Seorang anggota 'Pink Angel' Sarah Chee selepas menceritakan pengalamannya ketika menyedari terdapat ketumbuhan padanya, dalam satu kempen 'Pink Purse' di Sunway dekat Petaling Jaya, baru-baru ini. Kempen itu, dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) dan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kanser payu dara di kalangan rakyat Malaysia disamping mengumpul dana. - Foto BERNAMAPETALING JAYA: “Saya mahu membantu dengan berkongsi pengalaman saya dengan yang lain. Ketika pertama kali saya menyedari ada ketumbuhan pada saya, saya jahil atau mungkin tidak mahu menerima hakikat itu."Saya ke klinik untuk berjumpa doktor dan dirujuk ke hospital untuk menjalani mamogram. Saya dimaklumkan bahawa ketumbuhan itu tidak berbahaya,” jelas Sarah Chee di khalayak ramai baru-baru ini di Sunway dekat sini.Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) dan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser payudara dalam kalangan rakyat Malaysia selain mengumpul dana menerusi kempen `Pink Purse'.Sehingga 33 peratus daripada jumlah populasi wanita di Malaysia menjadi mangsa kanser payudara; iaitu 1 daripada 20 wanita Malaysia menghadapi kebarangkalian tinggi mengalami kanser payudara. Risiko ini adalah tinggi.Statistik ini boleh dikurangkan melalui pengesanan awal. Kesedaran mengenai penyakit ini dan amalan pemeriksaan sendiri payudara dapat membantu mencegah kanser payudara peringkat lanjut!Sarah meneruskan cerita dengan berkata ketumbuhan itu buat pertama kali dikesannya pada 1997 dan beliau tidak ambil kisah sangat kerana keputusan mamogram adalah negatif.Dan Sarah dengan gembira meneruskan gaya hidup sihatnya. SENAMAN BERJADUAL “Saya berlari tiga kilometer sehari. Saya makan dan minum secara sihat. Saya tidak terfikir untuk bertemu doktor pakar untuk mendapatkan pendapat kedua.Kemudian saya mula sedar yang ketumbuhan itu semakin besar,” kata Sarah kepada hadirin yang menumpukan pendengaran dan pandangan mereka kepada Sarah yang bertubuh kecil, yang berdiri di hadapan podium di tengah-tengah pentas.Beliau mengakui bahawa menghadiri kempen kesedaran kanser payudara bukan rutin beliau sehinggalah beliau memutuskan untuk memeriksa semula ketumbuhan yang terus membesar itu, 10 bulan kemudian.“Saya bertemu dengan doktor pakar selepas menyedari ketumbuhan itu membesar. Daripada raut wajahnya, saya sudah tahu berita yang akan disampaikan tidak baik,” Sarah meneruskan kisahnya.Akhirnya biopsi dilakukan, dan keseluruhan payudaranya dibuang segera. “Kesemua ketumbuhan mesti diperiksa dengan serius dan dirawat dengan segera. Kanser payudara bukanlah bermakna hukuman mati,” kata Sarah kepada para hadirin.Beliau menangis tiga hari tiga malam selepas disahkan menghidap kanser dan memberitahu audien “Itu perkara biasa.”Sarah kini merupakan seorang anggota `pink angel' yang sedia menemani mereka yang mengalami kanser payudara dan memerlukan bantuan. RAWATAN SEGERA “Adalah penting bagi mereka yang menghidap kanser payudara untuk menguruskan dengan lebih baik kehidupan dan penderitaan mereka dengan sokongan keluarga. Saya menghabiskan masa melayari Internet untuk mendapatkan maklumat bagi keluarga saya; pendedahan yang wajar terhadap penyakit yang saya alami ini. "Mereka dalam keluarga juga harus bersedia hidup dengan penyakit ini kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan harian dan interaksi kita,” kata Sarah, yang terselamat daripada ancaman kanser payudara, apabila ditanya bagaimana keluarga menanganinya selepas beliau disahkan menghidap kanser payudara. Oleh itu keperluan untuk mendidik setiap warga Malaysia, dari semua kumpulan umur pastinya sangat perlu. Dan kempen-kempen seperti “The Pink Purse” dan “Be a Pink Angel” pasti akan memudahkan wanita serta keluarga untuk mendapatkan maklumat yang perlu bagi membantu anggota keluarga, rakan ataupun jiran. Ranjit Kaur, presiden BCWA memberitahu media dan para hadirin pada pelancaran kempen 'Pink Purse' dan 'Be A Pink Angel' bahawa “kami di BCWA percaya sudah tiba masa untuk mendekati masyarakat luar bandar dan menggalakkan wanita di situ mendapatkan bantuan perubatan bagi apa-apa perubahan luar biasa pada payudara dan mendapatkan rawatan tepat pada masa apabila didiagnosis dengan kanser payudara." KEMPEN PINK ANGEL Selain daripada pelbagai usaha yang diambil untuk menjayakan kempen, 10,000 layang-layang berwarna merah jambu dalam bentuk bidadari akan dijual pada harga RM10 setiap satu sehingga Januari 2011, di kawasan orang ramai berkunjung.“Pada 15 Januari 2011, kami akan melepaskan layang-layang bidadari ini dalam satu acara besar di Kuala Lumpur. Langit akan dipenuhi bidadari merah jambu yang melambangkan harapan serta sokongan bagi penghidap kanser payu dara dalam memerangi penyakit itu."Jadi dapatkanlah layang-layang bidadari merah jambu ini untuk menunjukkan sokongan anda terhadap kempen ini,” demikian diumumkan oleh presiden BCWA. Buat masa ini lebih 7,500 layang-layang disediakan untuk umum, yang menunggu sokongan mereka untuk kempen 'Pink Purse' yang dilancarkan sebelum ini.Beliau menambah kata bahawa merah jambu merupakan lambang universal menandakan sokongan serta pendirian bersama untuk kanser payudara, kasih sayang dan ia dipilih untuk kempen ini kerana ia juga melambangkan simbol fesysen kaum hawa.“Apabila dipadankan dengan aksesori seperti dompet dengan warna yang sama, ia memudahkan usaha mengumpul tabungan kerana diterima lebih baik dan lebih mudah difahami. Ia diwujudkan selari dengan langkah ‘Be A Pink Angel’ (jadilah Pink Angel) dengan harapan masyarakat tidak akan teragak-agak untuk menderma dengan murah hati, membantu mereka yang menghidap kanser payudara," jelas beliau.Kempen Pink Purse bukan sahaja bertujuan mengumpul dana untuk pesakit dengan kanser payudara di peringkat lanjut tetapi juga untuk mendidik, mewujudkan kesedaran yang sangat perlu itu selain untuk menjangkau sampai kepada lebih ramai pesakit penyakit itu di seluruh negara.Tabungan ini akan diuruskan dengan inisiatif ‘Be a Pink Angel’ yang disokong oleh J. Co Donuts & Coffee dan G2 Kuala Lumpur, bertujuan membawa harapan kepada mereka yang menderita kanser payudara peringkat lanjut. PERUBATAN Sementara itu, Moira Kok, ketua komersil Onkologi Asia Tenggara di GSK berkata permintaan terhadap produk yang bertumpukan pada kanser keluaran syarikat itu kini meningkat berganda.“Produk kami dijual secara persendirian dan falsafah kami sekarang ialah untuk mengurangkan dan menurunkan harga ubat-ubatan ini di Asia Tenggara. Kami menggunakan Pendapatan Kasar Negara (GNI) seperti yang ditakrif Bank Dunia, untuk menetapkan harga produk perubatan kami termasuk ubat untuk kanser di rantau ini,” jelas Moira.Sejak Mac 2010, kos ubat-ubatan seperti ini di Malaysia dikurangkan sebanyak 38 peratus.Moira percaya bahawa inovasi ini akan memperluas pilihan rawatan kepada lebih ramai pesakit, pada harga yang mampu khasnya bagi mereka di peringkat lanjut penyakit itu.Secara purata, tempoh hidup median bagi wanita yang mengalami kanser payu dara peringkat lanjut ialah dari dua hingga empat tahun."Dengan adanya pilihan rawatan ini, 21 peratus daripada pesakit mencapai kadar tempoh hidup sehingga lima tahun. Sebelum ini di hospital seluruh negara, yang termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 30 hingga 40 peratus daripada kanser payudara peringkat lanjut III dan IV telah dicatatkan,” tambah Moira. KEMPEN KANSER PAYUDARA Rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat perlu lebih bersedia mengambil bahagian dalam kempen-kempen perubatan di sekeliling mereka.Selain daripada itu, pelbagai kempen diadakan oleh pusat-pusat perubatan swasta, bersama dengan BCWA and Majlis Kanser Negara (MAKNA) dan juga persatuan-persatuan kanser lain.Kesedaran yang didorong ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan maklumat kepada umum mengenai kanser payudara tetapi juga untuk memberi bantuan berterusan kepada bilangan pesakit kanser yang semakin meningkat. - BERNAMA