suria

1 Syawal Ditunggu 11 Saudara Baru

SUNGAI PETANI: Jika sebelum ini, Mohamad Ismail Abdullah, 40, menyambut hari raya Aidilfitri sebagai meraikan rakan-rakannya yang beragama Islam, tetapi tahun ini beliau akan merasai sendiri pengalaman itu setelah dia bersama-sama isteri dan sembilan anaknya memeluk Islam bulan lepas.

Kini detik 1 Syawal begitu dinanti-nantikan oleh keluarga Mohamad Ismail atau namanya sebelum ini Baidy Sumil, yang berasal dari Tambunan, Sabah bersama-sama isteri dan sembilan anak mereka yang berumur enam bulan hingga 18 tahun memeluk Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah di Tambunan.

Tentera yang berpangkat prebet di Markas Briged Keenam Infantri Malaysia di sini itu berkata beliau mula tertarik terhadap Islam apabila terpengaruh dengan amalan agama yang dilakukan oleh tiga adiknya yang terlebih dahulu memeluk Islam sebelumnya.

"Saya lihat tiga orang adik saya ini yang amalkan ajaran Islam menyebabkan saya teringin hendak masuk Islam, sekaligus mengambil keputusan untuk peluk Islam dengan sendirinya tanpa paksaan," katanya kepada Bernama selepas Majlis Berbuka Puasa Tentera Bersama Masyarakat di Kem Lapangan Terbang di sini malam tadi.

Mohamad Ismail berkata pada peringkat awal beliau terlebih dahulu berbincang dengan isterinya, Siti Fatimah Abdullah, 37, mengenai hasrat untuk bertukar agama dan isterinya itu memberi sokongan padu terhadap perancangannya.

"Keinginan saya ini dibawa berbincang dengan isteri terlebih dahulu pada waktu itu yang bernama Jinulin Alibin dan isteri kata dia akan ikut sahaja apa jua keputusan saya dalam hal berkaitan tukar agama ini, yang akhirnya kami sekeluarga termasuk anak-anak memeluk Islam secara bersama," katanya.

Berkenaan dengan penerimaan keluarga, Mohamad Ismail berkata keluarganya tidak menentang dengan keputusan yang diambilnya itu kerana ibu bapanya menghormati pilihan anak-anak termasuk berkaitan dengan isu agama.

"Saya sebelum ini beragama Kristian tetapi tidak begitu patuh sangat kepada ajaran agama ini sebab saya ikut ibu bapa sahaja menganutinya, saya tidak ada rasa apa-apa, jiwa kosong sahaja dan selepas mengucap dua kalimah syahadah lahir satu perasaan yang berbeza dapat dirasai, saya rasa hidup ini cukup indah sekali," katanya.

Mohamad Ismail berkata setelah memeluk Islam beliau dan keluarga banyak mempelajari ilmu agama daripada pegawai agama yang bertugas di markas tempatnya bekerja.

"Saya tinggal dalam kem, jadi apabila ada waktu lapang, hari tiada kerja, saya akan pergi belajar agama dan mendapat bimbingan daripada pegawai agama tersebut sementara menanti untuk berdaftar dengan PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) di sini selepas raya, itu pun kalau tiada sebarang masalah iaitu kad Islam kami sekeluarga cepat siap," katanya yang sudah bertugas di sini hampir lima tahun.

Sementara itu isterinya Siti Fatimah berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk memeluk Islam kerana terdapat dua orang anggota keluarganya sudah beragama Islam.

"Dua orang kakak saya masuk Islam sebelum saya dan mereka ini yang banyak juga membantu saya dalam hal memahami Islam dengan lebih mendalam," katanya yang juga berasal dari Sabah.

Katanya tahun ini walaupun ada rintangan untuk menunaikan ibadat puasa buat pertama kali namun mereka tabah menghadapinya dan mereka sekeluarga bahagia dengan situasi baru berkenaan.

Anak sulung pasangan itu Siti Nur Syeryna Aisyah, 18, pula berkata beliau tidak sabar menanti ketibaan Aidilfitri dan sangat berdebar-debar untuk menyambutnya bersama-sama anggota keluarga lain.

"Saya dan keluarga sebelum ini sambut Krismas tetapi selepas peluk Islam kehidupan kami sekeluarga sudah berubah dan saya sangat gembira bercampur rasa debar untuk sambut raya buat pertama kali," katanya.

Majlis Berbuka Puasa Tentera Bersama Masyarakat itu turut meraikan keluarga Mohamad Ismail sebagai saudara baru selain 58 orang anak tentera yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang juga diraikan dengan sumbangan berupa wang tunai.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain dan Panglima Enam Briged Brigadier Jeneral Datuk Md Tajri Alwi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain