TANJUNG MALIM: Siapa sangka seorang peneroka Felda mampu mencipta nama dalam dunia kesusasteraan apabila menjadikan penulisan sebahagian daripada kegiatan sampingannya selain berkebun sehingga menghasilkan 50 karya termasuk cerpen, novel dan puisi.Ini dibuktikan oleh Sasterawan Felda, Ramli Daud, 72, apabila kerjaya sebagai wartawan sambilan di Utusan Malaysia pada era 60-an merupakan titik permulaannya berkecimpung dalam bidang penulisan.Beliau berkata minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan mengerakkan hatinya untuk menabur bakti di akhbar tersebut sehingga tahun 1968 dan dari situ berlaku peningkatan terhadap mutu penulisannya."Sepanjang saya bekerja sebagai seorang wartawan sambilan, saya berusaha untuk meningkatkan bakat penulisan yang sedia ada sehingga ditawarkan mengikuti kursus kewartawanan di pusat akhbar negara Asean," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku Kepengarangan Tiga Orang Sasterawan Felda: Abu Hassan Morad, Gunawan Mahmood dan Ramli Daud.Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini, Selasa.Buku yang diselenggara Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI Prof Madya Dr Talib Samat dan Pensyarah TESL dengan terbitan Altacom (M)Sendirian Berhad dipasarkan ke seluruh negara mulai hari ini dan dijual dengan harga RM45 senaskah.Buku tersebut mengangkat mutiara pemikiran dan ketokohan tiga orang pengarang sasterawan Felda itu yang sangat jarang diperkatakan oleh mana-mana penulis dan sarjana sastera Malaysia untuk diketahui oleh masyarakat Felda dan seluruh rakyat.Ramli yang menetap di Felda Sungai Klah, Trolak meninggalkan bidang penulisan selama 10 tahun selepas ditawarkan menjadi seorang peneroka di felda itu sejak tahun 1968."Saya mula menceburkan diri dalam bidang penulisan semula setelah sekian lama meninggalkannya apabila membaca ruang cerpen di Berita Mingguan."Dari situ terdetik rasa ingin menulis cerpen dan hantar kepada Berita Mingguan. Alhamdulillah beberapa cerpen saya dipaparkan di dalam berita mingguan," katanya.Beliau kemudiannya menghasilkan cerpen bertajuk "Tanda Tua" dan dinobatkan sebagai cerpen terbaik sehingga memenangi hadiah sastera Malaysia 1982/1983."Daripada situ ia menyuntik semangat saya untuk menulis lebih banyak cerpen, novel dan puisi. Saya menulis pelbagai bentuk dan gaya mengenai masalah hidup peneroka Felda, petani, seniman dan sasterawan pada era 1980-an hingga kini," katanya.Antara novel hasil karya Ramli ialah Titis-titis mutiara dan Hujan Rindu yang mana melalui karyanya itu beliau cuba menghuraikan berkenaan kaedah yang digunakan individu menangani konflik dan permasalahan jiwa yang timbul dalam dirinya.Bagi sasterawan Felda, Abu Hassan Morad, 55, seorang anak peneroka di Felda Guar Napi, Jitra, Kedah pula mula menceburi bidang penulisan selepas memperoleh Ijazah Sarjana Pengajian Penerbitan pada tahun 2002.Abu Hassan berkata pelajaran tidak formal yang diterimanya melalui pengembaraannya di serata dunia termasuk kota suci Makkah dan Madinah kerana novelnya bertajuk Cinta Madinah telah diadaptasi menjadi drama televisyen."Saya telah menerbit dan mengarah beberapa buah rancangan televisyen seperti siri dokumentari Salam Nusantara dan Cinta Madinah. Selepas jadi guru di beberapa buah sekolah di Perlis dan Kuala Lumpur, saya pernah menjadi Pengurus Penerbitan Karya One Sdn Bhd," katanya.Abu Hassan telah menghasilkan sejumlah 30 novel kanak-kanak antaranya Sabarlah Sayang, Pagi Yang Cerah, Sejuk-sejuk Pantai, Dari Kelopak Matamu dan Pasrah.Beliau juga menghasilkan beberapa buku, artikel, cerpen selain terbabit dalam mengarahkan program nasyid untuk tayangan televisyen serta pernah menerbitkan program realiti untuk sebuah stesen televisyen.Sementara itu, Maglin ketika ditemui pemberita berkata penghasilan buku tersebut menerangkan kepada pembaca mengenai karya sastera yang berupaya memperkayakan jiwa pembaca dalam membentuk nilai-nila murni dan budi pekerti sebagai modal insan."Generasi muda perlu didedahkan dengan karya-karya yang dihasilkan sasterawan negara, liku-liku kehidupan mereka sebagai peneroka dan anak peneroka, juga memberitahu bahawa anak Felda boleh berjaya dalam hidup," katanya. -BERNAMA