SINGAPURA: Adakah anda teringin untuk mati dengan penuh bergaya? Meninggalkan alam fana bagi kehidupan abadi dalam keranda penuh berseni dan indah yang kelihatan seperti kotak hadiah?Dan mencabar tabu kematian dengan menukarkan majlis yang biasanya dipenuhi suasana murung dan kehilangan menjadi suatu perjalanan yang penuh ceria dan menarik?Ini merupakan apa yang ingin dilakukan oleh tiga penghuni pusat jagaan dan penginapan St Joseph di sini, memilih pereka keranda daripada keranda yang kusam dan muram seperti yang biasa dilakukan sebagai tempat berehat terakhir sebelum meninggalkan dunia ini dengan semangat ceria.Kitty Fogh, 90, yang biasa mengajar tarian asli kepada kerabat diraja Johor, Magdalene Khoo, 70, dan bekas tukang jahit Elsie Chua, 79, telah memilih keranda yang disesuaikan dan dicipta secara kreatif di bawah projek “Happy Coffins” bagi pusat jagaan itu bagi perjalanan terakhir mereka.Dalam sidang akhbar di pusat jagaan di Jurong hari ini pentadbir pusat itu, Sister Geraldine Tan berkata idea projek bagi mereka cipta keranda untuk penghuninya timbul selepas beliau melawat majlis berkaitan seni di Australia tahun lepas.Idea itu kemudian diubah menjadi realiti melalui satu inisiatif antara pusat jagaan dan Lien Foundation, sebuah rumah milik seorang dermawan Singapura, yang kemudian mengambil anggota FARM, sebuah persatuan seni kreatif tempatan bagi mereka cipta keranda buat penghuni itu.Inisiatif itu menjadi sebahagian daripada kempen "Hidup Sebelum Mati" yang mahu agar orang ramai berfikir dan bercakap mengenai kematian dan untuk memfokuskan keperluan mendesak bagi jagaan yang baik sebelum menghadapi kematian.Yayasan itu juga menjemput artis dari komuniti kreatif global Eyeka, untuk mencipta 'Happy Coffins' terbaik, sama ada untuk diri mereka, orang yang tersayang atau individu yang memberi inspirasi.Sebanyak 733 permohonan diterima dari 37 negara bagi pertandingan reka cipta keranda antarabangsa dengan 75 peratus peserta menghasilkan rekaan untuk keranda mereka sendiri.Projek itu mengikis stigma kematian dan mengubah keranda dari satu simbol ketakutan dan kesedihan kepada sesuatu yang positif dalam seni penyataan pengakuan mengenai kehidupan.“Nama ‘Happy Coffins’ mungkin kedengaran seperti konsep yang berlawanan. Tapi ia berlawanan dengan apa yang kami ingin lakukan,” kata ketua pegawai eksekutif yayasan itu Lee Poh Wah.Beliau berkata "kami ingin mengubah keranda daripada satu simbol negatif yang tertinggi menjadi satu kanvas kreatif yang melambangkan inspirasi dan meraikan suasana kehidupan secara positif.”Lee berkata dengan melemahkan idea kematian yang konvensional, adalah diharapkan untuk membebaskan pemikiran dan mencetuskan dialog atau perbualan mengenai perkara kematian yang tidak perlu dipenuhi dengan kesedihan tetapi dipenuhi dengan gelak ketawa dan kenangan yang indah.Geraldine juga berkata di sebalik kemuraman dan azab, projek itu walaupun nampaknya mengenai kematian sebenarnya memberi kehidupan.“Ia telah melahirkan platform yang bukan mengancam penghuni kita untuk berkongsi kehidupan mereka dan bercakap mengenai impian dan harapan sebelum perjalanan terakhir," katanya.Katanya tiga penghuni pusat itu kini sedang membuat persiapan untuk memasuki alam baqa.Elsie Chua, seorang Peranakan yang telah menempah sebuah keranda putih dengan rekaan dan lukisan dengan corak dari pasu porselin berwarna biru dan sulaman, berkata “ Saya tidak takut untuk bercakap mengenai pemergian saya.”“Ia amat bermakna kerana boleh membentuk rekaan keranda saya dan melihatnya sebelum saya mati,” katanya dengan menambah “Saya mahu memakai kebaya yang sedondon.”Sambil bergurau, Lee berkata, “kita ada pereka pakaian dan coklat, jadi kenapa tidak pereka keranda yang boleh menggambarkan impian, personaliti dan kehidupan yang unik.”Cerita kehidupan individu di sebalik setiap tanda nama keranda ia akan menjadi perkara yang sedih untuk dibualkan di upacara pengebumian, katanya. - BERNAMA