suria

Kanyakumari: Di Mana Matahari Terbit Dan Terbenam

Cenderahati daripada pelbagai jenis dan warna yang diperbuat daripada cangkerang dijual sekitar persisiran pantai ketika wartawan melawat Kanyakumari, Tamil Nadu di India, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Cenderahati daripada pelbagai jenis dan warna yang diperbuat daripada cangkerang dijual sekitar persisiran pantai ketika wartawan melawat Kanyakumari, Tamil Nadu di India, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Cenderahati daripada pelbagai jenis dan warna yang diperbuat daripada cangkerang dijual sekitar persisiran pantai ketika wartawan melawat Kanyakumari, Tamil Nadu di India, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

KANYAKUMARI (Tamil Nadu, India): Kanyakumari, pekan tepi pantai yang berada di kedudukan paling selatan benua kecil India menggamit pelawat dengan legenda, geografi serta sejarah yang menarik.

Memandangkan kedudukan geografinya yang unik, di tempat ini anda boleh melihat matahari terbit dan matahari terbenam di samping laut yang berdepan dengan pekan ini sebenarnya adalah titik pertemuan dua laut dan sebuah lautan - Teluk Bengal, Laut Arab dan Lautan Hindi.

Saya berada di Kanyakumari baru-baru ini dan agak kagum dengan kelainan di pekan yang aneh dan menarik ini.

LEGENDA PARVATHY

Legenda Dewi Parvathy sebenarnya yang mendorong saya ke sini. Kanyakumari dinamakan bersempena dengan Kanya Devi, Dewi Perawan, satu daripada penjelmaan Dewi Parvathy dalam legenda Hindu.

Saya sebenarnya ke sini untuk melawat Kuil Kumari Amman berusia 3,000 tahun yang terletak di tepi pantai dan arca Dewi Perawan di dalamnya selain meninjau lanjut akan legenda ini yang saya pertama kali dengar lama dahulu.

Mengikut legenda, Kanya Devi bersiap untuk berkahwin dengan Dewa Shiva tetapi ekoran muslihat seorang pendeta durjana perkahwinan itu tidak menjadi dan oleh kerana kecewa Kanya Devi bersumpah untuk kekal sebagai anak dara sepanjang hayatnya.

Kuil ini terkenal dengan satu keajaiban, kilauan permata anting-anting hidung Dewi Perawan ini boleh dilihat dari jauh pada waktu malam.

Dan melihat kepada panorama tepi pantai dan bilangan pelancong yang datang dari seluruh dunia, bagi mereka yang tidak biasa dengan tempat ini pun pasti menyedari terdapat lebih daripada legenda itu lagi di sini.

PERINGATAN BAGI VIVEKANANDA DAN THIRUVALLUVAR

Cuaca panas dan lembap semasa saya tiba di sini dengan musim panas India baru bermula.

Para pelawat ke pekan ini disambut oleh pemandangan Memorial Vivekananda dan arca Thiruvalluvar setinggi 40.5 metre (133 kaki) masing-masing atas pulau batu lebih kurang 1 km dari pantai.

Untuk sampai di kedua-dua tempat ini terdapat perkhidmatan feri dan feri yang saya naiki penuh dengan mereka yang datang bercuti. Walaupun perjalanannya singkat, adakalanya penumpang terasa gerun kerana bidai dilambung tinggi dari feri.

Saya diberitahu oleh penduduk tempatan bahawa jeti feri ini dan sebahagian besar daripada pesisir pantai dilanda tsunami pada 2006 yang telah mengubah landskap pesisir pantai Kanyakumari.

Feri itu berhenti di pulau batu pertama di mana tersergam indah Memorial Vivekananda. Para pengunjung diminta meninggalkan alas kaki masing-masing di tempat yang dikhaskan tetapi ramai yang mendapati sukar untuk berkaki ayam di lantai granit yang boleh dikatakan 'membara' akibat panas matahari.

Di tempat inilah pendeta spiritual India Swami Vivekananda bertafakur dan mencapai kesedaran yang membawa perubahan besar kepada beliau dan dari sini bermulalah perjalanan spiritual beliau.

Di bahagian belakang memorial ini terdapat tempat suci 'Sripada Parai' yang dikatakan sebagai bekas tapak kaki Dewi Parvathy atas batu. Batu di mana memorial ini berada hari ini dianggap suci oleh penganut Hindu sejak zaman berzaman.

Feri yang menurunkan penumpang di sini mengambil pula mereka yang mahu meneruskan perjalanan ke pulau batu bersebelahan di mana terdapat arca tokoh kesusasteraan silam Tamil - Thiruvalluvar.

Arca yang diperbuat daripada batu dan konkrit ini selain adalah hasil seni yang mengagumkan juga melambangkan kehebatan bahasa, budaya dan sejarah Tamil. Kedua-dua struktur ini bermandikan cahaya pada sebelah malam dan menawarkan pemandangan yang mempersonakan.

MATAHARI TERBIT DAN TERBENAM

Bagaimanapun, daya tarikan sebenar Kanyakumari ialah panorama matahari terbit dan matahari terbenam.

Tetapi malang sekali semasa lawatan saya ini pemandangan matahari terbit dan matahari terbenam di ufuk dihalang oleh awan. Bagaimanapun, ia masih satu pengalaman yang mempersona dengan beratus-ratus orang menunggu untuk menyaksikan satu lagi keindahan alam semulajadi.

Keindahan ini juga menyebabkan sukar untuk mendapatkan bilik-bilik hotel yang berdepan dengan laut kerana ditempah sekali gus oleh kumpulan-kumpulan pelancong. Oleh itu kebanyakan hotel di sini menyediakan tempat mencerap di bumbung bagi tetamu bilik yang tidak menghadap laut.

Seorang kakitangan Sea View Hotel yang dikenali sebagai Laxman berkata hotel-hotel di sini ditempah sepenuhnya dari Jun-Julai dan Oktober-Disember.

Pemandu saya G.Ramasamy menambahkata pengunjung ke Kanyakumari perlu menempah hotel terlebih dahulu khasnya semasa Oktober-Disember kerana ratusan penganut warga asing yang datang ke Sabarimalai di Kerala turut bertandang ke sini.

Walaupun pemandangan fajar menyingsing di ufuk dihalang oleh awan, saya tetap menyaksikan pemandangan yang indah di bawah khasnya kaum nelayan yang kembali dengan tangkapan mereka dan barisan panjang orang menunggu untuk melihat matahari terbit.

Satu lagi tarikan pelancong di Kanyakumari ialah Memorial Gandhi yang dibina di mana balang yang mengandungi abu Gandhi disimpan untuk tatapan umum sebelum ia dilepaskan ke laut di belakang memorial ini - di mana dua laut dan satu lautan itu bertemu.

MEMBELI BELAH DAN MAKAN

Berhampiran Memorial Gandhi pengunjung berpeluang melihat dan membeli pelbagai cendera hati, khasnya yang diperbuat daripada cangkerang.

Laut bersebelahan kaya dengan cangkerang dan penduduk tempatan di sini mahir dalam menjadikan cangkerang sebagai hiasan - cermin dinding dihiasi cangkerang, tali langsir cangkerang, gelang rantai dan anting-anting diperbuat daripada cangkerang dan banyak lagi cender hati yang diperbuat daripada cangkerang yang pelbagai, cantik dan berwarna-warni.

Para pengunjung pasti didatangi penjaja jalanan menjual barang kemas tiruan, jam tangan, rantai manik dan banyak lagi.

Para peniaga di Sannathi Street dekat jeti juga menjual pakaian serta barangan lain dan penduduk tempatan secara amnya boleh dikatakan ramah. Pelbagai masakan selatan India disajikan di kedai-kedai makan tempatan yang menampung pelawat termasuk restoran-restoran hotel. Juga terdapat restoran makanan laut India di hadapan Sea View Hotel.

Bagaimanapun, oleh kerana kesuntukan masa saya hanya mampu mencuba beberapa juadah dan rasanya tidak kurang hebat.

Berbaloi melawat Kanyakumari dan saya pasti akan kembali satu hari nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain