suria

Ada Apa Di Kuala Lumpur?

KUALA LUMPUR: Jika anda penduduk di ibu kota Kuala Lumpur dan ditanya tempat menarik dan bersejarah yang boleh dilawati, apa jawapan anda?

Bila ditayang pula dalam program popular Amazing Race Asia beberapa tempat di ibu Negara yang dikunjungi peserta, adakah kita mengenali di mana tempat itu?

Beberapa warga kota mengakui yang mereka tidak pernah bergambar di Menara Kembar Petronas walaupun sering melihat pelancong asing berbuat demikian. Yang sering berjalan atau berlari dengan kamera di bawah sinar terik matahari di Kuala Lumpur ialah pelancong asing kerana mereka kagum dengan keindahan dan kedamaian suasana di ibu kota, terutama di hujung minggu.

Bagi kebanyakan penduduk ibu kota sendiri, Kuala Lumpur bagi mereka ialah tempat bekerja, makan dan membeli belah.

Jarang sekali melihat sekumpulan penduduk wilayah persekutuan ini bersiar-siar santai menjelajahi ibu kota, apatah lagi merakamkan potret diri di tempat-tempat menarik di sekitarnya.

Kalau ada pun keluarga yang membawa anak-anak atau saudara.

Oleh itu apabila 400 orang yang kebanyakannya pemastautin Kuala Lumpur diberi cabaran menjelajahi sejauh 15 km untuk menjejaki lokasi warisan 1Malaysia di ibu negara, ramai yang terpinga-pinga pada mulanya tetapi perjalanan itu membuka mata peserta mengenai kekayaan warisan dan keindahan Kuala Lumpur.

Explorace

Mereka berjalan, berlari dan menari di kawasan segitiga emas dan sekitar Kuala Lumpur di bawah program 1Malaysia Kuala Lumpur Heritage Explorace 2011 yang julung kali dianjurkan Menara KL baru-baru ini.

Acara itu diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Kawasan Bukit Nanas merupakan lokasi terawal harus diteroka oleh peserta.

Antaranya, Taman Eko Rimba KL yang dahulunya merupakan kawasan pertahanan orang Mandailing daripada serangan Bugis.

Sebagai benteng pertahanan, mereka menanam pokok nanas sebagai pagar mengelilingi kawasan ini. Kini kawasan itu diwarta sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas.

Mengenai Tradisi Warisan 1Malaysia

Bangunan Sultan Abdul Samad ialah Big Ben Malaysia, yang menyamai Big Ben popular kota London.

Bangunan lama yang bercirikan Mogul India Utara ini, kini menempatkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Di sini peserta diingatkan peranan jam besar bangunan ini semasa sambutan ulung kemerdekaan negara.

Di bawah cuaca terik matahari peserta explorace menggolekkan buah kelapa di padang yang dahulunya kebun sayur dan kemudian dijadikan padang kawad polis.

Di sinilah juga bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaya pertama dinaikkan pada 31 Ogos 1957.

Kini gah dikenali sebagai Dataran Merdeka.

Di Dataran Merdeka jugalah di adakan pertunjukan Chingay, bendera tiga segi berwarna warni yang diikat pada tiang berukuran 12 meter, dibawa serta diimbangi peserta supaya tidak tumbang hingga ke garisan penamat, hanya dengan menggunakan kepala atau dahi.

Chingay merupakan aktiviti tradisi kaum Cina dan terkenal di Pulau Pinang.

Acara ini amat menguji peserta kerana terpaksa melawan arus angin yang kuat di Dataran Merdeka.

Bukan mudah untuk melaksanakan tugasan ini.Tetapi kalau tiada acara seperti ini pula, tidak mungkin penduduk biasa ibu kota, berpeluang merasai menjulang Chingay di padang Dataran Merdeka!

Sejarah Kuala Lumpur

Bila membeli belah di Jalan Masjid India, kita akan mudah tertarik dengan bunga Malai berwarna-warni tetapi untuk berhenti sebentar dan mencuba menyusun bunga-bungaaan di situ, adalah tidak mungkin dilakukan.

Tetapi semasa acara explorace ini, peserta diuji membuat bunga Malai daripada bunga melur. Bunga Malai digunakan kaum India untuk adat istiadat keagamaan, perkahwinan dan dikalungkan kepada jemputan dan orang kenamaan sebagai tanda hormat.

Menyediakan bunga Malai memerlukan ketelitian dan kesabaran yang amat tinggi. Rumit tetapi mengasyikkan.

Kawasan Masjid India itu juga penuh dengan sejarah. Tahukah anda Wisma Yakin yang popular dengan jualan baju Melayu, dan segala kelengkapan seperti kain samping songket, songkok dan kain pelikat atau telekong dan sejadah, sebenarnya terletak di tengah-tengah kawasan sawah padi dan ladang kelapa beratus tahun dahulu? Jalan di hadapannya, Jalan Masjid India dan Jalan Melayu kini merupakan tempat paling sibuk dengan urusan jual beli dan masih menempatkan beberapa bangunan rumah kedai sebelum perang di celah-celah bangunan moden yang tersusun megah.

Bangunan Warisan 1Malaysia

Era moden Negara menuju Wawasan 2020 menyaksikan pelbagai kemudahan telekomunikasi tersedia untuk orang ramai.

Untuk tidak melupakan yang lama di Kuala Lumpur ada Muzium Telekom dan apa yang ada di dalamnya ialah alat dan sejarah telekomunikasi dari dulu hingga sekarang.

Ia terletak berdekatan dengan Bukit Nanas.

Bangunan yang dibina dengan gaya seni bina Greek ini asalnya untuk menempatkan ibu sawat telefon manual jenis central battery.

Deretan lapan tiang ionia adalah satu daripada ciri klasik dan keunikan bangunan ini.

Sebelum Menara Kembar Petronas didirikan, di mana agaknya ibu pejabat syarikat petroleum negara ini? Peserta dibawa ke Kompleks Daya Bumi, ibu pejabat lama Petronas dan di situ mereka diberi cabaran menyusun suai 'puzzle' keratan gambar berkaitan warisan 1Malaysia.

Tidak ketinggalan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi persinggahan peserta untuk menjawab beberapa soalan mengenai agensi ini dan Kuala Lumpur.

Ada satu bangunan agam di Kuala Lumpur iaitu Heritage Mansion yang terletak di Jalan Doraisamy, dahulunya adalah rumah sebelum perang berusia 80 tahun.

Untuk menghayati semangat 1Malaysia di situ, peserta diberi penyepit makanan untuk mengutip kacang yang disediakan. Sukar bagi peserta Melayu dan India, tetapi sekurang-kurangnya mereka sudah tahu kepakaran kaum Cina mengambil makanan dengan penyepit kayu.

Ramai yang tahu di mana letaknya bangunan Parlimen sekarang tetapi berapa ramai yang tahu sidang parlimen pertama bukan berlangsung di sana tetapi di Dewan Tunku Abdul Rahman, di Jalan Ampang.

Dikenali sebagai MATIC, pusat penerangan pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan ini, memberi kemudahan kepada pelancong merancang lawatan di Malaysia.

Permainan Tradisional 1Malaysia

Explorace ini selain membawa peserta menjelajah Kuala Lumpur turut memperkenal pelbagai permainan tradisional kepada peserta.

Selain menjulang Chingay, menggunakan kayu penyepit, gelanggang gasing dibuka di MATIC.

Permainan ini amat popular dalam kalangan pesawah selepas musim menuai padi.

Apa pula yang boleh disumpit di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur berbanding yang dilakukan Orang Asli di hutan? Maka belon menjadi pilihan.

Walaupun kepakaran menyumpit tidak dapat dikuasai dalam sekelip mata, tetapi ada sebilangan peserta yang dapat menyumpit tepat pada sasaran.

Selain permainan, tarian tradisional juga menjadi syarat untuk dilakukan para peserta. Umpamanya tarian Ngajat kaum Iban semasa Hari Gawai atau musim menuai dan tarian Singa yang dipersembah semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Atas semangat 1Malaysia, kesemua tarian ini mudah digayakan oleh semua peserta.

Cergas

Berpatah balik dari MATIC ke Menara Kuala Lumpur adalah sesuatu yang mencabar.

Semangat dan stamina memberi kelebihan kepada peserta explorace melalui cabaran hingga ke penamat.

Dari Menara KL, keindahan pemandangan ibu kota begitu terserlah dan kepenatan sepanjang explorace selama lima jam, hilang dalam kekaguman menyaksikan dan menghayati segala keistimewaan yang ada di Kuala Lumpur. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain