Hubungan rapat di antara pemilik Deerland, Abdullah Ahmad Mahmud dengan beruang madu kesayangannya, Muda, menjadi bukti bahawa hidupan liar dan manusia boleh hidup bersama secara harmoni. Bermula sebagai hobi, Abdullah berjaya mengekalkan persekitaran separa hutan di tanah miliknya menjadi taman yang menempatkan hidupan liar di persekitaran yang sihat dan selamat. Deerland adalah satu lagi destinasi pelancongan yang mesti dilawati terletak tidak jauh dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang. -Foto BERNAMAKUALA LUMPUR: Konflik hidupan liar termasuk pertembungan gajah dengan manusia berlaku apabila hutan milik hidupan liar musnah ekoran aktiviti manusia menyebabkan mereka tiada pilihan lain selain mencari makan di kawasan pertanian bersempadan hutan.Isu itu bermula secara ketara pada tahun 1960-an dan 1970-an, ekoran kerajaan membuka tanah secara besar-besaran melalui Program Basmi Kemiskinan oleh Felda dan Felcra. Begitu juga pembinaan jalan dan lebuh raya yang sering dilakukan di koridor laluan denai gajah telah memotong hutan menjadi fragmen-fragmen kecil dan memburukkan lagi konflik hidupan liar secara keseluruhan. Akibatnya, banyak haiwan terutama mamalia besar seperti gajah, harimau dan beruang telah ditembak atau diracun hingga mati demi keperluan melindungi manusia, manakala kehidupan haiwan solitari seperti badak sumbu menjadi lebih tegang dan terganggu sehingga mereka gagal membiak. INDIKATOR PENGURUSAN ALAM Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK), Nasharuddin Othman, 48, tidak menafikan bahawa konflik di antara hidupan liar dan manusia adalah satu indikator pengurusan sumber asli.Iaitu adakah manusia sebagai penguasa alam bertindak secara bijak dan berhemah dalam erti kata memastikan keseimbangan semasa mengguna dan menguruskan hasil dari alam semulajadi?Membincangkan isu penggunaan hutan, Nasharuddin berpendapat, tidak salah dilakukan asalkan secara mampan dan bijaksana termasuk mengekalkan keadaan hutan dalam bentuk satu entiti besar.Sebagai contoh, aktiviti pembalakan yang dilakukan dengan perancangan teliti adalah lebih baik tanpa memotong bukit atau menebang pokok lain yang pasti merosakkan peranan kawasan sekitar."Jika mahu membalak perlulah kekalkan keadaan hutan, tetapi aktiviti menarah bukit membina laluan lori atau membersihkan terus hutan untuk dibuat ladang, penempatan mewah serta bangunan besar hendaklah dikurangkan," ujarnya.Jelasnya, itu adalah pencerobohan kawasan laluan dan sarang hidupan liar, justeru, tidak wajarlah orang awam marahkan hidupan liar sedangkan aktiviti manusia sendiri sebenarnya telah menyebabkan hidupan liar terperangkap dalam tekanan.Di dalam sebuah buku terbitan Cambridge University Press bertajuk ‘The Asian Elephant: Ecology and Management’ mendedahkan hasil kajian yang mendapati pembukaan ladang kekal khususnya untuk komoditi kelapa sawit dan getah di Malaysia telah berlaku secara berterusan pada kadar yang amat membimbangkan.Contohnya, pada tahun 1985 sahaja, 35,000 kilometer persegi hutan iaitu separuh daripada kawasan rayau gajah di Sabah telah dibuka untuk pertanian.Luas hutan yang ada kini adalah terhad dan tidak mungkin cukup untuk menampung jumlah dan kepelbagaian spesies haiwan liar negara yang diselamatkan daripada menjadi mangsa konflik. BANTU GAJAH Namun bagaimana seseorang boleh membantu gajah liar dalam menghadapi konflik dengan manusia?Nasharuddin berkata, pusat berkenaan boleh membantu menyelesaikan masalah konflik manusia-gajah dengan memindahkan haiwan berkenaan ke lokasi yang lebih sesuai.Lokasi yang sesuai itu sering dirujuk kepada Taman Negara, tetapi Nasharuddin mengakui bahawa kapasiti taman berkenaan adalah terhad. Ia mungkin tidak dapat menampung semua haiwan yang terlibat dalam konflik manusia-haiwan.Beliau juga menjelaskan bahawa kerja untuk memindahkan haiwan berkenaan ke tempat yang lebih selamat menerusi proses translokasi tidak juga menjamin kelangsungan hidup atau masa depan gajah liar yang terlibat.OPERASI TRANSLOKASI MERBAHAYA Nasharuddin telah mengetuai operasi menangkap dan memindahkan gajah liar sejak tahun 1974 dan setakat ini unitnya telah menangkap dan memindahkan 67 ekor gajah liar dengan operasi terkini melibatkan gajah terakhir Jelebu iaitu Buyung Gagu."Pemindahan gajah liar adalah satu operasi yang sukar, panjang dan sangat merbahaya kepada anggota pasukan dan gajah denak, maka perlu dilakukan dengan berhati-hati dan dirancang dengan teliti," katanya.Selain itu, katanya, proses tersebut boleh mengancam keselamatan dan kesihatan gajah liar itu sendiri, jadi jika ia masih berpeluang untuk hidup tanpa dipindahkan, anggota unit akan tembak halau ke hutan yang lebih tebal dengan harapan ia akan mempunyai kawasan rayau dan makanan yang mencukupi."Menjauhkan mereka dari penempatan manusia amat penting kerana kita tidak mahu dia terbiasa dengan makanan kebun," jelasnya.Tabiat sebegitu, katanya, akan mengubah kelaziman pemakanan semula jadi, akan mengancam keselamatan penduduk selain keselamatan dan nyawa gajah itu sendiri. CABARAN JANGKAAN EKSTREM ORANG RAMAI Meskipun PKGK berusaha mengkaji dan melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan gajah dan manusia, mereka masih tidak dapat lari daripada cabaran pengunjung pusat yang serba sedikit menggugat kesabaran.Cabaran utama PKGK datang dari dua pihak yang mahukan kelainan secara ekstrem iaitu dari masyarakat yang mahu melihat hidupan liar dimanipulasi secara santai serta dari pihak yang keras mengecam PKGK sebagai penganiaya kejam.Kata ketua unit tangkapan gajah itu, pencinta haiwan ekstremis tidak faham bahawa anak gajah yatim tidak boleh hidup secara liar ekoran tidak mempunyai kemahiran navigasi dan ikhtiar hidup yang diajar dan diwariskan oleh gajah liar tua."Kami sebenarnya tiada pilihan lain selain menjinakkan dan menjaga anak gajah hingga dewasa, melatih menjadi gajah kerja serta terlibat dalam program translokasi gajah liar, ini perlu dilakukan demi menyelamatkan masa depan gajah liar negara," ujarnya sambil menegaskan latihan untuk gajah residen PKGK tidak pernah melampau. GAJAH JINAK BUKAN MAINAN Selain itu, ramai pelawat yang mempunyai jangkaan berlebihan iaitu mahu melihat hidupan liar dimanipulasi termasuk beraksi seperti sarkas adalah dikira lebih kejam."Kita gembira dapat memberi peluang besar kepada orang awam melihat dengan lebih dekat serta terlibat dalam aktiviti harian gajah residen, tetapi sikap dan minda sebahagian pelawat perlu diubah," tegurnya.Aktiviti gajah bersama pengunjung bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk setakat melihat gajak lebih dekat, tetapi juga menyentuh gajah yang dikira sebagai peluang yang wajar dihargai.Tetapi perlukah umum diingatkan bahawa gajah bukan mainan? Umum dibenarkan memberi buah-buahan dengan tangan, menunggang gajah satu pusingan dan bermain air di sungai dengan gajah.Ini adalah peluang untuk membelai haiwan liar yang telah dijinakkan itu, bukan menarik telinga, belalai, atau menendang gajah semasa menunggang atau bergayut di ekor semasa di sungai.Sangat penting untuk pelawat yang menerima peluang keemasan itu untuk tidak mementingkan diri serta patuh arahan gembala gajah dan kakitangan pusat, demi keselamatan keluarga sendiri dan pengunjung lain. BOLEHKAH KONFLIK DIATASI? Jika diikutkan kadar terkini pembangunan negara, pasti akan menyebabkan lebih banyak konflik manusia dan hidupan liar pada masa akan datang.Barangkali ada pihak yang mendambakan cara yang lebih mudah dan jimat iaitu membunuh sahaja hidupan liar sama ada gajah, harimau atau buaya yang terlibat dalam konflik, tapi ini sama sekali tidak akan dipertimbangkan oleh PKGK.Mungkin timbul persoalan pembaca bagaimanakah konflik antara haiwan liar dan manusia dapat diatasi memandangkan populasi haiwan liar terutama jenis mamalia besar semakin pupus, manakala haiwan jenis lain menjunam secara drastik.Malangnya, dalam mengatasi isu konflik gajah dengan manusia ini, kerajaan hanya dapat merawat simptom iaitu dengan menangkap dan memindahkan gajah, tanpa mengatasi masalah sebenar iaitu penukaran hutan secara besar-besaran.Kuasa menghentikan pembaziran hutan termasuk pembangunan berlebihan yang mungkin tidak diperlukan sama sekali atau merugikan generasi masa depan sebenarnya hanya terletak di tangan kerajaan negeri.Isu itu hanya dapat diatasi sekiranya pemimpin utama semua kerajaan negeri mempunyai kesedaran dan ilmu pengetahuan yang mendalam tentang hubung-kait keseimbangan alam dan manusia. MENJAGA KEBAJIKAN GAJAH MALANG CARA KITAAncaman kepupusan drastik hidupan liar Malaysia yang sepatutnya memiliki sumber asli dan kepelbagaian biologi tertinggi dunia barangkali antara sebab yang memangkin penubuhan unit tangkapan gajah pada tahun 1974.Unit itu kini sebahagian daripada Pusat Konservasi Gajah kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Kuala Gandah, dekat Lanchang, Pahang, di hutan jenis hutan tanah pamah dipterokarp, yang amat sesuai dengan habitat semulajadi gajah.Ia ditadbir Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mencari, mengenal pasti, menangkap dan memindahkan gajah liar yang terlibat atau sesat dari kawasan penempatan manusia ke hutan yang lebih besar.Selain memastikan perlindungan, pengurusan habitat dan pengurusan gajah kerja dan anak gajah terpelihara, ia juga berfungsi sebagai pusat kajian, pendidikan dan eko-pelancongan serta meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan sokongan orang awam akan kepentingan pemuliharaan gajah.Kini, dengan hanya 34 petugas tetap yang dibantu 29 pekerja sambilan, PKGK adalah rumah perlindungan kepada 22 ekor gajah termasuk 12 gajah kerja dan selebihnya anak gajah yang sesat atau kehilangan keluarga ekoran konflik dengan manusia. LIMPAHAN PELANCONG Sebagai destinasi eko-pelancongan, lokasi ini sangat strategik ekoran terletak di titik tengah antara Kuantan dan Kuala Lumpur, selain terdapat lebuh raya yang menjadikannya mudah diakses.Lantas, pelancong ke pusat itu meningkat kepada kadar 12.5 peratus setahun, dengan statistik terkini menunjukkan kedatangan pelancong pada 2009 dan 2010 masing-masing sebanyak 158,528 dan 178,671 orang.Penambahan pelawat itu mewujudkan situasi yang lebih mencabar kepada PKGK untuk mengekalkan keseimbangan di antara aktiviti manusia dan memelihara peranan asal pusat itu.Pengarah PKGK, Nasharuddin Othman, 48, tidak mahu gajah residen menjadi tertekan, justeru mengeadkan masa interaksi seekor gajah dengan manusia hanya dua jam sehari."Pelawat masuk percuma, tetapi hanya 150 tiket terawal yang berpeluang menunggang atau mandi dengan gajah, lain-lain pelawat mendapat tiket biasa untuk menonton aksi atau menyuapkan buah-buahan," jelasnya.Beliau yang bertanggungjawab memastikan tiada gajah yang tertekan dengan karenah pelawat dan demi keselamatan semua pihak, gajah yang tidak selesa akan segera dihantar ke kawasan hutan khas yang manusia sama sekali tidak dibenarkan masuk.Petugas di pusat itu juga mampu mengesan apabila ada gajah yang mengalami tekanan. KOMPLIKASI PEMINDAHAN GAJAH Bercerita tentang pengalaman memindahkan gajah liar, kata Nasharuddin, cabaran utama ialah bagi memastikan semua gajah denak dan gajah liar yang mahu dipindahkan berada dalam keadaan tenang dan selamat. "Sepatutnya, gajah perlu dipindahkan bersama ahli keluarganya bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup mereka, tetapi ini mustahil dilakukan."Menjejak dan menangkap hatta seekor gajah pun adalah satu tugas sukar yang sangat merbahaya," katanya sambil menjelaskan mereka akan cuba memastikan gajah yang ditemui di lokasi berdekatan akan dilepaskan di kawasan yang sama Taman Negara.Gajah dewasa akan segera dipindahkan jika ia dalam keadaan sihat, manakala anak gajah dan gajah cedera akan dibawa ke PKGK untuk rawatan dan diasuh hingga boleh berdikari sebelum dilepaskan.Secara semula jadi, anak gajah jantan yang mencapai usia tertentu akan disuruh keluar dari kelompok keluarganya untuk mencari dan menyertai kumpulan gajah lain, jadi, PKGK juga akan melepaskan gajah muda itu ke hutan utama jika yakin ia mampu menyesuaikan diri untuk hidup secara sendirian.Bagaimanapun, anak gajah betina atau yang terlalu muda terpaksa dijinakkan dan dilatih di pusat itu memandangkan ia langkah yang terbaik. MELINDUNGI ANAK GAJAH SESAT Melepaskan anak gajah yang tidak bersedia ke hutan sebenarnya lebih kejam berbanding latihan di PKGK yang sebenarnya turut bertindak sebagai rumah perlindungan bagi anak gajah yatim piatu.Dalam keadaan semulajadi, kumpulan gajah betina hidup bekerjasama dan saling bergantungan untuk melindungi antara satu sama lain dan membesarkan anak gajah.Mereka boleh terpisah dari kumpulan sekiranya dikejutkan oleh bunyi kuat seperti tembakan, mercun bahkan guruh boleh menyebabkan mereka lari bertempiaran hingga tersesat.Gajah sebenarnya mempunyai deria pendengaran yang sangat sensitif sekaligus menyebabkannya tidak selesa dan agak gelisah dengan bunyi bising.Memandangkan anak gajah dan gajah betina tidak dapat hidup sendiri tanpa bantuan dan perlindungan ahli keluarga, adalah lebih selamat untuk mereka dibawa ke PKGK untuk dijinak dan dilatih daripada dibiarkan mereka mati sendirian di hutan. PERANAN PENTING DALAM EKOSISTEM Di dalam habitat semula jadi, gajah memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem, yang mana ia akan berjalan sambil mencipta denai dengan mematahkan pokok bagi membuka laluan kepada haiwan kecil.Ini membolehkan cahaya matahari menembusi lantai hutan dan membantu pertumbuhan pokok renek yang akan menjadi sumber makanan dan perlindungan haiwan lain.Gajah sangat suka berjalan. Kelakuan itu adalah sifat semulajadi gajah liar yang biasanya berjalan tanpa henti sambil meragut makanan sehingga 20 jam sehari dan hanya berhenti untuk tidur selama empat jam.Gajah memerlukan kawasan liputan yang luas untuk berjalan, bagaikan trek berjadual, mereka akan berada di tempat berbeza mengikut musim.Dari generasi ke generasi, mereka menggunakan laluan yang hampir sama selama berpuluh-puluh tahun, namun, kini timbul masalah konflik dengan manusia apabila laluan mereka dijadikan asas pembinaan jalan dan lebuh raya yang menyebabkan mereka kehilangan arah. PERSEKITARAN SERUPA HABITAT SEMULA JADI Walaupun gajah residen PKGK tidur dalam padok buatan manusia, mereka akan berlegar di persekitaran menyerupai habitat semula jadi pada kebanyakan masa.Selain kawasan kurungan seluas 400 meter persegi khusus untuk gajah bersosial dan berehat apabila tiada aktiviti, PKGK juga menyediakan kawasan denai gajah yang juga hutan kecil disempadani dengan Sungai Teris dan Sungai Pian bersebelahan padang latihan pusat itu.Tumbuhan renik herba di kawasan denai gajah itu mampu tumbuh semula dengan pantas secara semula jadi dan memainkan peranan penting untuk kesihatan gajah jinak PKGK.Haiwan pintar itu boleh mengenal pasti herba tertentu yang boleh membantu merawat masalah kesihatan, justeru, gajah yang kelihatan sakit atau murung akan bercuti dari sebarang aktiviti dan dibebaskan ke hutan untuk memilih sendiri sebarang herba yang diperlukan. NALURI SEMULAJADI Serupa dengan saudara liar mereka di hutan, gajah jinak di PKGK juga tidur sekitar empat jam sehari dalam keadaan berdiri iaitu posisi berjaga-jaga.Menariknya, tidak semua gajah akan tidur dalam waktu yang sama sebaliknya mereka akan mengambil giliran untuk berjaga.Tetapi di PKGK ada juga anak gajah yang tidur dalam posisi baring serta berdengkur kuat ekoran selesa dan yakin dengan keselamatan persekitaran.Nasharuddin mengakui bahawa gajah sebenarnya haiwan yang lembut dan bijak, mempunyai personaliti tersendiri dan seperti manusia, mereka akan berkelakuan baik jika dilayan dengan baik.Berbanding haiwan lain, gajah mudah berinteraksi dengan manusia dan boleh memahami bahasa tempatan manusia dan membolehkan gajah residen PKGK dilatih menggunakan bahasa Melayu, bahasa Tamil dan Siam memandangkan beberapa gajah denak tua dibawa masuk dari India, Thailand dan Burma.Lebih menarik, seekor daripada gajah denak iaitu Che Mek mempunyai kemahiran keibuan yang sangat unik iaitu pandai memujuk sambil mengusap mata dan belalai gajah liar yang baru ditangkap. PASTIKAN PELAWAT BERPUAS HATI Sesuai dengan PKGK sebagai destinasi eko-pelancongan melibatkan aktiviti luar, pelawat diingatkan untuk melakukan persediaan rapi sebelum datang dan sebaiknya telefon dulu bagi menempah pas masuk istimewa.Nasharuddin mengingatkan bahawa PKGK terletak di kawasan hutan yang panas dan lembab, jadi, sila berpakaian sesuai dan selesa seperti seluar panjang, kemeja-T berlengan dan kasut, bukannya berbaju kurung dan elakkan daripada membawa bayi.Sebarang sumbangan untuk Tabung Amanah Gajah berbentuk tunai atau makanan seperti susu tepung amat dihargai dengan menghubungi petugas pusat di talian 09-279 0391. - BERNAMA