SELEPAS tiga tahun mengharungi perkahwinan dan masih tidak mempunyai anak, David Ng dan isteri mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan bagi 'masalah' mereka."Kami membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan setelah isteri saya gagal mengandung selepas tiga tahun kami berkahwin manakala tekanan daripada ahli keluarga yang lebih tua sudah tentu memburukkan lagi keadaan."(Tetapi) kini saya adalah bapa kepada tiga anak IVF (Persenyawaan Dalam Vitro)," jelas Ng yang bertugas dalam industri telekomunikasi kepada media pada majlis pelancaran kempen 'Harapan Dapatkan Anak' di sini baru-baru ini.Ng mengahwini Shirley Goh pada tahun 2006. Goh, yang juga bertugas dalam industri yang sama, menceritakan bahawa beliau jadi runsing kerana gagal mendapatkan anak selepas tiga tahun berkahwin.Pasangan itu mula mencari rawatan alternatif dan Goh mencari maklumat mengenai cara mengatasi kemandulan.Beliau bernasib baik kerana mendapat satu pilihan.IVFPasangan itu tidak membuang masa untuk mendapatkan bantuan perubatan."Kami dapatkan rawatan bagi kesuburan tetapi gagal pada awalnya. Kami diberitahu peluang berjaya hanya 50-50."Kami tidak berputus asa dan memilih satu lagi pilihan iaitu program 'Persenyawaan Dalam Vitro' atau IVF. Kami mengambil peluang mencubanya dan kalaulah ia berhasil, itu adalah anugerah dari Tuhan," Goh menjelaskan pengalamanya.Ng adalah anak lelaki tunggal dalam keluarga dan itu menyebabkan tekanan yang dihadapinya dirasakan amat besar.Selepas dua prosedur IVF yang berjaya, pasangan itu kini mempunyai anak perempuan yang berumur tiga tahun dan sepasang kembar berumur satu tahun."Tiga (anak) sudah cukup," jelas pasangan itu.KOSTerdapat 30 Pusat Kesuburan bagi pasangan yang gagal mendapatkan anak secara normal mendapatkan rawatan di seluruh negara.Bagi masalah kesuburan, masa adalah faktor penting kerana jika seseorang yang 'mandul' itu lambat mendapatkan rawatan, peluang bagi pasangan itu mendapat anak akan lebih tipis.Di dunia, dianggarkan 9.6 peratus daripada pasangan yang berkahwin mengalami masalah kesuburan.Pakar penjagaan kesihatan menyatakan trend lambat memulakan keluarga juga menyaksikan banyak pasangan mengalami masalah ketidaksuburan yang juga boleh dikaitkan dengan umur lanjut bagi pasangan wanita.Menurut takrif Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketidaksuburan adalah satu penyakit sistem reproduktif yang diukur dari segi kegagalan untuk mengandung secara klinikal selepas 12 bulan atau lebih hubungan seksual secara normal.Masalah ini bukan hanya tertumpu kepada golongan wanita sahaja, malah ia melibatkan lelaki.Wanita yang boleh mengandung tetapi 'gagal' melahirkan anak juga menghadapi masalah ini.Kos bagi rawatan kaedah IVF adalah antara RM12,000 dan RM20,000 bagi satu prosedur. - BERNAMA