KUALA LUMPUR: Lina (bukan nama sebenar) baru berumur lapan tahun. Pada usia tersebut, beliau sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, bergaul bersama rakan-rakan sebaya, bermain dan mengulang kaji pelajaran.Namun nasib Lina tidak seindah yang dilalui kanak-kanak seusianya. Beliau melalui hari-hari yang gelap sejak beberapa bulan lepas setelah dijual bapanya sendiri kepada pihak ketiga yang kemudian memperdagangkan dirinya untuk tujuan seks.Setiap hari, Lina yang berasal dari sebuah kawasan di Selangor, dipaksa bekerja dengan memberi perkhidmatan seks kepada lelaki yang boleh dipanggil abang, bapa atau datuk kepadanya.Beliau, yang dikawal oleh lelaki yang dipanggil "uncle", tidak mengerti dengan apa yang sedang dilaluinya dan kenapa diperlakukan sebegitu apatah lagi untuk memahami akan haknya sebagai seorang kanak-kanak.Mungkin ramai yang tidak sedar, kes sebegini berlaku dalam masyarakat kita. Realitinya, kisah Lina hanyalah secubit kisah daripada kehidupan sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.Jika kita beranggapan, isu pemerdagangan kanak-kanak hanya berlaku di negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, ia adalah silap kerana sebenarnya jenayah tersebut turut berlaku dengan meluas di negara ini.Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez dalam temubual sebelum ini menyatakan ramai kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa kes seumpama telah diselamatkan dari negara seperti Kanada, Japan, German dan Amerika Syarikat dan Malaysia kini bukan sahaja dijadikan sebagai negara transit malahan mengeksport dan terlibat dengan negara destinasi untuk aktiviti pemerdagangan.Menurut statistik, antara Februari 2008 hingga October 2010, sebanyak 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di sekitar negara Asia.KENAPA KANAK-KANAK?Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (international Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki.Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak.Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.Kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan jenayah melangkaui sempadan yang berlaku di merata negara di dunia ini diangkat menjadi isu global yang ditangani secara serius di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.Pengutip dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainudin berkata kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental.Beliau yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak terutama di Chow Kit berkata banyak faktor yang mendorong kanak-kanak mudah terjerat hingga bersetuju untuk dibawa pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui yang mereka akan dieksploitasi.Ada sebahagian mereka percaya dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Namun ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual."Sekarang memang penjualan bayi yang kita nampak menonjol. Mereka yang tidak punya anak biasanya akan membeli bayi itu tanpa diketahui latar belakang mereka. Menjadi satu kebimbangan jika perkara ini tidak dibendung kerana mereka yang mampu boleh membelinya."Perkara ini akan berterusan kerana cuba kita lihat berapa ramai yang mengandung anak luar nikah, wanita yang tidak mempunyai dokumen diri, wanita yang tidak diketahui warganegaranya yang menyebabkan mereka tidak tahu di mana harus diletakkan bayi tersebut, jadi jalan paling mudah adalah dengan menjualnya," katanya.Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai dokumen, kerana tidak diketahui asal-usul.Namun yang menjadi fokusnya kini ialah kanak-kanak yang diperdagangkan untuk komersial antaranya dijadikan pelacur, peminta sedekah, mahupun keldai dadah dan aktiviti jenayah lain.KANAK-KANAK DIPERDAGANG UNTUK SEKSSeperti juga mangsa di kalangan orang dewasa, sindiket cuba memancing kanak-kanak dan golongan muda menggunakan pelbagai cara. Dalam jenayah yang semakin kompleks adalah amat sukar untuk mengenalpasti pergerakan sindiket atau individu yang menjalankan aktiviti pemerdagangan orang.Kebanyakan wanita yang menjadi pelacur adalah mangsa yang diperdagangkan sejak kanak-kanak.Malah 75 hingga 80 peratus wanita yang menjadi pelacur adalah mangsa penderaan seksual semenjak dari kanak-kanak dan anggaran umur kanak-kanak yang menjejaki dunia pelacuran bermula seawal usia 13 tahun.Dr Hartini berkata, ada juga kanak-kanak yang diperdagangkan untuk menjadi pelacur seawal umur lapan tahun seperti yang berlaku ke atas Lina yang kini masih menjalankan aktiviti tersebut setelah dijual bapanya."Ia adalah kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita. Selain kanak-kanak itu (Lina), saya turut menemui dua kanak-kanak dari India dan Thailand yang dibawa masuk ke negara ini untuk tujuan eksploitasi seks."Kanak-kanak dari India itu kini berumur 15 tahun dan dibawa masuk ke Malaysia pada umur 13 tahun manakala kanak-kanak Thailand itu kini berumur 17 tahun dan dibawa masuk ke Malaysia sejak empat tahun lepas. Sampai hari ini ketiga-tiga mereka masih dipergunakan dan diperdagangkan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan," katanya.Katanya, ekploitasi seks bukan hanya berlaku kepada kanak-kanak perempuan malahan kepada kanak-kanak lelaki yang nisbahnya adalah sama.Selain dijadikan pelacur, mereka diekploitasi untuk rakaman bahan video lucah, menjadi pelayan seks dan segala aktiviti eksploitasi seks yang boleh memberikan keuntungan.Permintaan yang tinggi terhadap pelacur kanak-kanak membuatkan industri ini bagai tiada penamatnya, malah mereka yang berminat untuk melanggan sanggup membayar walaupun harganya lebih tinggi berbanding pelacur dewasa."Sebab itu kanak-kanak lebih bernilai, kerana mereka dapat mengaut keuntungan yang tinggi malah boleh digunakan sehingga dewasa. Jadi amat penting untuk menghapuskan demand and supply kerana jika tiada permintaan, tidak wujud industri tersebut," katanya.KAEDAH DIGUNAKANMenggunakan internet adalah cara mudah yang digunakan sindiket atau individu untuk mendapatkan pelanggan.Pelanggan boleh melanggan dan melihat wajah kanak-kanak itu melalui kamera video dalam ruangan 'chat room' yang disediakan.Malah mereka juga boleh membuat tawaran harga secara terus melalui perbualan dalam 'chat room'.Dr Hartini berkata, sindiket akan mengawal kanak-kanak ini dengan ketat dan kebiasaannya segala urusan dibuat melalui internet, perbualan telefon, katalog dan bukan secara 'face to face'."Sukar untuk menjejaki sindiket atau individu yang menjalankan kegiatan ini kerana mereka akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, malah pembayaran juga ada dibuat melalui penghantaran wang, bukan transaksi bank atau secara tunai," katanya.Katanya senario sekarang lebih membimbangkan apabila kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan kini membentuk komuniti mereka dan bergerak sendiri dengan memperdagangkan diri mereka tanpa bergantung kepada sindiket atau orang dewasa.Tinjuan beliau di sepanjang Jalan Raja Laut menuju ke Jalan Pahang hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, mendapati senario terbaru itu semakin berleluasa.Di tepi jalan, hentian bas, tempat letak kereta boleh dilihat kelibat mereka menjalankan aktiviti tersebut."Saya amat terkejut dengan senario terbaru ini apabila kanak-kanak yang berumur 17 tahun itu sendiri menjalankan perniagaan dengan memperdagangkan diri, adik, malah anak mereka sendiri.Bermakna mereka kini bergerak sendiri dan kita takut keadaan akan menjadi semakin parah," katanya.KERJASAMA PIHAK BERKUASAMengakui bukan mudah mendekati kanak-kanak tersebut, malah berhadapan dengan cabaran daripada pelbagai pihak termasuk individu dan sindiket yang menjalankan perniagaan melalui jenayah tersebut.Selain perasaan takut, kanak-kanak itu merasakan terpaksa meneruskan aktiviti yang dilakukannya demi menyambung kehidupan.Kaedah memujuk dan mendekati mereka secara perlahan-lahan digunakan bagi membawa mereka keluar daripada kehidupan gelap tersebut.Menurut Dr Hartini, melihat pada lanskap jenayah pemerdagangan manusia yang semakin kompleks hari ini, satu pendekatan yang lebih tersusun perlu dilakukan kerajaan yang membabitkan semua agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Marin dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.Sehingga kini, belum ada lagi kerjasama sebegitu yang dilakukan kerajaan, malah agensi yang terlibat juga tidak mempunyai kemahiran untuk mengendalikan kes membabitkan kanak-kanak."Menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa bukan bermakna penamat kepada episod tersebut, kerana hakikatnya ia baru bermula.Oleh itu mereka perlu diberi perlindungan dan treatment yang berbeza daripada orang dewasa," katanya.Katanya kerjasama kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan isu tersebut juga belum cukup kuat dan masih banyak usahasama yang perlu dilakukan terutama untuk mendapatkan maklumat bagi mengenalpasti permasalahan sebenar."Yayasan Chow Kit sentiasa membuka pintu untuk bekerjsama malah berharap ada pelan stategik bersama-sama kerajaan bagi membantu mengatasi isu dan permasalah tersebut."Selalulah turun padang dan melihat sendiri senario sebenar yang berlaku kepada kanak-kanak terutama di kawasan yang sering dijadikan sasaran seperti di Chow Kit. Kami bukan hero tetapi kami ingin membantu dan mencari penyelesaian terbaik bagi kanak-kanak malang ini," katanya.- BERNAMA