PETALING JAYA: Situasi pertama: Masliana (bukan nama sebenar), mempunyai berat badan dalam lingkungan 40 kilogram dan mahu mengekalkan berat badan itu.Merasakan nasi penyebab utama kepada 'kegemukan', dia yang gemuk sebelum ini mula mengelakkan pengambilan makanan karbohidrat itu dalam kehidupan seharian. Andai 'termakan' menu ruji itu, tekanan psikologi akan menyebabkan Masliana terus menuju ke biliknya untuk bersenam sehinggalah berasa puas.Situasi kedua: Impian sejak kecil untuk menjadi model, Farina (bukan nama sebenar) sentiasa menjaga penampilan diri, melihat cermin, menimbang berat badan dan merungut sekiranya berat badan naik walaupun sedikit.Walhal, tambahan berat badan itu tidaklah sebanyak mana, namun ia menghantui Farina. Merasakan dirinya 'gemuk', beliau mula mengelak makan malam atas alasan "saya tidak lapar".Alasan dan senario sebegini, bukanlah baru dalam kalangan wanita muda bekerjaya serta remaja perempuan yang mula meningkat dewasa. Apa sahaja berkaitan kecantikan, semua dijadikan keutamaan.Tidak salah untuk kelihatan anggun. Namun, bertindak sebaliknya dengan merasakan diri berhadapan masalah berat badan, biarpun hakikat sebenarnya tidak sepertimana yang difikirkan adalah tidak boleh dipandang ringan.Mengapa? Dengan hanya menidakkannya atau membiarkan sahaja perkara itu, ia sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan seseorang. Ini sekali gus menunjukkan budaya pemakanan dan diet seimbang dalam masyarakat negara ini masih dipandang ringan, hanya semata-mata mahu kelihatan kurus serta cantik!SAYA GEMUK!Dirujuk sebagai masalah 'imej badan', golongan wanita dikenalpasti lebih cenderung menghadapi masalah ini berbanding lelaki.Mula tidak mahu mengambil sarapan pagi, kemudian tengah hari dan seterusnya malam, ada segelintir wanita yang berhadapan dengan masalah psikologi ini berasa puas sekadar mengisi perutnya dengan sebiji epal.Semuanya kerana satu, mahu kurus. Bagi mereka, seseorang wanita itu akan kelihatan cantik sekiranya memiliki bentuk badan persis model. Disebabkan itulah, ramai wanita sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan potongan badan menawan, termasuklah dengan melakukan pembedahan! Sikap menggilakan kecantikan berlaku ekoran terpengaruh dengan apa yang dilihat di kaca televisyen, majalah fesyen dan di dunia tanpa sempadan di Internet.Cantik, selalunya merujuk kepada bentuk badan kurus atau langsing selain daripada paras rupa menawan, menyebabkan kebanyakan wanita terlalu mengambil berat perihal berat badan mereka.Walhal, kecantikan itu sebenarnya luas konsep pemahamannya dan tidak sekadar berlandaskan kepada pemikiran sempit itu sahaja.OBESITI TURUT MENYUMBANGDi sebalik pengaruh gemerlapan bintang fesyen dan hiburan, masalah obesiti turut dikenalpasti menyumbang kepada pencarian imej tubuh unggul dalam kalangan wanita, menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr Tee E Siong.Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan kadar peningkatan obesiti di negara adalah daripada 14.0 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada 2011, menyebabkan ada antara wanita terlalu takut dilabelkan golongan 'obese' sehingga menjaga pemakanan secara keterlaluan."Apabila bercerita mengenai obesiti, saya harus berhati-hati kerana ada kemungkinan orang salah faham. Mereka jadi terlalu takut sehingga tidak mahu makan, sentiasa amalkan diet keterlaluan walaupun mereka sebenarnya sudah kurus."Ini juga mungkin terjadi kerana penekanan keterlaluan yang diberikan kepada masalah ini (obesiti) tanpa kita sedari konsep makanan seimbang dilupakan semata-mata kerana ingin kelihatan kurus," katanya.NASI MENGGEMUKKAN!Dek kerana ingin mendapatkan potongan badan persis model, pelbagai andaian tidak berasas disimpulkan hasil daripada perbincangan antara rakan mahupun pencarian maklumat di Internet.Ini termasuklah, pengambilan nasi seharusnya dielakkan kerana makanan karbohidrat itu kononnya berpotensi menggemukkan atau meningkatkan berat badan seseorang.Namun, adakah andaian itu benar? Menyangkal andaian itu, Dr Tee menjelaskan; "Ramai orang salah faham.Sebenarnya, nasi tidak akan menjadikan anda gemuk. Semuanya bergantung kepada kuantiti pengambilannya. Kalau diambil dalam kuantiti kecil atau sederhana, ia tidak akan menjadikan kita gemuk."Dan, asalkan kita bergerak, kalori itu akan hilang apabila digunakan. Jadi tidak perlu terlalu risau sehingga tidak makan satu-satu jenis makanan langsung dan ini akan menyebabkan anda kehilangan zatpenting seperti vitamin B," katanya. Apatah lagi, piramid makanan, panduan mencapai diet sihat menunjukkan nasi berada di tangga paling bawah sekali, oleh itu ia perlu diambil dalam kuantiti secukupnya.GANGGUAN MAKANSelain pengambilan nasi dielakkan, golongan yang menggilakan kecantikan bentuk badan ini ada antaranya sanggup mengikat perut agak keterlaluan sehingga menjejaskan pemakanan sihat.Ini termasuklah mereka yang sememangnya sudah kurus tetapi merasakan dirinya gemuk. Diklasifikasikan sebagai penyakit berpunca daripada pelbagai faktor dan pengaruh emosi, gangguan makan biasanya disebabkan oleh kurang harga diri dan keyakinan terhadap paras rupa serta penampilan diri. Terdapat beberapa jenis gangguan makan, namun umum lebih mengenali anoreksia nervosa dan bulimia, akibat daripada tindakan keterlaluan dalam penjagaan berat badan."Ada wanita sanggup makan seperti biasa, atau makan lebih banyak daripada biasa tetapi akan mengeluarkan semula makanan dimakan sama ada dengan memuntahkannya secara sengaja atau menggunakan julap. Ini dipanggil bulimia.Terdapat juga wanita yang mengurangkan makan, atau terlalu kuat bersenam mahupun tidak makan langsung ekoran merasakan pengambilan sedikit makanan boleh menimbulkan kebimbangan dan ini dipanggil anoreksia nervosa," katanya.BOLEH BAWA MAUT!Sedarkah anda pengabaian makanan seimbang dalam kehidupan seharian sebenarnya mendedahkan seseorang itu kepada bahaya? Tanpa nutrien mencukupi, ancaman terhadap kesejahteraan kesihatan seseorang adalah tinggi!"Inilah masalahnya. Bagi mereka kurus untuk cantik, bukannya untuk kesihatan. Apabila tidak makan atau memuntahkan balik apa yang dimakan, mereka bukan sahaja tidak cukup nutrien, mineral malah protein pun langsung tidak dapat diserap."Ini berbahaya, kerana badan kita memerlukan nutrien setiap hari untuk proses pertumbuhan, mengekalkan atau menukar tisu lama. Bagi kanak-kanak ia penting untuk proses pertumbuhan," katanya.Pengambilan nutrien mencukupi juga amat penting bagi orang dewasa. Ini membolehkan penukaran tisu dibuat bagi membantu seseorang itu menjalani kehidupan seharian seperti berfikir, bekerja dengan lebih bertenaga.Harus diingat kekurangan nutrien yang teruk dalam jangka panjang boleh membawa maut, jelas Dr Tee.BUDAYA PEMAKANAN TIDAK SEIMBANGAmalan pemakanan sihat seharusnya disahsiahkan dalam kehidupan seharian, yakni segala nutrien dan tenaga yang diperlukan diambil berpandukan kepada piramid makanan."Ada yang sanggup hanya makan buah atau sayur kerana tidak mahu gemuk. Itu tidak seimbang. Pengambilan sarapan, tengah hari dan malam adalah perlu biarpun anda sebenarnya dalam proses diet.Itu bagi mereka yang mengalami masalah berat badan, bagaimana pula dengan wanita yang sememangnya kurus tetapi merasakan dirinya gemuk? Dr Tee berkata pengesanan awal gangguan makanan oleh ibu bapa serta rakan berupaya membendung senario itu daripada berlanjutan.Terdapat beberapa cara bagi mengenalpasti sama ada anak perempuan anda mahupun rakan mengalami gangguan makan.Antaranya, sikapnya yang terlalu mementingkan dan merungut tentang berat badan, banyak bersenam, terlalu mengurangkan makan dan menahan lapar, tidak makan bersama orang lain, mood tidak menentu, memakai baju besar/longgar, terus ke bilik air selepas makan dan berat badan turun mendadak dalam tempoh singkat.Apabila mengesyaki anak atau rakan perempuan anda menunjukkan simptom ini, adalah lebih baik mengesyorkan mereka dapatkan nasihat doktor.Tidak ada gunanya mendapatkan potongan badan persis model, sekiranya nyawa anda dipertaruhkan! -BERNAMA