Zailani Mohamad menunjukkan sebilah keris dipercayai berusia lebih 100 tahun milik pelanggannya yang sedang dibuat semula hulu dan sarungnya oleh beliau. - Foto BERNAMAMELAKA: Masyarakat Melayu memang terkenal dengan seni pembuatan senjata tradisional yang suatu masa dahulu menjadi senjata mempertahan diri.Peredaran masa menyaksikan seni pembuatan senjata warisan ini semakin kehilangan pakarnya mungkin kerana kurangnya minat generasi muda untuk mewarisi kepakaran itu.Bagaimanapun, Zailani Mohamad, 42, bertekad untuk memastikan tradisi itu tidak lenyap ditelan peredaran masa dan beliau mahu memartabat kembali seni itu yang suatu masa dahulu menjulang nama Melaka di nusantara.Menjadikan rumahnya di Kampung Morten, sebagai bengkel, Zailani gigih menempa senjata tradisional seperti keris, parang, kapak dan taji ayam.Bukan menempa untuk berperang tetapi sebagai alat kebesaran dan juga barang hiasan.Zailani memperoleh kepakaran ini daripada beberapa pakar membuat senjata ini di Melaka, Kelantan dan Terengganu.Kebiasaannya, seorang pakar pembuatan senjata tradisional mempunyai salah satu kepakaran sama ada membentuk besi menjadi mata senjata atau membentuk sarung dan hulu senjata tetapi Zailani memiliki kedua-dua kepakaran itu. KEPAKARAN MEMBENTUK BESI "Membentuk besi menjadi senjata untuk perhiasan senang tetapi kalau kita hendak betul-betul bentuk besi menjadi senjata untuk bertempur itu yang susah," katanya kepada Bernama.Bagi senjata perhiasan, beliau menggunakan kepingan besi yang sedia dibentuk yang ditempah daripada pengilang manakala untuk tempahan senjata bertempur, Zailani menggunakan campuran pelbagai jenis besi untuk mengukuhkan struktur senjata itu.Katanya tukang besi selalunya mencampurkan logam daripada tiga hingga 13 jenis logam pada bilangan ganjil untuk membentuk pelbagai jenis mata untuk senjata dan selalunya keris dihasilkan menggunakan cara ini.Tukang besi pada zaman Kesultanan Melayu Melaka gemar menggunakan campuran tujuh jenis besi seperti emas, perak dan tembaga berdasarkan peratusan tertentu di mana campuran ini dinamakan "Besi Kuning" dan masyarakat pada zaman itu percaya bahawa besi jenis itu mempunyai nilai kebatinan.Bagi Zailani, nilai kebatinan dalam seni pembuatan senjata ini ada tetapi beliau tidak mengamalkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.Beliau percaya niat ikhlas pembuat untuk menghasilkan senjata yang baik lebih penting daripada amalan kebatinan itu.Setelah selesai proses mencampurkan dan membentuk besi, Zailani akan melakukan proses "sepuh" sejenis proses menyejuk besi dengan cepat dengan merendam ke dalam minyak untuk mengukuhkan lagi mata yang dibentuk.Mata senjata daripada kepingan besi yang sedia terbentuk juga melalui proses itu sebelum kemasan terakhir terhadap mata senjata itu untuk ke proses membentuk hulu juga sarung senjata berkenaan pula. MEMBENTUK HULU DAN SARUNG Hulu dan sarung senjata itu selalu dibuat daripada jenis kayu yang tahan lama, keras dan mempunyai urat kayu yang cantik. Bagi tujuan itu, Zailani menggunakan kayu daripada jenis Merbau Merah, Kemuning Hitam, Nibong dan Lengas di mana kayu-kayu itu dipotong dan dikeringkan selama seminggu.Masa yang diambil untuk membentuk hulu dan sarung ini bergantung kepada jenis senjata yang dihasilkan dan perincian ukiran senjata itu seperti parang yang mempunyai hulu dan sarung yang ringkas mengambil masa antara satu dan dua hari manakala untuk keris, mengambil masa antara dua dan tiga minggu."Hulu keris ini banyak jenis bergantung kepada kegunaannya pada masa zaman dahulu, seperti hulu Jawa Demam digunakan untuk keris pertarungan dan hulu Tapak Kuda digunakan sebagai keris hukum (keris digunakan untuk menjalankan hukuman mati kepada pesalah)," katanya.Selain daripada hulu Jawa Demam dan Tapak Kuda, Zailani juga mahir membuat hulu keris jenis Pekaka, Patah Tiga dan Ayam Teleng.Kerumitan proses membentuk hulu dan sarung itu juga bergantung kepada bahan yang digunakan, kayu selalunya mengambil masa yang singkat manakala hulu dan sarung daripada bahan seperti tanduk kerbau mengambil masa yang agak panjang untuk dibentuk.Menurut Zailani perkara yang paling menggembirakanya ialah bila ada pelanggan yang memerlukan perkhidmatanya untuk memulihkan senjata lama terutama keris."Ada yang bawa mata keris berusia lebih 100 tahun, minta saya buat hulu dan sarungnya, bagi saya kerja memulihkan senjata lama ini sebagai satu amanah kepada saya sebagai anak Melayu," katanya.MEMPELBAGAI PRODUK WARISAN Selain menghasilkan senjata tradisional, Zailani juga menghasilkan pelbagai jenis ukiran kayu sebagai pendapatan sampingannya malah ketika ditemubual Bernama, beliau sibuk menyiapkan tempahan kotak ukiran permainan dart untuk sebuah bank terkemuka di Melaka.Zailani menghasilkan pelbagai produk ukiran kayu daripada papan tanda kecil sehingga gazebo berukiran tradisional yang dibina di hadapan rumahnya.Paling menarik yang dihasilkan oleh Zailani merupakan ukiran daripada tunggul kayu terbuang yang direka menjadi kerusi dan juga pemegang senjata tradisional lama."Pendapatan saya tidak banyak sangat, antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan sahaja tetapi kerana minat, saya teruskan, saya juga sedang mencari pakar-pakar membuat senjata lama yang lain untuk mendalami lagi ilmu ini," katanya. - BERNAMA