ALOR SETAR: Bagi yang masih mencari menu pembuka selera untuk berbuka, cubalah ikan pekasam yang merupakan satu daripada makanan tradisi masyarakat Kedah yang boleh didapati di bazar Ramadan perkarangan Stadium Darul Aman di sini, sepanjang Ramadan ini.Pelanggan boleh mendapatkan ikan pekasam siap digoreng di gerai milik pasangan suami isteri Mohd Nazri Ghazali, 38, dan Rosmina Hashim, 32, yang menjual menu berkenaan sejak Ramadan tahun lalu.Rosmina berkata bagi melengkapkan hidangan ikan pekasam, ia dihidangkan bersama bawang, limau nipis dan cili kering yang pastinya dapat meningkatkan selera pembeli."Sambutan pelanggan terhadap permintaan ikan pekasam goreng pada tahun lalu menyebabkan kami mengambil kesempatan untuk meneruskan perniagaan ikan pekasam pada tahun ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di sini.Katanya antara jenis ikan pekasam yang dijual di gerai mereka ialah lampam, tilapia, kembung dan gelama.Rosmina berkata dia dan suami mendapatkan bekalan ikan pekasam daripada pembekal ikan pekasam tradisional yang terdapat di sekitar Alor Setar.Katanya harga ditetapkan mengikut saiz ikan lingkungan RM3 sehingga RM6 seekor.Rosmina berkata setiap hari sebanyak 10 hingga 15 kilogram ikan pekasam mampu dijualnya dan dia meraih keuntungan melebihi RM200 setiap hari.Tinjauan di beberapa gerai sekitar pekarangan stadium dekat sini mendapati hanya Rosmina sahaja yang menjual ikan pekasam goreng dan pelanggan mengunjungi gerai Rosmina seawal pukul 4 petang untuk memilih ikan pekasam yang digemari. - BERNAMA