KUALA LUMPUR: Suasana di dewan Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara tiba-tiba bertukar wajah. Dari terang pencahayaan lampu, digantikan pula dengan penggunaan lampu sorot pelbagai warna.Biarpun agak gelap, namun masih lagi dapat melihat riak muka tetamu yang nampaknya sudah tidak begitu sabar untuk mengetahui jenis persembahan yang bakal dipentaskan nanti.Sebaik sahaja muzik menembusi setiap penjuru dewan, pandangan tetamu mula terpaku melihat gerak langkah persembahan di hadapan mereka. Dengan gaya yang mengagumkan, pasangan ini mula memukau tetamu dengan aksi serta tari mengikut rentak muzik.Paling menarik ialah keupayaan pasangan penari ini menari dengan penuh perasaan menerusi penggunaan pancaindera mata ketika menarikan tarian yang dikenali sebagai 'bharatanatyam'.Namun, tetamu bagaikan tidak percaya apabila diberitahu pengacara majlis bahawa pasangan penari klasik kaum India itu adalah Norbaizura Abd Ghani dan Mohd Yunus Ismail, keturunan Melayu!SEMUANYA BERBALIK KEPADA NIATBukan satu fenomena baru sebenarnya kerana negara juga sudah mempunyai penari klasik India terkenal berketurunan Melayu seperti Ramli Ibrahim dan Zamin Harun. Namun, tidak ramai.Ini mungkin disebabkan faktor kurangnya pendedahan serta elemen keagamaan yang secara tidak langsung dikatakan menjadi benteng untuk sesuatu kaum itu menyelami budaya tarian kaum lain.Tambahan pula, tarian bharatanatyam yang merupakan tarian tradisional India berkisar kepada legenda Hindu yang penuh dengan kisah dewa dan dewi agama itu serta senario persekitaran pembelajaran di kuil sekali gus mungkin memberi pelbagai persepi.Bagaikan sudah menjangka persoalan itu bakal ditanya, kedua-dua pensyarah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini mengukir senyuman penuh makna.Mengakui mempelajari peringkat 'arangetram' dalam tarian bharatanatyam di Temple of Fine Arts (TOFA) Brickfields, Kuala Lumpur, kedua-duanya menegaskan bahawa semuanya berbalik kepada niat seseorang itu."Walaupun kami belajar di TOFA, tetapi ia adalah sebuah institusi yang mempunyai studio. Kami mempelajari tarian ini di studio yang berada di tingkat enam manakala kuil mereka di tingkat atas."Kami faham bahawa tarian klasik India ini adalah lebih kepada pujaan Tuhan mereka, namun cikgu-cikgu yang mengajar tidak melibatkan elemen agama dalam tarian. "Apabila cikgu menerangkan kewujudan dewa dalam cerita yang akan ditarikan, kami hanya mengambil naratif sahaja supaya tarian itu dapat dipersembahkan dengan baik," kata Mohd Yunus kepada Bernama.Tambahnya, adalah tidak wajar menilai seseorang itu berdasarkan kepada aspek luaran kerana selagi mereka berpegang teguh kepada agama serta tahu membezakan mana yang benar dan silap, perkara seperti murtad atau keluar agama tidak akan berlaku.UNIK TARIK MINATBagi Norbaizura, keunikan tarian klasik India itu akhirnya mendorong beliau untuk mempelajarinya secara mendalam.Apa yang istimewanya dengan wanita kelahiran Kuala Lumpur ini adalah beliau telah berjaya menguasai peringkat arangetram dalam tarian bharatanatyam sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri menjadi wanita Melayu pertama berbuat demikian."Semasa saya belajar Diploma Tari di sini, kami dikehendaki untuk mempelajari semua jenis tarian. Dari situlah saya mula meminati tarian India kerana merasakan ia sangat unik."Ketika melanjutkan pelajaran dalam ijazah, baru boleh fokus apa yang kita minat. Jadi, saya buat major dalam persembahan tarian klasik India untuk tahun akhir," kata gadis berusia 26 tahun ini.Berlainan pula dengan Mohd Yunus. Baginya, cabaran serta 'kesakitan' yang dialaminya sepanjang mempelajari tarian itu, akhirnya mengubah daripada perasaan 'benci' untuk terus mendalami bharatanatyam."Tarian ini sangat mencabar kerana anda perlu mempunyai stamina yang kuat. Mereka bukan sahaja perlu menggunakan tenaga untuk menghentak kaki, tangan, kepala mengikut rentakan lagu yang sangat laju, malah ada kalanya perlu melompat."Tetapi disebabkan saya suka benda-benda yang mencabar, galakan daripada tenaga pengajar serta faktor tidak ramai orang Melayu menguasai tarian klasik India ini, menguatkan lagi semangat saya untuk terus belajar," kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor.FILEM TAMILBukan sahaja pergerakan kepala, tangan, badan dan kaki sahaja yang penting dalam tarian klasik India ini, malah kemahiran mengungkapkan pancaindera mata mengikut jalan cerita yang ingin dipersembahkan juga amat penting bagi membangkitkan emosi penonton.Bagi tujuan itu, baik Mohd Yunus dan Norbaizura masing-masing mengambil insentif menonton filem Tamil versi hitam putih untuk mempelajari reaksi muka pelakon ketika marah, gembira, sedih mahupun kecewa."Tarian bharatanatyam memerlukan seseorang penari itu melahirkan ekspresi yang berlebihan. Kami cuba mempelajarinya dengan menonton filem Tamil dan kemudian mempraktikkannya di hadapan cermin sehingga berhasil."Selain itu, kami banyak merujuk ekpresi muka tenaga pengajar," kata Mohd Yunus. PENCAPAIANKedua-duanya masih muda. Namun, bakat mereka semakin terserlah dan tidak mustahil suatu hari nanti kedua-dua penari tarian klasik India ini bakal menempa nama sebaris dengan Ramli dan Zamin.Apatah lagi, kredibiliti mereka dalam tarian klasik India kian terbukti apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bakat Muda Selangor 2011 pada September lepas. Tidak sekadar itu, malah bakat mereka turut dihargai apabila menerima banyak tawaran untuk menjayakan persembahan bukan sahaja dalam negara malah melangkaui luar negara. Antaranya, China, India, Thailand, Australia, England, Hong Kong dan Singapura. Baik Mohd Yunus dan Norbaizura, masing-masing pernah terlibat dalam menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan 'The Legend: The Journey Begins with Maya Dance Theatre' di Singapura."Sampai saat ini, kami masih belum dapat menguasainya dan akan terus belajar dan mempelajarinya," kata Mohd Yunus mengakhiri bicara. -BERNAMA