Mohammad Lasim Deraman, 47, (dua, kiri) bergambar kenangan dengan masyarakat Afrika selepas tiba di Palapye, Bostwana. Foto BERNAMAGEORGE TOWN: Seorang guru membuktikan dengan semangat 'Malaysia Boleh' segalanya mungkin termasuk menjelajah benua Afrika dalam tempoh 42 hari dengan menunggang kapcai (motosikal 110cc) seorang diri.Atas inisiatif sendiri, Mohammad Lasim Deraman, 47, memulakan perjalanan sejauh lebih 10,000 kilometer pada 15 November lepas di Cape Point iaitu kawasan paling selatan di benua Afrika, dan merentasi antaranya Tanzania, Bostwana, Zambia sebelum mengakhirinya di Mount Kenya, gunung kedua tertinggi di benua itu."Saya pilih benua Afrika kerana keadaan geografinya yang mencabar dengan kawasan pergunungan, danau, sungai dan gurun yang saya rasa punya rahsia tersendiri," katanya dalam sidang media, di sini Isnin.Guru pendidikan khas di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur itu berkata, sebelum ini beliau pernah bermotosikal menjelajah seluruh pulau Borneo serta kepulauan Indonesia.Menceritakan pengalamannya sepanjang jelajah di benua kedua terbesar dunia itu, Mohammad Lasim berkata, antara yang membanggakannya ialah nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad begitu dikenali oleh masyarakat di sana.Mereka cukup gembira apabila diminta bergambar bersama bendera Malaysia, kata anak jati Kota Baharu, Kelantan itu.Menurut Mohammad Lasim, pada awalnya beliau merancang ke tanah suci Makkah melalui Nairobi, selepas tiba di Moyale (bandar di sempadan Ethiopia dan Kenya) pada hari ke-34, namun terpaksa membatalkan hasrat kerana berlaku perang saudara di Nairobi."Kedutaan juga menasihatkan saya berpatah balik kerana pertempuran melibatkan pertumpahan darah dan sangat berbahaya," katanya.Usai jelajahnya di benua Afrika, guru itu tidak terus pulang ke tanah air. Sebaliknya beliau menghantar kapcainya ke Thailand dan mengambil keputusan menjelajah negara Gajah Putih berkenaan yang dicapainya dalam tempoh tiga hari.Beliau kemudian menunggang ke selatan Thai dan memasuki negara ini pada 26 Disember lalu menerusi Bukit Kayu Hitam sebelum ke sini untuk bertemu rakan-rakan.Ditanya mengenai tip bagi yang berminat mengembara dengan kapcai, Mohammad Lasim berkata, seseorang perlu tahu penyelenggaraan asas motosikal seperti menampal tayar sebelum berbuat demikian.Mengembara dengan kapcai ini suatu yang menarik kerana selain kos yang rendah juga memberi peluang kita berinteraksi dengan masyarakat setempat, katanya yang seronok dapat melihat kehidupan pelbagai etnik di Afrika termasuk etnik Zulu yang masih mengekalkan tradisi mereka termasuk tinggal di dalam pondok jerami. - BERNAMA