Pegawai Vokasional dan Industri Penjara Alor Setar, Lee Geik Siew (kiri) memeriksa kualiti dan kebersihan kek yang dihasilkan oleh banduan wanita di Jabatan Penjara Alor Setar di sini. Kira-kira 30 banduan wanita mengambil bahagian untuk menghasilkan produk tersebut yang dipasarkan ke pasaraya, sekolah dan agensi kerajaan. Lebih 30 jenis roti dan kek serta 10 jenis kuih sejuk beku dihasilkan di Penjara Alor Setar dengan menggunakan jenama 'My Pride'. -fotoBERNAMAALOR SETAR: Jabatan Penjara Alor Setar akan memperluaskan pasaran produk sejuk beku dan bakeri keluarannya ke beberapa hotel di ibu negara.Pengarahnya Penolong Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah berkata perbincangan dengan hotel terbabit akan diadakan dalam masa terdekat."Kita ada lebih 30 produk bakeri dan 10 produk sejuk beku dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada orang ramai dan melebihi sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia," katanya kepada Bernama di sini.Pada masa ini produk terbabit yang menggunakan jenama 'My Pride' dipasarkan di beberapa pasar raya dan sekolah di Kedah, Perak dan Pulau Pinang, katanya.Beliau berkata antara produk berkenaan ialah karipap ayam dan daging, martabak mini ayam dan daging, cucur badak serta pelbagai jenis biskut dan kek.Ahmad Saidi berkata selain mementingkan kualiti, harga yang ditawarkan kepada pengguna amat berpatutan dan jauh lebih rendah daripada produk serupa di pasaran.Beliau berkata pihaknya amat mementingkan kualiti produk dan juga kebersihan persekitaran tempat kerja agar makanan yang dihasilkan tidak tercemar.Katanya semua produk mereka dihasilkan oleh 30 banduan wanita beragama Islam dengan menggunakan peralatan yang canggih khusus untuk banduan sahaja dan dipantau oleh tenaga pengajar.Objektif utama pihak penjara adalah mahu memberi kemahiran pembuatan bakeri dan makanan sejuk beku sebagai persediaan banduan pada masa hadapan kepada banduan terbabit, katanya."Kita juga menerima tempahan daripada orang ramai yang mahukan pelbagai produk bakeri atau sejuk beku dalam tempoh 24 jam. Kita ada pekerja yang cukup untuk mempercepatkan proses penyediaan tempahan," katanya. Sementara itu Pegawai Vokasional dan Industri Penjara Alor Setar, Lee Geik Siew berkata bengkel itu baharu beroperasi pada Januari lepas dan dijangka memperolehi sijil halal daripada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) dalam masa terdekat.Banduan yang menyertai program itu akan menerima Sijil Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan setelah bebas kelak, katanya.Bagi yang ingin mendapatkan produk secara terus, mereka boleh hubungi bahagian pemasaran Penjara Alor Setar di talian 04-7209119/9167, manakala bagi yang ingin menjadi pengedar pula boleh hubungi 04-7302544/2546. -BERNAMA