suria

Anggota Umno, Parti Komponen Perlu Bersatu Pastikan Calon BN Menang PRU-13

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

BERA: Anggota Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) diseru agar terus bersatu hati bagi memastikan calon BN yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) menang dengan majoriti besar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk tidak berkompromi dengan pihak pembangkang yang sanggup bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu demi mencapai cita-cita politik mereka.

"Saya percaya mesti ada perasaan tidak puas hati dalam kalangan anggota Umno, tetapi kita hendaklah mengetepikan perasaan tersebut untuk memastikan kita bukan sahaja berjaya mempertahankan Parlimen Bera, DUN (Dewan Undangan Negeri) Kemayan dan Guai, malah mampu merampas DUN Triang daripada DAP.

"Pilihan raya kali ini adalah yang paling sengit berbanding pilihan raya sebelum ini kerana kita juga terpaksa berdepan dengan pembangkang yang sanggup menggadaikan keselamatan negara bagi mencapai agenda mereka untuk menang kali ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Biru dan Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bera di Laman Kerayong Bera di sini, Ahad.

Dalam pada itu katanya jentera BN perlu memberikan penerangan kepada rakyat terutamanya golongan muda tentang agenda transformasi kerajaan yang dijalankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mampu membawa pembangunan dan kecemerlangan ekonomi negara termasuk menjayakan Wawasan 2020.

Katanya ini kerana Wawasan 2020 itu sendiri adalah untuk memenuhi keperluan generasi muda kerana mereka yang akan menikmati hasil daripada manfaat kejayaan agenda wawasan tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain