suria

Industri Kenaf Boleh Jadi Lubuk Emas Baru Negara

BESERI (Perlis): Kenaf adalah pokok yang ditanam untuk menghasilkan serat, yang mempunyai potensi besar dalam aplikasi komersil pelbagai industri.

Dalam hubungan ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah dipertanggungjawab untuk menerokai potensi kenaf sebagai satu komoditi baru eksport Malaysia.

Kenaf (Hibiscus Cannabinus L), yang berasal dari Afrika, boleh tumbuh antara lima hingga enam meter dalam tempoh enam hingga lapan bulan selepas ditanam, dan ia mempunyai banyak kegunaan seperti bio komposit iaitu untuk bahan binaan, komponen bahan kereta dan perabot, pulpa dan kertas, tekstil dan sebagai bahan makanan untuk ternakan.

Kenaf biasanya akan membiak pada suhu iklim antara 10 dan 50 darjah Celsius, terutama di tanah gambut atau berpasir, dengan nilai pH 6-6.8. serta purata hujan bulanan antara 100mm dan 125 mm.

KENAF SEBAGAI KOMODITI

Tangkai tumbuhan ini mengandungi dua jenis gentian yang sangat berguna iaitu gentian di bahagian luar (gentian kulit) dan gentian di bahagian dalam (teras).

Gentian bahagian luar amat sesuai digunakan sebagai bahan asas dalam pembuatan kertas manakala gentian bahagian dalam, yang berwarna putih, adalah setanding dengan gentian yang diperoleh daripada kayu keras yang digunakan dalam penghasilan produk berasaskan kayu.

Pada 2008, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan bahawa kenaf akan menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar khususnya di kawasan tanah Beris yang sesuai dengan tanaman itu.

Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang dipertanggungjawabkan bagi menjadikan kenaf sebagai tanaman utama petani selain tembakau, kini mengorak langkah jauh ke hadapan bagi merealisasikan matlamat itu.

LKTN yang melihat potensi besar tanaman itu percaya dapat melahirkan usahawan kenaf terutama di kalangan petani.

Pengerusi LKTN, Datuk Ismail Kassim ketika membawa wartawan ke Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di sini baru-baru ini, berkata LKTN mempunyai matlamat untuk mengkomersilkan kenaf sehingga ke peringkat global.

"LKTN juga sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi melaksanakan percubaan verifikasi benih kenaf baru iaitu KB6 di Bukit Tangga, Kedah serta bekerjasama dengan Fujian Agriculture and Forestry Universiti bagi pembiakan benih kenaf F992 bermula Ogos 2011," katanya.

Bermula 2006, pada awalnya pengeluaran biji benih kenaf hanya mampu dihasilkan sebanyak 7,190 kilogram dan terus meningkat dari setahun ke setahun dan pada tahun lepas, biji benih yang dikeluarkan itu mampu mencapai 151,250 kilogram.

SESUAI DI PERLIS DAN KEDAH

Oleh kerana Kedah dan Perlis adalah negeri yang musim kemaraunya panjang, menjadikan kedua-dua negeri itu paling sesuai untuk ditanam kenaf bagi pengeluaran biji benih.

Ismail berkata, tanaman kenaf adalah sangat sesuai kerana hasilnya yang sangat tinggi dan mampu mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Petani boleh mendapat keuntungan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sehektar.

"Sebab itu, yang paling penting adalah bagaimana untuk menghasilkan kenaf bermutu tinggi dan ini memerlukan kajian dan penyelidikan oleh LKTN," katanya.

Kenaf sebenarnya sangat mudah ditanam dan petani hanya perlu mempraktikkan sistem 3T iaitu tanam, tengok dan tuai.

"LKTN akan membantu petani untuk menanam kenaf di samping memasarkannya," katanya.

Beliau berkata buat masa ini benih kenaf banyak diimport dari negara maju dalam bidang tanaman itu seperti China, Mexico, Australia dan Amerika Syarikat.

BABITKAN SISWAZAH

Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman ketika ditemui di ladang benih kenaf di Kampung Pering, Kodiang, Kedah berharap lebih ramai petani menceburi penanaman kenaf. "Contohnya, di ladang ini kita menggalakkan petani menanam kenaf sebagai tanaman sampingan bersama tanaman lain, yang melibatkan juga bekas siswazah," katanya.

Ahmad berkata, sasaran LKTN pada tahun ini adalah untuk menanam kenaf yang berskala lebih besar iaitu kira-kira 3,000 hektar tanah di seluruh negara terutama tanah terbiar.

Seorang siswazah dari Universiti Putra Malaysia, Imran Fahmi Tajul Ariffin, 25, berkata tanaman kenaf yang diusahakannya di ladang itu ternyata memberi pulangan yang lumayan.

"Semuanya hasil usaha LKTN dan kami perlu komited dalam mengusahakannya dan saya rasa inilah tanaman masa depan yang sangat menguntungkan," katanya.

Beliau berharap lebih ramai siswazah yang belum mendapat pekerjaan agar tidak malu terbabit dalam bidang pertanian terutama penanaman kenaf.

Seorang lagi pengusaha tanaman kenaf, Abdullah Hashim, 57, berharap kerajaan negeri Kedah dapat meluluskan lebih banyak tanah untuk tanaman itu.

"Saya mula mengusahakan kenaf sejak 2006 dengan menyewa 12 hektar tanah dan saya sangat berpuas hati kerana hasilnya yang sangat tinggi. Sebab itu saya mahu membuka lebih banyak lagi tanah untuk tanaman ini pada masa depan," katanya.

POTENSI DALAM PEMBUATAN KENDERAAN

Ahmad berkata, LKTN melihat potensi kenaf ini sangat besar pada masa hadapan terutama dalam bidang automobil kerana beberapa pembuat kereta ternama seperti Toyota dan Honda kini mula merangka badan kenderaan yang diperbuat daripada kenaf.

"Toyota sudah mula mengorak langkah memperkenalkan kereta hibrid yang diperbuat daripada fibre kenaf untuk badan kenderaan dan kita berharap syarikat automobil tempatan seperti Proton dan Perodua turut menjalankan kajian mengenainya," katanya.

Beliau berkata, LKTN bercadang mengadakan perbincangan dengan syarikat automobil tempatan berhubung perkara itu.

Ahmad berkata, walaupun ia mengambil masa untuk melihat kejayaan industri kenaf namun beliau yakin akan potensi tanaman itu adalah sesuatu yang tidak ada tandingnya.

Kenaf ibarat lubuk emas yang belum diteroka sepenuhnya dan sudah sampai masanya semua pihak bersama-sama meneroka hasil alam ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain