BERAPA ramai rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun boleh memberitahu anda bahawa mereka telah bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama? Dan.... Aiman Ahmad Marzio boleh memberitahu anda mengenainya. Ketika ini pelajar teater di Interlochen Center For The Arts di Michigan, Amerika Syarikat, Aiman membintangi Hello From Malaysia (Hello Dari Malaysia), sebuah filem pendek yang diarahkan oleh rakannya, Kira Bursky untuk Festival Filem Pelajar Rumah Putih 2014. Filem ini menewaskan lebih 3,000 penyertaan untuk menjadi salah satu daripada 16 video yang ditayangkan di Festival Filem Pelajar Rumah Putih pada 28 Februari. Aiman (kanan) yang berbaju kebaya hijau mungkin nampak tenang tetapi di dalam fikirannya berkata, "Saya berdiri di hadapan Obama!!!". Disebabkan ia menjadi salah satu keperluan untuk bercakap mengenai peranan teknologi dalam bilik darjah, filem itu melihat seorang gadis Amerika (yang dimainkan oleh Maddy Boveri ) berkawan dengan Aiman, yang mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya di Amerika Syarikat, dengan mempelajari tentang bagaimana untuk bercakap Melayu menerusi Internet. "Kami tidak menjangkakannya. Kami fikir walaupun kami dipilih, filem kami akan ditayangkan dan itu sahaja. Dan jika seseorang yang perlu pergi (ke Rumah Putih), ia adalah Kira, bukannya saya. Tetapi saya mendapat peluang untuk pergi ke sana dan ia benar-benar sesuatu yang amat disyukuri," kata Aiman. Walaupun keseluruhan kunjungan dari Michigan ke Washington DC mengalami kesulitan berikutan waktu penerbangan ditunda, ia sesuatu yang berbaloi buat Aiman, yang belajar di Amerika Syarikat sejak Ogos tahun lalu, berpeluang berjalan ke dalam ruang Sayap Timur di Rumah Putih. "Kami dapat melihat sekeliling bilik di Sayap Timur yang dibuka untuk kunjungan kami. Kami pergi ke perpustakaan kecil, dan selepas itu, kami dibawa ke Bilik Makan Negara di mana kami berjumpa dengan Obama. "Kami bercakap dengan Bill Nye pakar sains, pakar astrofizik Neil deGrasse Tyson dan kakitangan White House. Kemudian beliau masuk," kata Aiman tersenyum lebar mengimbau kembali kenangan manis. Sudah tentu, kami hanya perlu bertanya mengenai apa yang beliau suka? "Saya begitu menghormati beliau. Apabila beliau datang berjumpa dengan kami, langsung tidak ada sifat kepura-puraan dalam diri beliau. Beliau begitu terbuka dan memberikan perhatian kepada kami semua, malah selepas dua jam beliau bertemu dengan kami, beliau perlu berurusan dengan tentera Rusia yang memasuki Ukraine. Beliau bercakap kepada kami selama 10 minit," imbasnya kembali. Aiman berpeluang melawat Perpustakaan Rumah Putih ketika dibawa melawat sekitar Sayap Timur di Rumah Putih. Bagaimanapun, peluang bertemu dengan Obama bukan satu-satunya perkara yang menarik mengenai Aiman kerana banyak lagi tarikan lain tentang gadis ini. Dia menghabiskan sekolah rendahnya di sekolah Cina, menamatkan sekolah menengah di Cempaka International Ladies College dengan biasiswa penuh, dan menerima biasiswa lain untuk kajian teater di Interlochen. Dan bukan itu sahaja. Aiman baru-baru ini dianugerahkan biasiswa penuh untuk Global Citizen Year 2014’, yang merupakan sebuah program pengantara tahunan yang menghantar peserta kepada masyarakat luar bandar di negara-negara di seluruh dunia selama tujuh bulan. Ia hanya terbuka kepada rakyat Amerika, tetapi Aiman menulis kepada mereka secara berterusan, dan akhirnya dibenarkan untuk memohon. Aiman dan rakannya, Kira masing-masing tersenyum lebar dan berbangga memperoleh Sijil Pemilihan Rasmi di Rumah Putih. Jadi, perjalanan Aiman seterusnya diharapkan di Senegal, di mana dia berhasrat untuk terlibat dalam inisiatif memperkasakan wanita atau pendidikan. Pilihan-pilihan lain ialah Brazil dan Ecuador, tetapi Aiman memohon Senegal kerana "daya tarikannya dengan budaya Afrika", dan kerana ia adalah sebuah negara yang menggunakan bahasa Perancis, yang akan membolehkan Aiman untuk mempertingkatkan lagi penguasaannya dalam bahasa Perancis. Tetapi sebelum itu, Aiman perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya AS$2,500 (RM8, 200) untuk Dana Global Citizen Year Fellows, dan mengikuti program latihan kepimpinan di Universiti Standford pada Ogos, sebelum mereka menghantarnya ke negara yang dipilih mereka pada September. Ketika ditanya sekiranya dia mempunyai nasihat kepada mereka yang mahu belajar di luar negara, Aiman menasihatkan supaya "berpegang teguh kepada identiti diri sendiri" kerana berdasarkan pengalamannya, "orang menghormatinya dan benar-benar tertarik dengan kekayaan budaya dan nilai-nilai kita". "Jadilah diri sendiri tetapi cuba untuk belajar mengenai orang lain dan perspektif mereka. Saya rasa melihat dunia dan bertemu ramai orang sesuatu yang amat dihargai. Anda dapat banyak belajar mengenai orang lain dan diri sendiri. Dan bagi saya, itulah kehidupan sebenar!"