KUALA LUMPUR: Mahasiswa universiti Zana (bukan nama sebenar) memutuskan untuk menceburi perniagaan jualan langsung setelah menghadiri ceramah tentang 'bagaimana menjana keuntungan beribu Ringgit sebulan'. Zana begitu teruja dengan 'persembahan' pelan pemasaran yang disampaikan oleh penceramah itu yang memberikan gambaran tentang betapa senangnya untuk menjana pendapatan yang besar dengan menjual alat kelengkapan rumah. "Anda boleh menjadi majikan anda sendiri dan mendapat pulangan lumayan dengan menjual produk serta mendapat komisyen dengan mempelawa ahli baru untuk menyertai perniagaan ini," seorang penceramah memberitahu mereka yang hadir pada sesi ceramah itu. Tetapi Zana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memulakan perniagaan itu. Keluarganya tidak begitu menggalakkan kerana Zana masih belajar dan enggan memberikan wang modal. Zana memutuskan untuk menggunakan wang Pinjaman Tabung Pelajaran Tinggi Nasional (PTPTN) untuk dibuat modal. Tetapi malangnya setelah beberapa bulan dalam perniagaan jualan langsung itu dan terpaksa membahagi masa antara pelajaran dan dunia perniagaan, Zana mendapati pendapatan daripada perniagaannya bukanlah sesuatu yang senang untuk dicapai. "Saya berjaya menjual hanya beberapa produk. Akhirnya saya mengalami kerugian yang besar. Tetapi apa yang lebih memeningkan ialah saya menghabiskan wang pinjaman PTPTN untuk itu," kata Zana kepada penulis. Zana menyesal tindakannya memasuki dunia perniagaan langsung ketika masih belajar 'tidak menjadi' dan daia terpaksa mencari sumber kewangan yang lain untuk menampung kos pelajarannya. JUALAN LANGSUNG "Adalah tidak berapa bijak bagi pelajar universiti menceburi bidang perniagaan kerana mereka sepatutnya fokus terhadap pelajaran. Bukannya senang nak dapat tempat di universiti, jadi mereka sepatutnya menggunakan peluang yang diberi dengan baik dan bukan menyalah guna wang PTPTN", kata aktivis sosial dan pengguna Fatimah Mansur bila ditanya tentang dilema yang dihadapi Zana. Fatimah berkata penjual langsung mestilah seorang yang mempunyai kesabaran dan tahu bagaimana caranya mendekati pelanggan selain mempunyai masa untuk berbuat demikian. "Itulah sebabnya tidak berapa bijak bagi pelajar menceburi bidang perniagaan kerana ini akan memberi impak terhadap pelajaran kerana penjual langsung perlu memberikan penerangan serta membuat demonstrasi tentang produk yang mereka jual", katanya. Penjual langsung bebas seperti Zana beroperasi bagi pihak diri sendiri atau bagi pihak syarikat, menjual produk dan perkhidmatan melalui jalinan jualan peribadi.UNTUNG, RUGI Penjual langsung berpeluang mencapai keuntungan yang lumayan daripada perniagaan mereka tetapi mereka juga mesti bertanggungjawab terhadap risiko yang bersangkut-paut dengan perniagaan seperti ini. Ini bermakna mereka juga boleh menanggung kerugian besar, terang seorang lagi aktivis pengguna dan sosial, Gurmukh Singh. "Jadi mereka juga boleh buat duit dan pada waktu yang sama boleh menanggung kerugian yang kadang kala agak besar," katanya. Antara barang dalam bidang jualan langsung termasuk produk kosmetik dan penjagaan kulit, penjagaan peribadi dan pencuci, penyedut hampagas, produk makanan serta nutrisi, barang rumah serta pembersihan rumah, barang mainan, buku dan produk pembelajaran selain pakaian, barang kemas serta aksesori fesyen. KERJA KERAS, MOTIVASI Kata Gurmukh Singh lagi, bidang jualan langsung memerlukan kesabaran, masa, motivasi dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan. "Kalau tiada elemen-elemen ini, kemungkinan besar perniagaan itu akan gagal. Wang tidak akan begitu mudah masuk ke pangkuan anda. Kejayaan tidak berlaku dengan sekelip mata. "Tetapi ada yang begitu mempercayai yang mereka dapat menguasai perniagaan seperti ini dan wang dengan mudah akan mencurah masuk. Sebenarnya bukan mudah seperti yang mereka sangkakan. Ia mungkin boleh membinasakan (diri)". Kata beliau penjual langsung terpaksa bekerja keras untuk mencapai kejayaan. "Ini bermakna meluangkan masa yang banyak setiap hari bagi mempromosi apa yang mahu dijual, serta sentiasa memberitahu apa yang terkini kepada pelanggan. Selain dari itu anda hendaklah sentiasa fokus dan mempunyai motivasi", kata Gurmukh Singh. Tegas beliau, halangan yang paling besar dalam perniagaan jualan langsung ialah hilang minat serta motivasi. "Jika hilang minat, kemungkinan besar perniagaan jualan langsung anda tidak akan berjaya," katanya. Seorang pegawai PTPTN mempunyai nasihat ini kepada pelajar universiti: "Duit PTPTN sebenarnya untuk pelajar menampung yuran universiti dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain. "Jika pelajar didapati menyalah guna wang itu, mereka menghadapi risiko pinjaman di tarik balik," katanya. - BERNAMA