KUALA LUMPUR: Bagi pengunjung yang selalu berulang-alik ke Ipoh, Perak dari ibu kota, membayar kadar tol kira-kira RM52 dan kos minyak hampir RM100 untuk perjalanan pergi balik adalah perkara lumrah.Perjalanan pula biasanya memakan masa kira-kira dua setengah hingga tiga jam, dan mungkin lebih lama lagi jika pada musim cuti atau perayaan.Namun, bagi mereka yang ingin sampai cepat ke destinasi atau mengurangkan kos perjalanan kini mempunyai alternatif yang lebih pantas, selesa, selamat dan menjimatkan.Kini pengunjung ke Ipoh boleh menggunakan Perkhidmatan Tren Elekterik (ETS) bernilai RM48 juta yang merupakan tren pertama yang dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan, kafeteria dan tandas.Ketua Pegawai Operasi ETS Azizullah Kinayapullah berkata pengguna dapat menikmati masa perjalanan yang singkat tanpa perlu bimbang dengan kesesakan lalu lintas sekiranya mereka memilih untuk memandu kereta sendiri."Pengguna tidak perlu risau dengan masa perjalanan yang diambil kerana ETS menawarkan masa perjalanan iaitu dua jam dari Ipoh ke Kuala Lumpur jadi tidak timbul soal kesesakan yang harus dihadapi oleh pengguna, malah risiko kemalangan juga dapat dikawal," katanya kepada Bernama.Menurut Azizullah, perkhidmatan ETS yang mesra pengguna dapat menarik minat orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan ini."Tren ETS ini adalah mesra pengguna terutamanya di kalangan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) malah ETS juga dilengkapi dengan kafeteria serta layanan daripada pramugara dan pramugari kami yang sedia berkhidmat," katanya.Beliau berkata, meskipun terdapat rungutan daripada orang ramai berhubung harga tiket promosi RM30 yang dianggap mahal bagi satu perjalanan, namun keselesaan serta kepuasaan pengguna adalah menjadi tanggungjawab utama pihak beliau."Tidak dinafikan ada di kalangan pengguna yang membuat rungutan tentang harga ini tetapi sejak sebulan beroperasi kami banyak menerima maklum balas yang cukup positif kerana kami memberikan perkhidmatan cemerlang," katanya.Tambah Azizullah, harga ETS amat relevan jika dibandingkan dengan kadar tol lebuh raya dari Ipoh ke Kuala Lumpur sebanyak RM26.50 sehala dan kos minyak melebihi RM100 bagi dua hala bagi perjalanan itu.ETS yang mula beroperasi sejak 12 Ogos lepas telah menarik purata antara 1,200 dan 1,400 penumpang setiap hari sepanjang dua bulan tersebut.Dalam masa yang sama, pihak ETS meningkatkan perkhidmatan daripada enam kepada lapan perjalanan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatannya.Waktu operasi dari Ipoh ke Kuala Lumpur bermula seawal pukul 4 pagi dan tamat 6.30 petang manakala tren dari Kuala Lumpur ke Ipoh pula bermula seawal pukul 6.20 pagi dan tamat pada 9 malam."Pihak kami juga akan mengambil tenaga kerja yang baru untuk menampung permintaan pengguna di samping memberikan perkhidmatan yang baik, kerana ia pasti menimbulkan memori yang indah kepada mereka," katanya.Bernama berkesempatan mendapatkan pandangan para pengguna ETS yang ditemui di Stesen KL Sentral, antaranya Nur Syuhada Abdul Hamid,21, yang menganggap perkhidmatan tren ini sangat memudahkan pelajar sepertinya."Bila ada tren senanglah sedikit nak berulangalik, lagi pun harganya murah untuk pelajar seperti saya yang tidak memiliki lesen memandu lagi," katanya.Sharon, 29, berkata ini merupakan kali pertama beliau mencuba sendiri perkhidmatan tren ini selepas mengetahuinya dari media."Dengar masa perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur hanya dua jam sahaja jadi nak rasa sendirilah. Memang saya sangat teruja lagi pun harga dia pun ok...tak membebankan sangat berpadanan dengan tempat yang selesa", katanya.Jamie yang berasal dari Kelantan berkata, masa perjalanan yang singkat dan selamat antara yang menarik beliau untuk memilih perkhidmatan tren ini."Kalau nak lihat risiko kemalangan, bila nak tren lagi selamat dan dapat dikurangkan, berbanding pengangkutan awam yang lain...yang penting ia selesa," katanya. Situasi ini juga dianggap benar berbeza bagi Murdin Ali,58, yang sudah tiga kali menggunakan perkhidmatan tren ini."Selesa dan selamat...kerana itu saya memilih perkhidmatan ini. Mungkin ada yang beranggapan harganya agak mahal tetapi bagi saya kalau mahal pun tidak mengapa sebab ia selesa dan sesuai untuk orang seusia saya," katanya. - BERNAMA