KUALA LUMPUR: Sebaik melangkah ke ruang aras dua Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak, pengunjung akan melihat ramai pengguna yang begitu asyik menghadap paparan skrin komputer yang disediakan.Dari dekat dilihat ada yang sedang membaca berita, mencari maklumat, mengemas kini blog malah ada juga yang melayari laman sosial popular, Facebook.Satu kejanggalan bunyinya apabila sebuah bangunan yang menjadi pusat pencarian sumber ilmu, membenarkan pengunjungnya membuka laman Facebook, suasana yang berbeza dengan pengisian tradisi sesebuah perpustakaan.Keadaan itu jelas menunjukkan PNM memahami bahawa penggunaan laman sosial popular itu juga penting sebagai platform berdiskusi ilmu dalam kalangan generasi muda, terutamanya.Menyedari dengan jelas bahawa perpustakaan perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat, PNM kini merupakan perpustakaan fizikal dan maya.Sentiasa Di Hadapan Istimewanya, PNM kini bukan hanya menyediakan pelbagai genre buku, tetapi juga membekalkan maklumat secara elektronik, yang membolehkan pengunjung mendapat pelbagai informasi tanpa perlu ke perpustakaan dengan memuat turun menggunakan peranti atau gajet komputer riba, iPhone, Blackberry, iPad dan sebagainya.Satu perkembangan yang menarik. Apatah lagi, dengan faktor kekangan masa masyarakat ketika ini yang memungkinkan mereka tidak sempat ke perpustakaan. Penembusan perkhidmatan PNM dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi bermula pada tahun 2000 dan kini meletakkan organisasi ini di hadapan sebagai gedung dan pembekal bahan ilmu negara.Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar memberitahu Bernama: "Ketika ini, kami sedang memperhebat perkhidmatan kandungan digital atau sumber elektronik dalam talian. Adalah harapan kami untuk menjadi peneraju dalam membekalkan informasi kepada orang awam."Biarpun pengunjung fizikal menurun, tetapi pengunjung maya meningkat. Berdasarkan perkembangan semasa, kami menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan ini."PNM mengambil kira trend pembacaan semasa yang menggunakan teknologi terkini, bahan-bahan dalam bentuk elektronik seperti buku elektronik, jurnal elektronik dan sebagainya."Menerusi perkhidmatan ini, pengguna boleh mengakses dan memuat turun bahan di rumah, pejabat atau di mana-mana sahaja mereka berada. Pelbagai jenis buku elektronik, jurnal elektronik ada, malah Al-Quran pun turut ada," katanya.Perkhidmatan Mesra Pengguna Untuk memenuhi selera dan perkembangan keperluan pengguna perpustakaan, PNM memastikan perkhidmatannya mesra pengguna. Sebagai contoh untuk memuat turun e-book, seseorang itu hanya perlu mendaftar menggunakan 'MyKad' di laman sesawang PNM.Raslin berkata perkhidmatan itu menawarkan lebih tiga juta bahan bacaan elektronik yang boleh dicapai oleh pengguna PNM.Tiada tempoh pemulangan ditetapkan kini, kerana e-book yang dimuat turun itu boleh disimpan di dalam komputer atau peranti peribadi masing-masing selama mana yang mereka kehendaki.Bagi yang berpendapat suasana di perpustakaan awam Malaysia agak formal dan perlu mematuhi pelbagai peraturan seperti tidak boleh membawa minuman ke dalam perpustakaan, di PNM perkara ini sudah tidak relevan.Pengalaman menjenguk sebentar ke ruang santai PNM di aras satu, sudah tentu memberi pandangan baru terhadap imej gedung ilmu itu.Bukan sahaja ia diruangi dengan warna ceria, malah ruang santai itu turut dilengkapi dengan mesin jual air minuman, kerusi urut, meja Jepun bagi mereka yang ingin duduk di lantai serta kemudahan membuat rujukan secara santai.Kemudahan wifi disediakan di keseluruhan bangunan.Bagaimanapun makanan masih tidak dibenarkan kerana PNM menyediakan ruang kafe di aras bawah. Lagipun, ujar Raslin, ia disebabkan faktor budaya dan tatasusila masyarakat negara ini dalam menjaga buku-buku perpustakaan.Disebabkan itu, peraturan berkaitan makan minum masih perlu diwujudkan bagi memastikan koleksi buku di PNM yang dikategorikan sebagai 'koleksi negara' sentiasa berada dalam keadaan baik untuk kegunaan semua.Pelajar Diploma Jurusan Perakaunan di Kolej Profesional MARA Beranang, Selangor, Mohd Aizuddin Aizat Adnan, 22, merasakan pembaharuan yang ditawarkan di PNM bukan sahaja memberi keselesaan, malah menarik lebih ramai pengguna fizikal.'Ensiklopedia Britannica' Pertama Di Asia Bersesuaian dengan matlamat mereka untuk menjadi pusat premier dalam pembekalan maklumat kepada rakyat, PNM menjadi perpustakaan pertama di rantau Asia menawarkan perkhidmatan 'Encyclopedia Britannica' kepada pengguna. Ensaiklopedia ini ialah edisi perpustakaan untuk kanak-kanak dan dewasa bagi capaian rakyat di seluruh negara, dan PNM mensasarkan seramai satu juta pengguna menggunakan kemudahan itu."Kalau untuk orang perseorangan, harga langganan bagi edisi dewasa adalah RM250 setahun, tidak termasuk kategori kanak-kanak. Kalau berniat beli secara berjilid (bukan secara dalam talian), harganya hampir RM7,000."Bukan murah dan hanya mereka yang mampu sahaja boleh memilikinya dan impian kami adalah membekalkan maklumat kepada semua masyarakat negara ini dan ia percuma," katanya."Ensiklopedia ini merupakan satu sumber antarabangsa. Di perpustakaan universiti memang ada, tetapi ia melanggan edisi akademik dan hanya memberi akses kepada penuntut IPT berkenaan, tetapi untuk edisi perpustakaan, hanya PNM yang menawarkannnya pada masa kini," katanya.Tambah Raslin, perkhidmatan ini amat sesuai bagi pelajar serta para profesional yang memerlukan mereka mendapatkan informasi terkini, sahih dan tepat kerana kandungannya disumbangkan para pakar, malahan ada yang memenangi Hadiah Nobel dan Hadiah Pulitzer dalam bidang yang diliputi.Penyediaan perkhidmatan 'Encyclopedia Britannica' ini selaras dengan pelancaran 'Modul Literasi Maklumat 1Malaysia' thun lepas. u-PUSTAKA Raslin mengakui faktor kekangan peruntukan untuk membeli buku menyebabkan tidak semua bahan dapat disediakan kepada pengguna. Bukan merupakan satu senario baru, malah ia turut dihadapi perpustakaan negara maju, katanya sambil menambah kata tidak ada satu perpustakaan pun yang mampu menyediakan semua bahan seperti di kedai buku ekoran faktor kekangan peruntukan.Faktor itu akhirnya menyebabkan perpustakaan perlu membuat pemilihan yang terbaik dalam menyediakan buku-buku yang berkualiti di mana pada masa yang sama perlu mewakili semua bidang perkara yang sesuai untuk pengguna.Selain itu, alternatif yang telah disediakan kerajaan melalui perkhidmatan u-Pustaka dilihat sebagai jalan terbaik mengatasi senario sedemikian.Ini kerana, perkhidmatan u-Pustaka membolehkan pembaca mendapat koleksi yang lebih banyak menerusi tujuh perpustakaan ahli konsortium u-Pustaka. Menerusi perkhidmatan ini, pengguna u-Pustaka diberi peluang untuk memilih hampir satu juta tajuk buku, hasil penggabungan bahan daripada tujuh perpustakaan berkenaan di mana mereka perlu mendaftar sebagai ahli u-Pustaka di laman web http://www.u-pustaka.gov.my.Perkhidmatan ini dikatakan unik dan menarik kerana pengguna hanya perlu ke laman web u-Pustaka dan memilih mana-mana buku dalam perpustakaan yang mengambil bahagian.Setelah menjumpai buku yang diingini dan perpustakaan mengesahkan ada buku yang dicari, pengguna boleh terus membayar kos penghantaran secara dalam talian dan buku itu akan sampai ke pintu rumah anda. Mudah bukan?Mengenai pemulangan, usah risau kerana buku yang dipinjam boleh dipulangkan di mana-mana perpustakaan u-Pustaka atau gelongsor buku yang terdapat di beberapa lokasi seperti KL Sentral, Masjid Putra, Putrajaya dan Jusco AU2 Setiawangsa dan Kuala Lumpur.Selaras dengan senario semasa, PNM juga akan terus melangkah dalam melengkapkan diri untuk semua bagi memastikan matlamat menjadi sumber premier pembekalan maklumat akan tercapai. -BERNAMA