suria

Tugas Baru Anggota Tentera Pantau Banduan

Para banduan menjalankan aktiviti secara gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Mahkota Kluang. - Foto BERNAMA
Para banduan menjalankan aktiviti secara gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Mahkota Kluang. - Foto BERNAMA
Para banduan menjalankan aktiviti secara gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Mahkota Kluang. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Peranan anggota tentera sebelum ini sinonim dengan tugas mempertahankan negara daripada ancaman musuh tetapi pembukaan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan bagi banduan di kem tentera membawa perspektif baru dalam tugas anggota tentera.

Kewujudan pusat ini di Kem Mahkota Kluang, Johor yang menempatkan kira-kira 180 banduan yang digelar Orang Diselia (ODS) membuka peluang kepada anggota pasukan keselamatan negara untuk turut bersama memainkan peranan memulihkan banduan sebelum mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Mengakui ia sesuatu yang baru, Staf Sarjan Mohd Razif Sulaiman dari Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu Tiga Kluang, berkata tugas memantau banduan memerlukan komitmen yang tinggi selain tugasan hakiki.

"Bagi saya ia sesuatu yang baru dan adalah satu kejutan bagi kami kerana selama ini dalam kem kami hanya bergaul dengan masyarakat askar dan awam. Tetapi kali ini turut ada banduan dalam kem.

"Saya juga bersyukur kerana diberi peluang untuk sama-sama membantu memulihkan banduan. Program ini bagus bagi menjana semula hubungan antara banduan dan masyarakat, membina keyakinan banduan dan paling penting memberi keinsafan kepada banduan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

SATU PENGALAMAN BERLAINAN SAMA SEKALI

Mohd Razif berkata setiap anggota yang ditugaskan memantau banduan bersekali dengan pegawai Jabatan Penjara telah menjalani kursus khas terlebih dahulu bagi mendedahkan mereka dengan situasi banduan.

Bagi Sarjan Mohd Hizan Idris juga dari 5 RAMD, tugas memantau banduan selama dua bulan sejak pusat itu dibuka memberikannya satu pengalaman yang cukup berharga.

"Apabila pertama kali diberitahu yang saya akan terlibat dengan program ini, saya amat terkejut kerana ia sesuatu yang baru bagi saya. Tetapi selepas menghadiri kursus khas mengenai banduan, saya mula faham dan bangga kerana terpilih.

"Setakat ini banduan di sini tidak menimbulkan masalah dan saya yakin mereka boleh berubah dengan syarat masyarakat menerima mereka kembali," katanya.

Beliau menerima tanggungjawab baru itu sebagai satu lagi cara untuk berbakti kepada negara dalam usaha mengurangkan kadar jenayah selain daripada tugas hakiki mempertahankan negara.

WARDER WANITA TURUT MEMBANTU

"Setakat ini banduan di sini boleh menerima apa yang kita arahkan dan mereka boleh ikut. Saya juga tidak ada masalah bergaul dengan penghuni pusat ini," katanya.

Sementara itu, daripada 38 warden Jabatan Penjara yang ditempatkan di pusat itu, tiga daripadanya wanita.

Warden Penjara Radilah Ramley ketika ditemui BERNAMA tidak dapat menyembunyikan rasa takutnya apabila persekitaran tempat kerjanya di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Mahkota Kluang di kelilingi 180 orang ODS lelaki.

"Perasaan takut itu memang ada sebab kita di kelilingi semua lelaki. Saya dan dua rakan sekerja wanita yang lain jarang berhubung dengan banduan," katanya yang menambah bahawa tugas mereka bertiga banyak di pejabat menguruskan rekod kemasukan, perjumpaan banduan dengan keluarga dan hal kebajikan banduan.

Beliau juga tidak menafikan pergerakan beliau dan warder wanita lain turut terbatas apabila persekitaran tempat kerjanya di kelilingi banduan lelaki dan sekiranya perlu ke dormitori banduan, beliau akan ditemani seorang warder lelaki.

ADAKAH ODS MENGANCAM PIHAK LAIN

Tetapi adakah ODS boleh memberi masalah atau mengancam keluarga anggota tentera yang berkongsi persekitaran tempat tinggal yang sama?

Timbalan Pegawai Penjaga Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Mahkota Kluang Inspektor Shaari Abd Rahman berkata daripada maklumbalas yang diterima, kehadiran banduan itu tidak memberikan sebarang ancaman kepada keselamatan anggota tentera dan keluarga mereka.

"Ini kerana ODS sentiasa dipantau dan diawasi dan mereka pula rata-ratanya menghargai peluang menikmati pemandangan persekitaran luar dan bergaul dengan masyarakat tentera," katanya.

MEMASTIKAN BANDUAN TIDAK KEMBALI KE PENJARA

Dalam pada itu, Ketua Inspektor Penjara Bahagian Pemulihan dan Rawatan Penjara Kluang, Razali Sabtu, berkata Jabatan Penjara berperanan untuk memastikan banduan yang dibebaskan tidak kembali ke penjara.

"Cabaran kita ialah bagi banduan yang berulang kali masuk penjara. Jadi bila berulang kali masuk walaupun sebelum ini kita dah bagi banyak ilmu kat dia, jadi dia seperti perlekeh usaha kita kerana dia dah tahu dah.

"Macam orang yang baru ini apa yang kita cakap dia akan ikut. Macam yang dah kerap kali masuk ini, apa yang kita nak buat semua dia tahu dah," katanya.

Program pemulihan pemasyarakatan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Strategi Laut Biru Kebangsaan merupakan program khidmat bakti dan masyarakat bagi tujuan pemulihan penghuni penjara.

Antara objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada penghuni penjara sebelum mereka dibebaskan untuk menjalani kehidupan sebagai insan yang berguna. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain