MIRI: Bagi mereka yang belum pernah sampai ke Ba'Medamot di daerah Baram di Sarawak, sudah pastilah mereka tidak dapat menggambarkan betapa sulitnya membawa pembangunan ke kawasan yang begitu terpencil ini. Terletak di kawasan pergunungan yang mencecah ketinggian sehingga 2,000 kaki dari paras laut, Ba' Medamot tidak mempunyai jalan perhubungan darat dan tiada sungai yang cukup besar untuk dilalui perahu. Satu-satunya cara untuk bergerak di Ba' Medamot ialah dengan berjalan kaki. Berjalan kaki berjam-jam mahupun berhari-hari merentasi hutan belukar memang sudah menjadi kelaziman bagi Raja @ Sabin Libat, ketua kampung petempatan Ba' Medamot yang dihuni kira-kira 80 orang penduduk Penan. "Nak pergi ke jalan balak yang terdekat, kami biasa berjalan kira-kira empat jam. Nak ke Bario pula ambil masa dua hari dan kena tidur dalam hutan separuh jalan," katanya dalam Bahasa Melayu yang terhad kepada penulis yang berkesempatan sampai ke Ba' Medamot baru-baru ini. Peluang Bernama untuk sampai ke petempatan ini muncul sewaktu menyertai rombongan yang diketuai Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk merasmikan pelancaran projek perumahan baru Penan, kemudahan asas dan bekalan air paip graviti di sana. PENAN, MASYARAKAT NAIF Reaksi Raja dan penduduk Penan Ba' Medamot ini semasa menyambut kedatangan tetamu ke majlis itu jelas membayangkan betapa jarangnya mereka dikunjungi pelawat dari luar. "Mana satu menteri?" tanya Raja kepada penulis semasa mencari tetamu kehormat yang belum pernah beliau temui. Setelah ditunjukkan, Raja terus merapati Awang Tengah dan dapat didengari perbualan mereka. Raja masih ingin memastikan dan bertanya: "Kamu menterikah? Siapa nama kamu?" Awang Tengah yang sudah biasa dengan layanan berprotokol masih tetap melayan mesra Raja dan memperkenal dirinya. Tiada siapa yang boleh menyalahkan kenaifan Raja dan anak-anak buahnya. Mereka masih kurang terdedah dengan maklumat luar ekoran kedudukan mereka yang agak terpinggir dari arus perdana pembangunan. Beberapa pondok kecil yang menjadi kediaman mereka juga menggambarkan kedaifan hidup dan bergantung kepada hasil hutan untuk hidup. Namun keadaan ini akan berubah buat Raja dan anak-anak buahnya. Projek yang dilancarkan hari itu akan menjadi titik permulaan bagi mereka melepaskan diri dari kepompong kedaifan untuk mengecapi taraf hidup yang lebih baik lagi.PROJEK MENAGIH KUDRAT DAN SEMANGAT "Projek ini paling mencabar sekali," kata Datuk Len Talif Salleh, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak yang juga Pengarah Perhutanan Sarawak. Inisiatif perintis itu dilaksanakan jabatan berkenaan dengan kerjasama Pertubuhan Kayu Balak Tropika Antarabangsa (ITTO) dan dua buah syarikat swasta - Samling Strategic Corporation dan Erickson Air-Crane. Seramai 30 orang petugas jabatan itu berkampung selama dua bulan di Ba' Medamot untuk menyiapkan projek berkenaan yang melibatkan pembinaan 20 buah rumah serta pembinaan sebuah empangan untuk menampung keperluan bekalan air graviti. Selama berada di situ, mereka bertungkus-lumus dengan penduduk tempatan untuk mendapatkan kayu balak dari hutan untuk dipotong menjadi papan dan diangkut keluar ke tapak pembinaan. Bahan binaan lain seperti batu dan pasir pula diperoleh dari Lawas, sebuah bandar kecil di utara Sarawak, yang diangkut menggunakan lori melalui jalan balak selama lebih 10 jam dan berakhir di Kem Pembalakan Ravenscourt, sebuah tapak operasi pembalakan milik Samling Strategic Corporation di bahagian pedalaman B Limbang. Dari kem pembalakan itu, khidmat helikopter milik Erickson Air-Crane digunakan untuk mengangkut bahan binaan ke Ba' Medamot. Len Talif menganggarkan keseluruhan kos pembinaan perumahan itu kira-kira RM750,000 tetapi tidak termasuk kos untuk pemprosesan kayu balak menjadi papan. “Namun apa yang membuat saya terharu ialah komitmen petugas jabatan saya serta kegigihan penduduk di sini membantu memastikan projek ini menjadi kenyataan,” katanya.MENGAKHIRI IGAUAN, MENUNAI IMPIANSetelah bertungkus-lumus selama dua bulan, projek yang disiapkan berjaya merubah landskap di Ba' Medamot. Kalau dahulunya petempatan ini hanya gabungan 15 pondok daif yang sesak penghuninya, Ba' Medamot kini bagaikan sebuah resort tropika yang unik di tengah-tengah hutan Sarawak kalau dilihat dari udara. Kini penduduknya tak perlu lagi mengangkut air dari anak sungai Kubaan untuk kegunaan mereka kerana bekalan air paip sudah ada di rumah baru ini. Ngau Usin yang sempat ditemui Bernama sudah bersiap-siap bersama keluarganya untuk berpindah ke rumah baru setelah lebih empat tahun tinggal bersesak bersama isteri dan lapan orang anaknya di sebuah pondok. Keceriaan wajah Ngau yang tidak pasti tentang umurnya sendiri, terpancar sewaktu beliau melihat air mengalir deras dari pili yang dipasang di hadapan rumah barunya. "Macam bermimpi sahaja," katanya yang baru pertama kalidalam hidup merasai air dari pili mengalir di tangannya. Daripada 20 buah rumah yang dibina, 15 buah diberikan kepada keluarga Penan yang terlibat, sementara yang selebihnya dijadikan sebagai pejabat Jabatan Hutan, Pos Renjer, Pusat Informasi dan Budaya, serta tempat tinggal untuk pelancong. Sebelum kejayaan projek ini, Jabatan Perhutanan Sarawak pada tahun lepas menyiapkan sebuah jambatan gantung sepanjang 32 meter merentasi Sungai Kubaan berdekatan Long Semirang, kira-kira sehari perjalanan kaki dari Ba' Medamot. Menurut Len Talif, jambatan itu untuk memudahkan penduduk Ba' Medamot berjalan ke Bario menghantar anak-anak mereka ke sekolah. "Tanpa jambatan ini, agak sulit untuk mereka menyeberangi Sungai Kubaan yang deras airnya itu," katanya. Selain penyediaan infrastruktur yang asas, jabatan ini juga giat mendidik penduduk di sini untuk bercucuk tanam bagi tujuan memenuhi keperluan mereka dan seterusnya mengurangkan penggantungan kepada aktiviti mencari makanan di dalam hutan. "Kita tidak akan berhenti di sini sahaja. Masih banyak lagi perancangan kami," kata Len Talif. - BERNAMA