suria

Penghidap Diabetes Lakukan Misi Solo Rentas Lima Negara

JOHOR BAHARU: Bagi S. Aruel Prakash, menghidap kencing manis atau diabetes tidak menghalang beliau untuk menjalani kehidupan lasak dan ini dibuktikan menerusi rali solo keempat yang akan dilakukannya bulan depan.

Kali ini beliau akan memandu kenderaan pacuan empat roda merentasi lima negara sebagai memenuhi cabaran peribadi untuk membuktikan kepada dunia penghidap diabetes mampu melakukan apa saja.

Kali pertama Aruel Prakash, 42, melakukan rali secara solo ialah pada 2007 apabila beliau memandu pikap dari Johor Baharu ke Thailand dan Kemboja sebelum kembali ke tanah air dalam tempoh tujuh hari.

Sepanjang tempoh itu beliau yang menghidap diabetes sejak berusia 18 tahun memasak sendiri makanannya dan hanya berehat dalam kenderaan.

Tahun berikutnya beliau melakukan perjalanan serupa namun dengan jarak lebih jauh iaitu sehingga ke Myanmar, dan pada 2010 pengembaraannya merentasi Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam tempoh 13 hari.

Pada 25 September ini, Aruel Prakash yang menjalankan perniagaan pengangkutan dan penghantaran, akan memulakan misi solo merentasi Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja serta Kunming di China, dan kembali ke tanah air dalam masa 15 hari, meliputi jarak 23,000 km.

Pada sidang media di sini, Sabtu Aruel Prakash berkata beliau mahu membuktikan penghidap diabetes juga mampu melakukan apa saja aktiviti yang dilakukan oleh mereka yang normal.

"Saya menghidap diabetes sejak remaja dan pada ketika itu saya fikir saya akan hidup sengsara. Namun saya berazam untuk membuktikan sebaliknya. "Sepanjang misi solo itu, saya harus memeriksa tahap glukosa saya dan menyuntik insulin tiga kali sehari," katanya.

Misi kali ini juga bertujuan membangkitkan kesedaran pada kalangan rakyat, dan semasa berhenti di Melaka, Kuala Lumpur, Ipoh dan Butterworth, beliau dengan kerjasama badan bukan kerajaan akan mengumpul dana bagi membeli kit ujian untuk mengesan penyakit kencing manis pada kalangan masyarakat.

"Saya tahu ini akan menjadi satu lagi pengembaraan yang meletihkan dengan pelbagai cabaran sedia menunggu. Tapi saya bertekad untuk mengharunginya.

"Pada akhirnya saya mahu membuktikan kepada komuniti penghidap diabetes khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, bahawa penghidap diabetes seperti saya juga boleh mencapai apa saja jika kita berfikiran positif," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain