suria

Menjunjung Kasih Yang Dipertuan Agong ke-14

KUALA LUMPUR: Esok, 11 April, 2012 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,yang menaiki takhta menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ini adalah satu-satunya peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia.

Peristiwa ini menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: "Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan..."

Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia sebagai peneraju utama bagi negara ini.

Peruntukan ini yang telah sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada masa yang sama, Perkara 32(2) pula memperuntukkan bahawa "Permaisuri Yang di-Pertuan Agong yang digelar Raja Permaisuri Agong adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong."

Sementara Perlembagaan Persekutuan menentukan format dan bentuk lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di Jadual Keempat, Permaisuri Agong tidak dikehendaki melafaz apa-apa bentuk sumpah jawatan sekalipun Baginda diberi penarafan dan kedudukan tertinggi selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (SPBYDA).

Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang ditabalkan sebagai SPBYDA bagi kali kedua. Baginda menduduki takhta SPBYDA kelima bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan masing-masing oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein. Tuanku Abdul Halim adalah kemanakan kepada Tunku.

Dalam konteks sejarah, Tuanku Abdul Halim juga menempa sejarah. Perdana Menteri dalam tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini ialah Tun Abdul Razak. Kini anakandanya, Datuk Seri Najib pula sebagai Perdana Menteri.

Baginda adalah SPBYDA pertama yang mula bersemayam di Istana Negara Baru.

Pada majlis gilang-gemilang 11 April, SPBYDA yang ke-14 akan menjalani semua acara tradisional diraja pada sebelah pagi hingga malam apabila santapan pertabalan diraja berlangsung.

LUNAS SEJARAH

Sebagai lunas perbandingan sejarah, jawatan Kepala Utama Negara seperti yang terdapat pada Perkara 32(1) pada mulanya dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid sebagai Yang di-Pertuan Besar - sesuatu yang mencerminkan cadangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama Malaysia susulan pengamatan beliau setelah meneliti sistem Raja bergiliran di Negeri Sembilan.

Sebagaimana dimaklum, di Negeri Sembilan para Undang Yang Empat sebagai "Rulers" atau Pembesar-pembesar Memerintah tempatan memilih seorang Raja bagi negeri itu mengikut peraturan adat di Negeri Sembilan.

Apabila semua pihak yang mewakili Raja-Raja Melayu, Umno dan Perikatan serta pandangan pelbagai pihak, panggilan Yang di-Pertuan Besar diganti dengan Yang di-Pertuan Agong atas alasan supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dengan Raja yang memerintah di negeri beradat itu.

Daripada sudut sejarah juga jelas bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah lahiran Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan kemudiannya disambung oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia (1963).

SPBYDA adalah berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau "Constitutional Monarchy" yakni Raja yang sentiasa kena mematuhi nasihat Jemaah Menteri atau salah seorang yang mewakilinya (biasanya Perdana Menteri) seperti yang dikehendaki Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. Daripada sudut kuasa legislatif, SPBYDA adalah satu daripada tiga komponen yang mewujudkan Parlimen (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan SPBYDA). Parlimen di Malaysia tidak lengkap tanpa SPBYDA sebagai salah satu komponennya.

Justeru, Seri Paduka wajib menandatangani semua Rang Undang-Undang yang diluluskan kedua-dua Dewan.

SPBYDA perlu dianggap sebagai mercu perlambangan Ketua Negara yang paling tinggi lagi utama. SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara merupakan mercu kedaulatan Malaysia.

Semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan atau kepercayaan sedia terpanggil untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan terhadap SPBYDA. Benar, Seri Paduka adalah Raja berketurunan Melayu yang beragama Islam tetapi daripada sudut kenegaraan, SPBYDA adalah Raja bagi Malaysia dan rakyatnya.

Larasan yang paling mudah ialah Ratu Elizabeth di United Kingdom yang melambangkan pihak diraja bagi semua rakyat Britain yang sebahagian besar kini mewakili pelbagai kaum dan etnik.

Cuma Ratu Elizabeth tidak digilirkan kedudukan diraja baginda lantaran pemerintahan beraja secara Anglo-Saxon menjangkau 400 tahun lampau manakala Diraja Scotland dan England bersatu pada tahun 1603.

Selepas 11 April nanti, gambar rasmi SPBYDA Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan SPB Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan dipaparkan di semua pejabat rasmi Kerajaan di setiap negeri. Begitu juga halnya di semua 104 kedutaan Malaysia di seberang laut.

RAJA BERPERLEMBAGAAN

Konsep dan amalan Raja Berperlembagaan di Malaysia diterima dan disahkan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Reid sebagai paling sesuai bagi negara ini.

Ini adalah kerana sebelum mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayulah yang memegang tampuk kekuasaan dan kedaulatan bagi setiap negeri.

Walaupun dalam proses pergolakan bersejarah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah berakhir dengan ketiadaan Raja, pemerintahan beraja terus-menerus beroleh pengiktirafan, khasnya di bawah pentadbiran kolonial British.

Selepas 1963 semua negeri yang tiada Raja (Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan) secara automatik menerima SPBYDA sebagai Raja Berperlembagaan walaupun tiada perisytiharan dibuat bagi maksud itu.

SPBYDA merupakan Raja yang memerintah mengikut nasihat cabang Eksekutif.

Seri Paduka sebenarnya mempunyai senarai tanggungjawab dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang Kerajaan - Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Seri Paduka melantik Perdana Menteri, para Menteri dan Timbalan Menteri, Peguam Negara, para hakim mahkamah semua peringkat (kecuali mahkamah majistret) dan mentauliahkan para duta Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.

SPBYDA menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang boleh mengampunkan atau menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan yang dijatuhi mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih berkuatkuasa, Seri Paduka boleh bertindak atas hal berkaitan rayuan daripada Lembaga Penasihat ISA.

Seri Paduka berkuasa, atas nasihat, mengisytiharkan sesuatu keadaan darurat menurut kehendak Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

MAJLIS RAJA-RAJA (MRR)

Majlis Raja-Raja (MRR) yang merupakan badan tertinggi diraja dan yang memilih SPBYDA dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 38. Walaupun hal-hal dasar kenegaraan juga boleh diagendakan untuk MRR, kebanyakan hal yang dipertimbangkannya adalah berkisar pada perkara-perkara kedirajaan, pengampunan, menangguhkan dan meringankan hukuman, adat-istiadat Melayu dan hal-hal yang berkaitan agama Islam.

Biasanya MRR juga memberi perhatian kepada pelantikan-pelantikan tertentu seperti para hakim dan peraturan-peraturan yang diperbuat di bawah Perkara 32 mengenai perkhidmatan awam. Pendeknya SPBYDA terlibat dalam banyak hal dan urusan berkaitan jawatan SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara.

PROGRAM

Program-program khas dari 11 April hingga 21 April tentunya mendapat perhatian rakyat. Walaupun daripada segi amalan dan susunannya tidak banyak berbeza daripada amalan perayaan yang dijalankan pada masa lampau lantaran perlu menjejak turutan tradisi, penegasan Jawatankuasa Induk Pertabalan SPBYDA tertumpu kepada tema "Raja dan Rakyat Berpisah Tiada".

Istiadat pertabalan yang bakal dihadiri semua kerabat diraja dan Yang Dipertua Negeri pada 11 April akan diadakan mulai pukul 9 pagi.

Ringkasnya, tema ini menegaskan perihal "tiada rakyat tiada Raja" dan hubungan antara kedua-dua entiti itu harus dipelihara dengan cermat lagi berkesan dalam ertikata kepentingan rakyat tidak diabaikan.

Sementara itu institusi Raja Berperlembagaan sentiasa dipelihara dan dihormati.

Pada 12 April (Khamis) diadakan bacaan Yassin di Masjid Negara dan disusuli dengan khutbah khas pada Jumaat 13 April.

Dijadualkan juga acara-acara keagamaan lain yang memberi ucap selamat untuk SPBYDA melalui sesi agama kaum masing-masing.

Satu pertandingan golf akan diadakan pada 14 April (Sabtu) di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, mulai pukul 7.40 pagi.

Pameran Raja Kita pada 15 April (Ahad) mulai pukul 11 pagi di Istana Negara Lama dijangka menarik minat rakyat. Pameran ini memuatkan pelbagai aspek pemerintahan beraja dan institusi SPBYDA semenjak merdeka 1957 hinggalah ke hari ini.

Sempena pertabalan ini, kira-kira 50,000 buku kecil "Raja Kita" akan diedarkan khasnya bagi pelajar sekolah serta generasi muda untuk mengenal dan memperhalusi ilmu pengetahuan darihal institusi diraja khasnya SPBYDA.

SPB Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan meraikan sekumpulan kanak-kanak di Dewan Serbaguna Istana Negara Baru pada 21 April mulai pukul 9 pagi.

Pelbagai acara keceriaan kanak-kanak akan berlangsung sekali gus menggagaskan kepentingan kanak-kanak yang dilayani dengan penuh mesra.

Program raksasa "Persembahan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" sebelah malam 21 April di Dataran Merdeka adalah kemuncak perayaan pertabalan.

Pada malam itu diketengahkan pelbagai persembahan budaya pelbagai kaum, hiburan muzik serta nyanyian dan acara-acara selingan yang setimpal dengan malam kemuncak kepada perayaan Raja Kita.

KEUNIKAN

Apa yang akan dilangsungkan bagi tempoh 11 hingga 21 April tentunya akan menonjolkan satu keunikan bagi masyarakat yang berpaksikan Komuniti 1Malaysia: kita satu dalam kepelbagaian.

Kita satu dalam menentukan matlamat kenegaraan dan kita berani berbeza pendapat untuk melahirkan yang terbaik untuk Malaysia. Dalam usaha inilah institusi diraja - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi paksi keutuhannya.

Seri Paduka bukan sahaja lambang kenegaraan, keutuhan dan kesatuan tetapi juga simbolisme yang penuh daulat. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

Rakyat dan Raja Berpisah Tiada. (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim, adalah Pengerusi Pertabalan SPBYDA ke-14). -BERNAMA

Artikel Lain