KUALA LUMPUR: Pernahkah anda terfikir bahawa suatu hari nanti kebanyakan bangunan dan rumah di negara ini bahan binaannya berasaskan struktur gabungan pelbagai jenis kayu yang dihasilkan menerusi proses perekatan, atau dikenali sebagai 'glulam'.Penubuhan pusat promosi Perkayuan Malaysia Tebrau, yang lebih dikenali sebagai "MTIB's Iconic Timber Building" yang terletak di Tebrau, Johor Baharu mungkin menjadi titik mula perkembangan glulam di Malaysia.Pembangunan struktur bangunan pusat ini dijangka bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan pembinaan bangunan dan rumah yang bahan binaannya berasaskan glulam di negara ini pada masa akan datang.Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Dr Jalaluddin Harun ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata sememangnya MTIB berhasrat untuk menggalakkan penggunaan glulam dalam pasaran domestik, terutama dalam sektor pembinaan dan pembuatan perabot, menerusi pusat ini.Bangunan Pertama Guna Kayu Glulam Bangunan pusat perkayuan itu adalah yang pertama di dunia mempelopori penggunaan glulam hasil daripada dua jenis kayu keras di Malaysia iaitu Resak dan Keruing untuk pembinaan strukturnya.Menurutnya kos untuk membina pusat promosi Perkayuan Malaysia Tebrau ini yang menggunakan lebih 80 peratus kayu keras adalah kira-kira RM24 juta."Ada bangunan yang kita buat menggunakan bahan kayu glulam namun ia tidak sebesar ini. Pembinaan pusat ini berasaskan bahan yang keselamatannya telah diuji," katanya.Kayu Glulam Sangat Kuat "Glulam" adalah produk kayu struktur yang dihasilkan dengan proses perekatan menggunakan bahan rekatan antara satu kepingan dan kepingan lain dengan saiz tertentu. Jalaluddin berkata gabungan rekatan kayu itu, menghasilkan kayu struktur berdimensi besar dan panjang, yang bersaiz tepat serta sangat kuat."Kayu struktur atau pun glulam ini boleh direkabentuk sepertimana dikehendaki dan kini sudah terdapat syarikat di Malaysia yang menghasilkan kayu jenis ini," katanya. Beliau berkata ini adalah kali pertama struktur bangunan di Malaysia menggunakan kayu sebagai "load bearing structure" untuk bangunan yang tinggi.Namun penggunaan glulam dalam pembinaan bukan lagi perkara baru di negara seperti Sweden, German dan Kanada. Inovasi Dalam Industri Pembinaan Bangunan Jalaluddin berkata tujuan utama pembinaan bangunan iconik itu adalah untuk mengenengahkan kepentingan inovasi produk kejuruteraan glulam sepertimana yang sering diwar-warkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang menekankan aspek teknologi dan inovasi dalam memacu negara ke arah negara maju pada tahun 2020. Menurut beliau, idea untuk membina pusat ini telah dicetuskan pada 2009 dan bangunan itu siap dibina pada 2011.Bangunan pusat ini terletak di atas tanah berkeluasan 3,700 meter persegi, yang terbahagi kepada tiga komponen iaitu dewan pameran, galeri produk kayu serta pusat pentadbiran.Keselamatan BangunanJalaluddin berkata bangunan ini mempunyai ciri-ciri keselamatan dan sistem tersendiri sekiranya berlaku kebakaran antaranya pintu rintangan api, kamera litar tertutup (CCTV), sistem "sprinkler protected corridor".Beliau berkata dengan penggunaan glulam ia ternyata lebih selamat berbanding penggunaan bahan biasa untuk mendirikan bangunan."Keselamatan tidak ada kompromi, semuanya telah dipastikan selamat dan kalau terjadi kebakaran atau sebagainya kayu ini akan tahan lebih lama lagi jika dibandingkan dengan besi."Dengan kata lain bahan yang digunakan akan membuatkannya lebih tahan lama berbanding besi kalau berlaku kebakaran", katanya. Pusat ini turut menggunakan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi, katanya.Jalaluddin berkata pusat promosi ini dijangka menjadi pusat rujukan mengenai rekabentuk bangunan atau pun perabot dan semua inovasi terbaru berkaitan dengan industri perkayuan turut dipamerkan di situ."Contohnya, kita akan pamerkan lantai (mozek) yang diperbuat daripada buluh dan produk lain," katanya dan menambah bahawa pusat itu juga boleh dijadikan rujukan kepada mereka yang terlibat dalam industri perkayuan serta pelajar universiti. -BERNAMA