TRAGEDI malang dan menyayat hati yang meragut 16 nyawa dalam kejadian tanah runtuh membabitkan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat pada Sabtu lalu sekali lagi menggemparkan negara.Masih segar dalam ingatan mengenai kejadian yang sama hampir tiga tahun lalu yang mengorbankan lima nyawa selain menimbus 14 banglo dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang pada 6 Disember 2008.Namun malang tidak berbau, rumah anak-anak yatim dan juga madrasah yang beroperasi lebih sepuluh tahun itu kini tercatat peristiwa hitam bukan sahaja kepada penghuni, kakitangan, penuntut mahupun waris mangsa yang terlibat.Secara tiba-tiba, Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal iaitu lokasi tragedi malang itu yang sebelum ini kurang dikenali bertukar sibuk terutama dengan kehadiran kenderaan pasukan keselamatan, ambulan, serta kenderaan muatan logistik.Selama hampir 15 jam, tumpuan semua pihak terarah kepada lokasi berkenaan dengan harapan mangsa-mangsa yang masih tertimbus dapat diselamatkan.Tindakan pantas pasukan mencari dan menyelamat yang memulakan operasi kira-kira pukul 2.45 petang iaitu 15 minit selepas runtuhan berlaku berjaya menyelamatkan sembilan nyawa lain yang turut terperangkap.Operasi dilakukan secara berterusan tanpa henti itu bagi mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap dengan mangsa terakhir dikeluarkan pada pukul 5.05 pagi Ahad.Ketika kejadian, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, penuntut, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu berada di bawah sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual berlangsung pada pukul 5 petang Sabtu.Runtuhan tanah dari bukit dibelakang kawasan rumah anak yatim itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah yang dipasang berhampiran dewan ditepi lereng bukit.HarapanMengimbau kembali detik pada hari kejadian, semua yang berada berhampiran lokasi runtuhan menanti penuh sabar dengan satu harapan iaitu mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dalam keadaan hidup.Rasa syukur dan gembira jelas terpancar apabila penduduk dan pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa pertama yang hidup pada pukul 3 petang.Kemudiaan dalam tempoh sejam selepas itu, mereka menemui tiga lagi mangsa terselamat.Bagaimanapun suasana sayu dan hiba mula tergambar apabila mayat pertama ditemui pada pukul 4.25 petang diikuti mangsa kedua jam 5.06 petang dan mayat ketiga jam 6.27 petang.Usaha mencari dan menyelamat menghadapi kesukaran apabila hujan turun dengan lebat pada pukul 5.30 petang.Di satu sudut, kelihatan beberapa orang penghuni dan penuntut madrasah berkenaan dengan sabar menanti diluar garisan polis melihat kerja-kerja menyelamat dijalankan.Lebih sayu, masing-masing tidak dapat menahan air mata apabila melihat mayat rakan mereka diusung turun dari lokasi runtuhan ke ambulan yang menunggu di bawah sebelum dibawa ke hospital.Kedudukan rumah anak yatim berkenaan yang terletak di jalan Sungai Semungkis Kampung Sungai Gahal dengan laluan jalan penghubung yang kecil menyukarkan kenderaan logistik keluar masuk.Kenderaan awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan menuju ke lokasi kejadian.Bagaimanapun atas dasar kemanusiaan ia tidak mematahkan semangat orang awam termasuk petugas media berjalan sejauh hampir 2 kilometer untuk sampai ke kawasan runtuhan.Pujian dan penghargaan perlu diberikan kepada kira-kira 500 anggota penyelamat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), St John Ambulans, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang meneruskan operasi dalam keadaan cuaca gelap dan hujan lebat sehingga operasi ditamatkan pada pukul 5.30 pagi Ahad.