suria

Walaupun Sedang Mengembara di AS, David Munusamy Terkenangkan Masakan Di Hari Deepavali

David bergambar di depan bangunan State Capitol di Boise, Idaho, AS.
David bergambar di depan bangunan State Capitol di Boise, Idaho, AS.
David bergambar di depan bangunan State Capitol di Boise, Idaho, AS.

SEORANG pengembara rakyat Malaysia yang sudah pun bergelar 'datuk' tidak berpeluang menyambut perayaan Deepavali di kampung halamannya di Nibong Tebal, Seberang Prai Pulau Pinang pada 5 November ini kerana sedang menunggang basikal secara solo merentasi Amerika Syarikat (AS).

Namun dia tetap mengingati mereka dan terkenangkan hidangan istimewa pada hari perayaan penganut agama Hindu itu.

David Munusamy Reddie, 58, berkata, dia mengidamkan kari kambing dan makanan istimewa India yang sentiasa dihidangkan pada hari Deepavali.

Pesara juruteknik Tenaga Nasional Berhad itu berkata, dia selamat dan sihat di AS dan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Deepavali.

"Saya pernah menunggang basikal merentasi banyak negara tetapi saya tetap mencintai tanahair sendiri, Malaysia," katanya dalam satu temuramah menerusi emel dari Mississippi pada Isnin.

David, yang memulakan ekspedisi tersebut pada 30 Ogos lalu menyatakan bahawa "home is where the heart is (Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri)."

Setakat ini, dia telah menunggang basikal sejauh 4,828 kilometer (km). Pengembaraan berbasikal itu dijangka membawanya melalui 20 negeri pada jarak antara 6,000 km hingga 8,000 km dari Washington di Barat hingga Virginia di Timur.

David memberitahu, dia tiba di Idaho, Washington, Montana, Wyoming, Colorado, Kansas, Missouri, Arkansas, Tennessee, Alabama, Mississippi dan sedang menuju ke Florida.

"Saya mungkin hilang 10 kg sejak mula menunggang basikal di sini. Bagaimanapun, saya dapat berkawan dengan ramai orang sepanjang pengembaraan ini.

"Beberapa orang yang baik hati menawarkan saya menaiki trak mereka, terutamanya di permukaan bumi yang berbukit-bukau.

Manakala ada yang memberikan saya makanan, wang dan tempat untuk bermalam," tulisnya.

David menambah, walaupun panorama lereng bukit adalah indah, tunggangan menaiki cerun bukit "membebankan" tulang belakangnya.

Sehubungan itu, katanya, dia terpaksa menolak basikalnya menaiki bukit.

Artikel Lain