MADINAH: Jemaah haji yang pertama kali menjejakkan kaki ke Madinah, kota suci kedua umat Islam selepas kota Mekah, begitu teruja apabila menyaksikan dari dekat warisan sejarah Islamnya. Madinah yang menjadi tempat tinggal Nabi Muhammad S.A.W sehingga baginda wafat, mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri untuk dinikmati oleh pengunjungnya.Madinah, seluas kira-kira 64 km persegi dan terletak di lembah oasis yang subur, juga adalah Tanah Haram seperti Mekah, iaitu 430 km dari sini.Madinah, yang turut menjadi tempat tumpuan ibadat, menerima kunjungan jutaan umat Islam dari pelbagai bangsa dan kerakyatan. Seorang jemaah haji Malaysia Sazaki Abdul Rahman memberitahu Bernama, beliau begitu teruja menyaksikan dari dekat Madinah, sebuah kota yang kaya dengan sejarah Islam.BERTUAH DAPAT TINJAU KOTA MADINAH"Saya bertuah dapat berada di sini dan menyelami lebih dekat sirah (sejarah) Rasulullah dan para sahabat baginda dan zaman perkembangan syiar Islam," katanya.Sazaki, 28, dari Klang, Selangor, berkata selama ini beliau hanya mengetahui mengenai Madinah melalui pendidikan Sejarah Islam.Beliau dari Jabatan Penerangan Malaysia adalah seorang daripada 82 anggota media dari kalangan negara-negara Islam yang kini berada di sini, atas undangan kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Kebudayaan dan Penerangan, untuk mengerjakan ibadat Haji Tahun 1432 Hijrah.Kumpulan Media itu turut menziarahi Makam Rasulullah dan makam khalifah Islam yang pertama Saidina Abu Bakar Assidiq dan khalifah Islam kedua Saidina Omar Al-Khattab yang terletak dalam Masjid Nabawi, sebuah lagi masjid suci Islam.Mereka juga melawat beberapa tapak arkeologi Islam termasuk Jabal Uhud yang menyimpan sejarah Peperangan Uhud, yang terletak kira-kira 4 km ke utara Masjid Nabawi.Dengan jumlah penduduk kira-kira satu juta orang, Madinah bagaikan kota dalam taman kerana kebersihan dan landskap yang begitu menarik dengan tanaman pohon kurma dan pokok zaitun di sepanjang jalan sebagai hiasan.Bangunan hotel yang dibina secara terancang, tumbuh bagaikan cendawan bagi menampung penginapan pengunjung yang ramai. "Banyak kemudahan ada di sini, penginapan cukup, pengangkutan mudah, ini semua untuk orang yang datang ke Madinah," kata Ziad Arif, seorang pegawai dari Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan menjadi pegawai pengiring kepada kumpulan media di sini. KOMPLEKS PERCETAKAN AL-QURANKumpulan media turut dibawa melawat Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd yang dibina di Madinah pada 1984.Kompleks percetakan Al-Quran Raja Fahd itu diletakkan dalam kelolaan Kementerian Agama, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Islam Arab Saudi.Menurut pegawai perhubungan awam kompleks itu Hassan Johani, sejak 1985 hingga 2010, kompleks itu mengedarkan kira-kira 270 juta naskhah Al-Quran dan kebanyakannya diedarkan ke seluruh dunia."Setakat ini, kompleks berkenaan juga menerbitkan terjemahan Al-Quran dalam lebih 55 bahasa, dalam pelbagai saiz dan edisi, sama ada cetak mahupun rakaman", katanya.Rakaman bacaan qari terpilih dalam bentuk cakera padat, kaset dan MP3 juga dihasilkan untuk diedarkan kepada orang ramai.Bahagian penterjemahan kompleks ini dianggotai ulama yang mahir dalam ilmu Al-Quran yang juga pakar bahasa bagi memastikan kegiatan terjemahan tepat.Penyertaan ulama yang pakar dalam bidang Al-Quran berjaya memastikan Mushaf dan kegiatan terjemahan keluaran kompleks itu terjamin keaslian berdasarkan piawaian yang ketat.Sebelum meninggalkan Madinah yang sentiasa meriah dengan kegiatan perniagaan terutama di sekitar Masjid Nabawi, ramai jemaah haji mengambil kesempatan membeli-belah pelbagai cendera hati seperti buah kurma untuk dijadikan buah tangan apabila pulang ke negara masing-masing. -BERNAMA