suria

Ubi Gadong Semakin Dilupai

PENGKALAN HULU: Pada satu ketika, ubi gadong iaitu sejenis ubi liar beracun adalah makanan ruji bagi penduduk di kawasan pedalaman di sebelah utara dan juga pantai timur.

Namun, kemakmuran negara menyebabkan kebanyakan golongan muda hari ini tidak lagi mengenali ubi tersebut, apatah lagi menikmati keenakannya jika direbus dan digaul dengan kelapa parut bersama garam dan gula.

Bagi Siti Hawa Osman, 70, ubi gadong yang lazim tumbuh meliar di kawasan hutan berbukit bukan saja sumber rezekinya, tetapi juga juadah yang digemari keluarga.

Bagaimanapun untuk menikmati ubi gadong ini, seseorang perlu terlebih dahulu membuang racun pada ubi tersebut yang dapat dilakukan menerusi beberapa kaedah, katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Raja Kayu, Kuak Luar di sini.

Racun itu katanya boleh dibuang dengan merendam ubi yang sudah dihiris dalam air garam selama beberapa hari atau di dalam air berarus deras.

"Hirisan ubi gadong perlu direndam selama tiga hari dalam air garam, selepas itu hirisan yang diangkat dari takungan air garam ini perlu direndam selama tiga hari lagi dalam air biasa.

"Setiap hari air rendaman hirisan ubi gadong perlu ditukar sekurang- kurangnya tiga kali sehari," katanya.

Siti Hawa berkata cara memproses juga harus teliti kerana getah yang terdapat pada kulit ubi itu boleh menyebabkan rasa gatal.

Ubi gadong ini juga hanya boleh dituai sekali dalam setahun, dan kata Siti Hawa ubi hanya dapat diambil jika semua daun pada pokoknya telah gugur.

"Pokok ubi gadong hidup menjalar, bila sudah cukup matang ia mampu hasilkan 50 hingga 70 kilogram ubi seperdu (satu pokok)," katanya yang menjual ubi gadong siap diproses kepada peniaga pasar malam dengan harga RM5 sekilogram.

Warga emas itu juga berkata keenakan ubi gadong bertambah jika dicampur dengan jagung atau beras pulut semasa mengukusnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain