KUALA LUMPUR: Kenapa masih ada yang lebih gemar mendapatkan rawatan bomoh bagi penyakit atau masalah kesihatan yang mereka alami berbanding mendapatkan khidmat profesional di hospital?Penulis masih ingat satu episod pada tahun 1974 di mana sepupunya, Halimah (bukan nama sebenar), mengadu merasa kebas di lengan kiri beliau yang kemudiannya merebak ke seluruh tangan itu sehingga menyebabkan tangan itu lumpuh.Halimah yang sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya pergi berjumpa bomoh yang mengatakan masalah itu disebabkan gangguan makhluk halus. Bomoh itu kemudian membekalkannya dengan 'air jampi' dan ubatan.Beberapa bulan selepas berjumpa bomoh itu, Halimah sakit teruk dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Doktor kemudian memberitahu anggota keluarganya yang Halimah mengidap kanser payudara pada peringkat lanjut. Tidak lama kemudian Halimah meninggal dunia.Pada tahun 2004 seorang lagi anggota keluarga penulis, Mohamaad, mengadu sakit dada dan sukar bernafas. Beliau dikejarkan ke Pusat Pakar di Damansara dan kemudian dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini di mana beliau menjalani pemeriksaan 'angiogram'.Mohamaad kemudian diberitahu doktor tentang tiga arteri koronari di jantung beliau tersumbat dan beliau perlu menjalani pembedahan pintasan koronari.Tetapi kerana takut menjalani pembedahan, Mohamaad lebih rela mendapatkan rawatan tradisional. Pada tahun yang sama, beliau meninggal dunia selepas satu 'serangan jantung'. KENAPA? Walaupun mengetahui implikasi perkara ini, masih ada yang lebih rela berjumpa bomoh bagi menyelesaikan masalah perubatan yang mereka alami daripada mendapatkan rawatan profesional di hospital. Pesakit ini termasuklah mereka yang berpelajaran tinggi.Kenapa? Dr Florence Lim, seorang pakar perubatan di hospital awam di sini menghuraikan beberapa faktor tentang isu ini."Ada yang lebih suka jumpa bomoh kerana rawatan yang disediakan bomoh lebih murah daripada kos rawatan di hospital. Contohnya bagi kes kanser, rawatannya memerlukan kemoterapi, radioterapi dan juga pembedahan dan ini ia mahal."Jadi mereka yang tidak mampu akan mencari rawatan di mana kosnya lebih murah, seperti mendapatkan rawatan tradisional," katanya.Kata Dr Lim ada juga pesakit yang tidak suka kesesakan di institusi kesihatan awam terutama di hospital kerajaan."Sudah tentu bila pesakit datang ke hospital dan mengadu mereka mengalami sesuatu masalah yang mencurigakan, mereka akan dikehendaki menjalani prosedur pemeriksaan lengkap selain beberapa ujian yang diperlukan. Pada rutinnya, pesakit akan diperiksa dahulu oleh pegawai perubatan di klinik sebelum dirujuk kepada pensyarah, pakar atau konsultan."Ujian seperti profil darah dan juga air kencing perlu dilakukan. Begitu juga dengan pemeriksaan radiograf (sinar x dan juga pemeriksaan imbasan) perlu dijalankan bagi membantu doktor mengenal pasti penyakit yang dialami."Tetapi ada pesakit yang tidak suka diminta pergi atau dirujuk dari satu jabatan ke jabatan yang lain. Bagaimanapun ujian-ujian ini penting dan diperlukan untuk mengetahui sebab sebenar penyakit yang mereka hidapi," kata beliau sambil menambah ada juga pesakit yang tidak gemar hadir pada pemeriksaan lanjutan kerana dianggap memakan masa. MENOLAK HAKIKAT SEBENAR Menurut Dr Lim, ada juga pesakit yang menolak hakikat yang sebenar."Kami memahami perkara ini. Kami tahu reaksi sesetengah pesakit bila mereka diberitahu tentang penyakit kronik yang mereka alami seperti penyakit kegagalan ginjal."Ada yang tidak boleh terima. Ada pula yang berharap penyakit ini akan pulih selepas beberapa waktu. Situasi ini adalah 'tahap penolakan'. Itulah sebabnya ada pesakit yang tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana takut berhadapan dengan kenyataan yang sebenar. Jadi mereka lebih selesa dengan mendapatkan rawatan bomoh".Ada juga pesakit yang menghadapi kesukaran dan tidak mahu pergi jauh ke hospital kerana ini dianggap rumit, terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar. Ini sebab utama mereka tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana bomoh sebaliknya hanya tinggal satu kampung dengan mereka, kata beliau."Ada juga yang takut dengan wad di hospital serta juga peralatan yang digunakan. Ada yang takut dengan mesin radiograf dan mesin imbasan selain prosedur pengambilan darah dan infusi intravena. Sudah tentu ujian lain seperti 'pengambilan air tulang' adalah menyakitkan", kata beliau. TIADA BUKTI Seorang lagi pakar prubatan, yang hanya mahu di kenali sebagai Dr Tan, berkata tiada bukti kukuh mengenai rawatan tradisional boleh merawat penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang dan hati."Pengamal perubatan tradisional mengatakan mereka ada ubat bagi penyakit kronik termasuk juga yang boleh membawa maut seperti kanser. Pesakit tidak sedar ubat tradisional hanya boleh memburukkan keadaan mereka."Ada yang mengalami penyakit seperti kanser, lebih suka pergi jumpa bomoh daripada mendapatkan rawatan doktor di hospital. Kerana ini keadaan mereka jadi lebih teruk", kata beliau.Menurut Dr Tan, ada pesakit yang bila diberitahu mereka menghidapi kanser, mengatakan mereka mahu pulang dulu dan bincang dengan keluarga tentang rawatan yang akan dijalankan. Sebenarnya mereka pergi jumpa bomoh untuk dapatkan rawatan."Malangnya, bila situasi bertambah buruk ahli keluarga akan membawa pesakit ke hospital tetapi keadaan mungkin sudah terlambat," tambah Dr Tan. - BERNAMA