untuk mempromosi pendermaan organ secara lebih besar lagi," katanya, dengan menambah dia berhenti kerja Januari lepas untuk memberi tumpuan kepada penulisan bukunya.

Hoong Ling yang fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris serta boleh bertutur Mandarin dan Kantonis di samping sedikit Tamil turut aktif menjadi pengacara untuk pelbagai acara rasmi.

Mengenai rancangan untuk mendirikan rumah tangga, katanya dia masih menunggu jejaka yang sesuai untuk menamatkan zaman bujangnya. - BERNAMA

Artikel Lain