Abdul Aziz KadirKOTA BARU: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelantan yang didapati cuba mensabotaj parti untuk memastikan kekalahan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan dipecat.Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, golongan ini tidak boleh dianggap sebagai ahli kerana mereka tidak membantu parti untuk memperoleh kemenangan."Apapun, kita kena bertindak berdasarkan bukti. Kita kena meneliti dan mengkaji apa tindakan dia."Kalau dia memang sabotaj dan kita ada bukti, insya-Allah selepas pilihan raya nanti kita tidak teragak-agak (bertindak) supaya dia dibuang dari parti," katanya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini, malam Isnin.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kemelut yang berlaku dalam PKR di Kelantan ekoran tidak puas hati anggota parti terhadap pemilihan calon yang bertanding pada PRU-13.Abdul Aziz yang merupakan calon PKR-Parlimen Ketereh itu berkata, pihaknya perlu bersikap adil sebelum membuat tindakan tanpa hanya berpandukan tohmahan semata-mata."Tetapi kalau ada kenyataan terbuka di media, kita sudah pun mengambilnya untuk membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin," katanya.Menurut Abdul Aziz, terdapat segelintir anggota parti lain turut tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon tetapi ia dinyatakan secara rundingan dalaman.Katanya, pendekatan itu adalah lebih baik bagi mencari penyelesaian dan persetujuan bersama berhubung isu yang berbangkit."Ada yang melahirkan rasa tidak puas hati tanpa melalui media (dan) memang ada rundingan. Alhamdulillah ia (rundingan) semakin baik," katanya.Sehubungan itu, beliau menegaskan kepada semua anggota parti supaya menghormati keputusan pimpinan dalam pemilihan calon."Ini sebenarnya adalah krisis bagi segelintir mereka yang merasakan diri lebih baik, ada yang rasa dirinya lebih layak untuk menang... syok sendirilah."Kalau kita asyik hendak memprotes, nak melanggar arahan parti, mana-mana parti pun tak akan bersaing dengan Barisan Nasional (BN)," katanya.Pergolakan dalaman PKR di Kelantan semakin meruncing berikutan akar umbi tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti di Kuala Balah, Paloh, Nenggiri dan Pengkalan Kubor.