suria

Kediaman Mewah Tukar Jadi Hostel Pekerja

Ruang tamu dibahagikan menggunakan langsir untuk dijadikan bilik tidur.

LEBIH 80 rumah di Sri Hartamas, Kuala Lumpur bertukar menjadi hostel secara haram untuk kediaman pekerja asing, dengan memuatkan 30 orang di dalam sebuah rumah.

Hartanah itu merupakan rumah teres dan yang berkonsepkan 'town house', yang dibina dengan dua atau tiga bilik.

Pekerja asing bukan sahaja dapat merasai kehidupan yang baik bahkan keselamatan di kawasan kejiranan juga dikompromi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Hartamas, Robin Tai membuat pemerhatian bahawa para pekerja asing bekerja mengikut syif dan hanya separuh daripada mereka berada di rumah pada satu-satu masa.

"Keadaan ini menjadi lebih buruk dalam tempoh 10 tahun yang lalu apabila ramai pemilik mula keluar disebabkan oleh perkembangan yang pesat di kawasan sekeliling dan menyewakan unit-unit kediaman mereka. Kebanyakan penyewa bekerja di restoran berhampiran," katanya. 

StarMetro membuat pemeriksaan terhadap enam rumah dan mendapati penyewa memaksimumkan ruang dengan menetapkan penghadang sementara, menggunakan langsir untuk privasi dan mengubah suai unit bersesuaian dengan keperluan mereka.

Bau busuk dari beberapa rumah boleh dirasai, yang membuktikan bahawa mereka hidup dalam keadaan tidak bersih.

Katil-katil ditemui di ruang tamu, ruang makan, koridor dan juga dapur, menunjukkan kawasan berkenaan digunakan sebagai tempat tidur. Terdapat bilangan perabot yang minimum, dengan kebanyakan rumah hanya mempunyai tilam atau tikar di atas lantai. 

Penyewa di salah sebuah rumah juga menukarkan balkoni menjadi bilik air dengan menggunakan tabir sebagai partition dan menghalang dari pandangan umum. Air yang digunakan untuk mandi dan membasuh diambil dari dapur yang terletak bersebelahan dengan menggunakan baldi .

Sebuah dapur di sebuah rumah yang lain ditukar menjadi satu bilik mandi besar dengan tangki air besar. Paras pintu keluar dapur turut dinaikkan bagi menghalang air dari mengalir keluar ke bahagian lain di dalam rumah.

rumah

Sebahagian pekerja asing yang tidur di ruang tamu dengan beralaskan bantal, dan menjadikan sepanduk sebagai tempat tidur.

Kesemua rumah berselerak dan pakaian-pakaian bertaburan di atas lantai. Sisa makanan dan sampah dibiarkan sehingga reput. Anjung hadapan dipenuhi dengan daun-daun kering dan sampah, dan ia kelihatan seperti sudah lama tidak disapu.

Di belakang rumah pula keliharan semak yang boleh dibuat sebagai tempat persembunyian sesuai untuk ular dan perompak.

Ampaian penuh dengan pakaian di luar rumah dilihat menyemakkan mata dan memberi gambaran negatif di kawasan kejiranan.

Tai berkata, beliau banyak kali membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 tahun lepas tetapi keadaan tidak bertambah baik. Malah beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih buruk.

"Ia menjadi satu keadaan di mana pekerja asing begitu berani dan mencabar kita untuk melaporkan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap mereka.

"Pemilik yang telah berpindah keluar menghadapi kesukaran untuk menjual unit-unit mereka dan mendapati ia lebih menguntungkan untuk menyewakannya.

"Pihak berkuasa perlu campur tangan dalam hal ini bagi membantu kita.

"Terdapat juga beberapa kes kecurian kasut di kawasan ini," katanya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, beliau akan meminta pegawai-pegawainya untuk memeriksa perkara itu secepat mungkin.

"Bilangan penghuni ditentukan oleh saiz unit. Jika tidak silap, setiap unit yang dinyatakan hanya boleh menempatkan empat orang.

"Kami akan membuat serbuan di kawasan itu tidak lama lagi," katanya.

Bekas ahli majlis perbandaran Petaling Jaya dan peguam, Derek Fernandez menjelaskan bahawa kesesakan di dalam rumah berlaku apabila terdapat kurang 350 kaki padu (9.9 meter padu) ruang kediaman untuk setiap penghuni.

"Ini secara kasar diterjemahkan kepada dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak di bawah 10 tahun, bagi sebuah bilik dengan saiz standard kira-kira 12 kaki x 12 kaki. Dua kanak-kanak di bawah umur 10 tahun juga boleh dikira sebagai seorang dewasa," katanya.

Memetik peruntukan undang-undang, Fernandez berkata di bawah Seksyen 78 Akta Kerajaan Tempatan 1978, pemilik sebuah premis yang penuh sesak adalah kesalahan dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Jika kediaman penuh sesak bagi tujuan komersial, seperti menggunakan unit kediaman sebagai asrama, adalah melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Kanun Tanah Negara.

Di bawah Akta itu, pemilik akan dikenakan denda sebanyak RM500,000, penjara, atau rampasan tanah, kerana tujuan sebenar menggunakan premis itu untuk perniagaan komersial dengan menyediakan penginapan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan