suria

TFM-Bina Pemimpin Generasi Baru

KUALA LUMPUR: Satu daripada lapan murid Darjah Satu gagal mencapai keupayaan membaca seperti yang diinginkan manakala satu daripada empat pelajar Darjah Empat tidak memenuhi keperluan aspek numerasi yang disasarkan.

Sementara itu, empat daripada lima warga Malaysia yang bekerja hanya mempunyai pelajaran setakat SPM dan tiga dalam lima ketua keluarga miskin hanya mempunyai pendidikan setakat sekolah rendah.

Ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapi warga Malaysia hari ini. Jurang perbezaan dalam pendidikan adalah hakikat sebenar dan asas ini akan mengemudikan pendidikan kanak-kanak yang hasilnya akan mewarnai halatuju kehidupan.

Kekurangan sumber dikenalpasti sebagai satu faktor penyebab tetapi kekurangan tenaga pengajar bagi subjek kritikal turut memburukkan lagi keadaan.

Keupayaan akademik pelajar dari sekolah luar bandar secara amnya adalah lebih rendah berbanding pelajar di kawasan bandar mungkin kerana anak desa membesar dalam suasana yang tidak memberangsangkan.

Pada masa yang sama, beberapa sekolah yang pencapaian akademiknya agak rendah adalah terdiri sekolah-sekolah di kawasan penduduk miskin di Lembah Klang.

Pemimpin Akan Datang

Menurut Teach For Malaysia (TFM), isu ini boleh diatasi sekiranya pemimpin akan datang dapat memahami punca serta faktor akan kewujudan ketidakseimbangan pendidikan di samping mereka dapat bekerjasama meleraikan masalah ini.

TFM adalah satu badan bebas yang menggarapkan pemimpin masa depan dalam satu misi yang bertujuan mengakhiri ketidakseimbangan ini. Idea menubuhkan TFM muncul daripada pengasasnya iaitu Pengarah Eksekutif Keeran Sivarajah dan pengarah urusan Dzameer Dzulkifli.

Melalui program ini, graduan cemerlang dan golongan p rofesional muda akan diambil sebagai 'Fellow' bagi mengajar di sekolah yang berprestasi lemah.

Fellow dari TFM akan berfungsi sebagai tenaga pengajar sepenuh masa selama dua tahun di sekolah berkeperluan tinggi dan akan bertindak menyalurkan transformasi terhadap pembelajaran anak dari keluarga kurang mampu dengan mempertingkatkan pencapaian dan aspirasi mereka.

Dalam jangkamasa panjang, TFM akan membina generasi baru pemimpin yang akan bergiat dalam pelbagai lapangan bagi melebarkan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di Malaysia.

Pembangunan Kepimpinan

Menurut Dzameer, TFM bukanlah satu agensi pembangunan atau pengambilan guru.

"Kami adalah satu organisasi pembangunan kepimpinan. Itulah sebabnya kami tidak menggelarkan mereka sebagai guru TFM. Mereka adalah Fellow TFM", katanya.

TFM ingin mempelawa mereka dalam bidang-bidang profesional seperti undang-undang, perubatan dan perbankan bertindak sebagai duta-dutanya.

Mungkin pada asalnya golongan ini tidak pun merancang untuk menjadi pendidik tetapi menyokong program kerana mereka ingin sesuatu kelainan.

Menurut Keeran, tujuannya ialah bagi meletakkan Fellow-Fellow ini dalam situasi yang mencabar.

"Ciri utama pemimpin sebenar adalah seorang yang boleh diletakkan dalam satu suasana mencabar dan masih berupaya dalam penyampaian", kata beliau.

Mereka yang terpilih akan menjalani latihan intensif selama lapan bulan dan menerima diploma perguruan yang ditauliahkan. TFM telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Disember lepas.

Sahut Cabaran

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata TPM adalah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi peluang pelajaran kepada semua. Beliau menggalakkan graduan cemerlang yang ingin menyumbang kepada negara menggalas cabaran ini.

"Kami berharap dapat mencontohi kejayaan program Teach For America dan Teach First di Britain di mana graduan yang terlibat dapat meningkatkan pencapaian pelajar dari sekolah yang mencabar," tambah beliau.

Dalam memperkenalkan program ini, Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara dan ketiga di Asia selepas China dan India. Terdapat 18 program Teach di seluruh dunia dan hampir semua berusia kurang dari tiga tahun melainkan Teach for America yang bermula 20 tahun lepas manakala Teach First di United Kingdom menyingkap tabir lapan tahun yang lepas.

Teach First menduduki tempat ke-7 dalam senarai Times Top 100 Graduate Recruiters dengan jumlah pemohon meningkat daripada 3,000 pada 2009 kepada 5,000 tahun lepas.

Sementara itu, rangkaian global Teach For All ditubuhkan pada 2007 hingga dapat melahirkan 16 program kembar yang turut menimbulkan minat lebih 50 negara untuk menerbitkan program yang seumpama.

Kata Keeran lagi, semua rangkaian itu digerakkan secara bebas oleh usahawan sosial.

Menurut beliau program Teach for India berjaya mengumpul graduan cemerlang dari India di mana ramai, yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat dan tidak pernah hidup di kawasan melarat, telah kembali dan berkhidmat di kawasan-kawasan ini di Mumbai.

"Mereka mendapat khidmat jurutera dari NASA, petugas dari Silicon Valley yang sanggup meninggalkan pekerjaan mereka untuk kembali serta mengajar. Cabaran yang dihadapi India dalam sektor pendidikan adalah lebih ketara dan mencabar jika dibandingkan dengan negara lain dalam rangkaian ini. Cabarannya adalah begitu hebat," katanya.

Tahap Tinggi

TFM menetapkan satu tahap yang tinggi bagi setiap pemohon. Hanya permohonan secara online diterima dan setiap permohonan memerlukan masa sembilan jam untuk siap.

Setiap guru mestilah fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris serta menggunakan sukatan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran.

Proses pemilihan juga adalah ketat. Pemohon mestilah terdiri daripada mereka yang ingin 'bertukar angin' ke bidang lain dan memilih untuk melibatkan diri dalam dunia pendidikan, kata Dzameer.

Setelah dipilih, mereka yang berjaya akan menerima gaji mengajar sepenuh masa serta kemudahan daripada Kementerian Pelajaran. TPM akan memberi bantuan jika ada kos perpindahan.

Semasa tugasan mereka, Fellow adalah dibiayai dengan rasminya oleh Kementerian Pelajaran dan mereka akan diberi gaji serta kemudahan seperti yang diperoleh guru lain.

Bila Fellow ini meninggalkan Fellowship, mereka akan menjadi pergerakan Duta TFM Ambassador, satu kumpulan alumni yang menggerakkan satu masa depan di Malaysia di mana semua kanak-kanak mempunyai peluang mencapai kecemerlangan pelajaran.

Dengan mempunyai kemahiran kepimpinan, mereka akan menyertai kumpulan yang mempunyai kemahiran tinggi yang amat dicari sektor awam dan swasta.

Peluang Untuk Berkembang

Fellow mempunyai peluang mengembangkan lagi kemahiran mereka dan ini memberikan satu landasan bagi mana-mana sektor yang mereka pilih selepas meninggalkan Fellowship manakala Duta TFM akan mempunyai satu platform yang kukuh bagi kerjaya mereka.

Mereka juga akan mempunyai akses kepada majlis serta acara yang menghubungkan kepada TFM dan program Teach For All yang lain selain daripada personaliti dari sektor awam dan swasta.

TFM juga bekerjasama dengan beberapa badan awam dan swasta bagi mempertimbangkan penggantian atau pelewatan bayaran balik bon-bon graduan ditaja mereka yang akan menyertai Fellowship.

"Kita sedang melihat serata dunia bagi mencari 50 graduan cemerlang untuk menyertai kumpulan pertama program ini yang akan mula mengajar bila sesi persekolahan bermula pada Januari 2012", kata Dzameer.

Tarikh tutup permohonan untuk menyertai Teach For Malaysia ialah 27 Jun. Untuk keterangan lanjut boleh layari www.teachformalaysia.org.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain