LUNDU: "Kamek (saya) suka musim pilihan raya tok (ini). Pilihan raya lepas kamek ngekot (saya ikut) ke pusat pengiraan undi di Samarahan. Syiook, sampei 3 pagi baruk pulang. Sik (tak) pernah sebelum tok bah (ini)," kata Zubaidah Zainudin, pegawai kerajaan berusia 50 tahun dalam bahasa tempatan Sarawak.Baginya pilihan raya Sarawak pada 16 April ini juga serupa keadaannya, iaitu kemeriahannya diterima baik oleh penduduk Sarawak.Sebanyak 71 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertanding. Hari penamaan calon ialah pada 6 April.Di sebalik kesibukan suasana berkempen, harapan penduduk seperti Zubaidah hanya satu, wakil rakyat yang dipilih hendaklah bersedia berkhidmat untuk rakyat.Kebanyakan kemudahan sudah ada, cuba perbaiki atau naik taraf mana yang patut dan jangan lupa kebajikan rakyat, katanya.Siapa pilihan hati mereka? "Saya punya undi (ada) dalam hati. Saya tak boleh cerita. Saya sudah 17 tahun berniaga di sini. Saya dari Kuching, tinggal di tepi Pantai Pandan di Lundu ini untuk cari wang. (Mereka) beri peluang berniaga kecil-kecil sudah cukup," Chan Eng Hee, 60, menyatakan harapannya.Chan suka jika wakil rakyat lebih kerap turun padang.Peniaga RuncitDi tepi sebuah jalan kecil menuju ke Pantai Pandan, lebih 90 kilometer dari Kuching, terdapat sebuah kedai runcit yang menjual makanan ringan dan minuman kepada pengunjung pantai.Peniaga yang hanya mahu dipanggil Tan, 56, sudah berniaga di situ selama lima tahun. Beliau berasal dari Kuching dan tidak mengundi di Lundu.Bila ditanya tentang pilihan raya kali ini, Tan membayangkan harapannya agar wakil rakyat yang dipilih dapat membantu mengawal harga barang."Harga minyak bila naik, semua harga barang jadi mahal. Itu mesti kawal dulu barulah kita boleh ada wang lebih untuk berbelanja dengan keluarga, datang ke pantai dan membeli di kedai makan saya," katanya sambil ketawa, tetapi beliau serius dengan pendapatnya.LunduDaerah Lundu, yang terletak di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu terletak lebih sejam perjalanan dengan kereta dari bandar Kuching, ke arah barat laut.Ia turut bersempadan dengan bahagian barat Kalimantan, di Indonesia.Kawasan tanah yang luas di Sarawak ini membolehkan kawasan hijau dikekalkan di sepanjang kawasan yang dilalui dari Kuching ke Lundu, melalui antaranya kawasan Petra Jaya, Matang dan Bau.Sebelum sampai di Lundu, perjalanan dari Telaga Air melalui Matang membawa pengunjung ke sebuah jeti feri merentangi Sungai Sempadi.Khidmat feri yang boleh memuatkan lebih kurang 25 buah kereta ini, beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu.Bayaran RM1 dikenakan untuk setiap kenderaan beroda empat yang menaiki feri untuk ke seberang sungai selama 10 minit.Hussein yang sudah tiga tahun bekerja di syarikat feri ini bertugas dari pukul 6.30 pagi sehingga 11.30 malam setiap hari."Feri ini buat hampir 100 perjalanan sehari, berulang alik membawa penumpang kenderaan menyeberangi sungai ini. Di hari-hari bekerja, ia tidak berapa penuh. Hujung minggu lebih sibuk," tambah Hussein.Penjual Keropok Di kampung Stunggang Melayu, di daerah Lundu ini juga, kebanyakan penduduknya terdiri daripada nelayan, peniaga keropok dan makanan ringan.Halijah Hasli mengusahakan perniagaan makanan ringan di gerai tepi jalan, di hujung Kampung Stunggang Melayu.Apabila ditanya tentang harapannya terhadap pilihan raya ini, Halijah menegaskan bahawa kesangsian warga kampungnya terhadap kerajaan Barisan Nasional, memang tiada."Cuma saya berharap sangat kerajaan membina tapak perniagaan yang lebih baik di sini, yang berpotensi dikunjungi ramai dan menjana pendapatan lumayan kepada penduduk tempatan," katanya.Harapan pengundi di sini mudah sahaja, wakil rakyat yang mereka pilih hendaklah menepati janji mereka, menjalankan tugas dengan baik dan kerap meninjau kebajikan mereka. -BERNAMA