suria

Mungkinkah Jus Daun Betik Penawar Demam Denggi?

KUALA LUMPUR: Banyak diperkatakan mengenai jus daun betik dan pegaga atau nama saintifiknya 'Centella Asiatica" yang dikaitkan sebagai penawar untuk mengubati demam denggi.

Adalah dilaporkan ramai orang mengambil jus daun betik atau pegaga untuk meningkatkan bilangan platelet dalam darah apabila mengidap demam denggi.

Kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik universiti tempatan dan asing mendapati daun betik jenis Carica mungkin merupakan penawar untuk menyembuh demam denggi.

Kajian itu yang diasaskan dan diterajui oleh Dr S.Kathiresan dari Universiti AIMST menunjukkan serbuk dari daun betik mengandungi bahan yang dapat melepaskan dan atau menghasilkan thrombocytes (platelet).

Dr Kathiresan berkata daun betik mengandungi vitamin kompleks yang tinggi yang mungkin membantu sumsum tulang meningkatkan penghasilan platelet darah dengan pantas.

"Demam denggi terus merupakan ancaman kesihatan utama di Malaysia selepas wabak denggi tercetus kali pertama pada 1902. Penyakit akut ini disebabkan virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes yang bertindak sebagai pembawa virius denggi.

"Kesan utama virus ini adalah ke atas penghasilan platelet. Biasanya, satu sel platelet bertahan antara lima dan 10 hari dan tubuh manusia kemudian menambah lagi apabila diperlukan," katanya dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini.

Katanya virus denggi memusnahkan keupayaan badan menghasilkan platelet baru semasa tempoh virus itu terpendam di dalam badan pesakit.

"Kiraan platelet sel darah merah bagi orang biasa berbeza antara 150,000 hingga 250,000 mm3 dan selepas dijangkiti virus denggi, kiraan platelet mula menurun.

"Kiraan platelet sel darah merah kurang daripada 100,000 mm3 memerlukan rawatan segera dan di bawah 50,000 mm3 boleh membawa maut," katanya.

Penurunan kiraan platelet mencegah pembekuan darah dan ini boleh mendorong kepada hemoragik, yang mengakibatkan pendarahan luaran dan dalaman, katanya.

Sebaik sahaja denggi berdarah bermula, keadaan itu hampir sukar diubah, katanya.

Dr Kathiresan berkata minat dalam buah tropika itu bermula dengan eksperimen mudah dengan memcuci dan membersihan kotoran pada daun betik jenis Carica.

Daun tersebut kemudian ditumbuk menjadi serbuk dalam minyak kelapa sawit dan ramuan sebanyak 15mg diberi kepada lima ekor tikus disusuli kiraan platelet haiwan kecil itu dikaji.

Katanya selepas 72 jam kiraan platelet adalah tinggi secara ketara, menandakan peningkatan sel darah putih dan platelet yang memulihkan pembekuan dan membaikpulih hepar.

Berikutan hasil positif uji kaji itu, Dr Kathiresan berkata potensi terapeutik penawar disiasat dengan mengasingkan dan mengenal pasti ramuan aktif bagi menghasilkan formula sesuai yang bertanggungjawab bagi melepas dan atau menghasilkan platelet dalam tubuh manusia.

Kajian enam bulan itu berjudul "Bilangan Thrombocyte dalam tikus selepas diberi daun betik," diterbitkan pada Oktober 2009 dan projek itu dibiayai oleh Universiti AIMST dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Dalam kajian itu, Dr Kathiresan dibantu oleh Dr Surash Ramanathan, Dr Sharif M. Mansor dan Dr Mas Rosemal M.H. Haris dari USM serta Walther H. Wernsdorfer dari Universiti Perubatan Vienna, Austria.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah anggaran 2.5 bilion penduduk atau dua perlima populasi dunia, menghadapi risiko penyakit denggi dengan jangkitan sehingga 50 juta orang setiap tahun di seluruh dunia. - BERNAMA

Artikel Lain