suria

Pengalaman Baru Inap Desa Kampung Jalan Baru

PULAU PINANG: Program percutian berkonsepkan 'homestay' atau inap desa bukanlah sesuatu yang baru, hanya setiap program mempunyai keunikan sendiri.

Bak kata pepatah 'tak kenal, maka tak cinta' inap desa menjanjikan suatu pengalaman yang cukup luar biasa, selain daripada keindahan panorama alam semula jadi dan produk orang kampung.

Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti program inap desa anjuran RM Travel & Tours Sdn Bhd, dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk berkampung selama tiga hari dua malam di Kampung Jalan Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Kampung Jalan Baru yang terletak berdekatan pantai ini ialah sebuah perkampungan Melayu yang masih lagi mengekalkan tradisi dan adat orang Melayu, serta kehijauan desa.

PERCUTIAN INDAH

Program ini di bawah projek Rail Tourism Kementerian Pelancongan, membawa sekumpulan 29 wakil media dan ejen pelancongan menggunakan perkhidmatan Express Rakyat dari stesen KL Sentral ke stesen Butterworth.

Jelas terpancar kegembiraan dan keseronokan setiap anggota rombongan yang berpeluang merasai pengalaman menaiki kereta api 'koc santai'.

Pegawai Unit Pemasaran Perkhidmatan Antara Bandar KTMB Aboo Hassan Maiden berkata: "Koc santai ini dapat memuatkan 36 orang penumpang dan ia dilengkapi dengan sistem PA serta set karaoke untuk penumpang berhibur sepanjang perjalanan."

BERHARI RAYA DI INAP DESA

Bagi penulis, pengalaman menaiki kereta api bersama kumpulan rombongan membawa kenangan yang cukup indah kerana sudah lama tidak menaiki kereta api.

Sepanjang perjalanan menuju ke inap desa Kampung Jalan Baru itu yang mengambil masa lebih enam jam, lambaian pepohon hijau 'menemani' penulis dan terdetik di hati penulis 'bagaimanakah sambutan orang kampung setiba di sana nanti'.

Tepat pada pukul 12.30 tengah malam rombongan tiba di Kampung Jalan Baru dan sambutan penduduk kampung dengan paluan kompang dan bunga manggar menyebabkan rasa letih hilang. Tersentuh hati penulis dengan kesungguhan dan semangat penduduk kampung yang sanggup menungggu rombongan walaupun di malam Aidiladha.

KORBAN

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Waillah ilham.

Suara takbir memecah keheningan subuh hari merupakan pengalaman yang cukup indah, apa lagi ia juga pengalaman pertama penulis menyambut Aidiladha di tempat baru dan asing baginya.

Seawal pukul 8 pagi, lebih 20 orang penduduk kampung berkumpul untuk ibadah korban lapan ekor lembu.

Zainol Ahmad, penyelaras Inap Desa Kampung Jalan Baru yang juga ketua kampung itu, berkata kebiasaannya ibadah korban dibuat secara bergotong-royong.

Kesemua daging dibawa ke masjid untuk dimasak dan diagihkan kepada 315 buah rumah di kampung itu.

Masuk hari kedua, 'keluarga angkat' ini terasa seperti keluarga sendiri dengan kemesraan dan keramahan mereka membuatkan penulis tidak terasa asing.

Hidangan kampung pada tengah hari sangat membuka selera penulis hingga terlupa yang dirinya 'berdiet'. Menu kampung seperti asam pedas ikan pari, kari ayam, sayur campur, ikan pari goreng dan sambal kicap sungguh menyelerakan.

Mahadiah Salleh, 69, atau lebih mesra dengan panggilan Tok Ngah berkata hidangan yang disediakan menggunakan cili yang digiling sendiri, memperkaya lagi rasa.

Dalam program itu juga rombongan berkesempatan berkunjung ke pusat industri kampung yang menghasilkan kuih bahulu, bedak sejuk dan kraftangan kertas.

Bagi Faridah Ali, 42, pengusaha kuih bahulu, beliau menceburi perusahaan ini sejak lapan tahun yang lepas dan mencatatkan jualan antara RM1,000 dan 1,500 sebulan.

"Kuih bahulu utara ini berbeza dengan kuih bahulu di tempat lain sebab rasanya yang lebih lembut dan sedap tambahan pula akak tak simpan bahulu lama, Semua akak buat bila ada tempahan daripada pembeli," katanya.

Pernahkah anda mencuba bedak sejuk gamat, aloe vera, kulit rambai dan susu kambing? Jika tidak, Kampung Jalan Baru ialah tempat yang paling tepat untuk mendapatkannya.

Pengalaman menyaksikan sendiri proses pembuatan bedak sejuk menarik penulis untuk mendekati Zaimah Jamaluddin, 34.

Idea menghasilkan bedak sejuk ini timbul ketika Zaimah berkunjung ke rumah saudara beliau di Kedah.

Bedak sejuk ini dijual pada harga antara RM2 dan RM 3.50 dan perancangan Zaimah kini ialah untuk menghasilkan bedak sejuk daripada serbuk kayu manis yang dipercayai dapat menghilangkan parut dan jerawat.

KRAFTANGAN KERTAS

Selain itu, penulis juga berpeluang melihat sendiri kraftangan kertas untuk dijadikan bakul atau pasu menggunakan surat khabar terbuang. Siapa sangka bahan terbuang sesuai dijadikan kraftangan yang cukup menarik.

Menurut Pengarah Pelancongan Pulau Pinang Jamie Yeoh, program inap desa di kampung ini merupakan antara sembilan buah inap desa yang terdapat di Pulau Pinang.

"Keunikan inap desa di sini adalah durian Balik Pulau yang istimewa, dengan musim buah ini dari Mei hingga Julai menjadi daya tarikan utama ke sini," katanya.

Jamie berkata program inap desa yang bermula pada tahun 2007 mensasarkan 5,000 hingga 10,000 orang pengunjung pada tahun hadapan.

"Kami dalam proses untuk menggalakkan pengusaha inap desa memperkenal laman web sendiri, facebook dan blog kerana ini dapat memudahkan lagi rangkaian promosi pelancongan inap desa, selain menerusi portal rasmi kementerian www.go2homestay.com," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Inap Desa Pulau Pinang Muhamad Farid Saad berkata penyertaan menyeluruh penduduk kampung dapat meningkatkan lagi tawaran inap desa dan menempatkan nama kampung itu pada peta pelancongan.

"Mereka bukan sahaja dapat meraih pendapatan dari rumah mereka tetapi juga melalui produk kampung termasuk hasil dari laut dan pertanian," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain