JAYA Supermarket, bangunan tinggi pertama di Seksyen 14 pada era 1970-an, pernah diangkat sebagai mercu tanda Petaling Jaya dan menjadi kebanggaan penduduk di sekitarnya suatu ketika dahulu. Pusat beli- belah itu mula dibuka pada 1974 dan beroperasi buat kali terakhir pada 2008 untuk menjalani transformasi besar-besaran seiring peredaran zaman. Ketika proses menaik taraf pusat tersebut, reputasinya sebagai ikon komuniti terjejas apabila bangunan itu runtuh pada 28 Mei 2009. Namun, era kemasyhuran pusat beli-belah itu memasuki episod baharu apabila ia akan membuka pintu kepada umum pada Isnin (28 April 2014). Tampil dengan imej moden dan dikenali sebagai Jaya Shopping Centre (JSC), pusat beli-belah setinggi tujuh tingkat itu menyediakan 180 lot kedai yang bakal mewarnai atmosfera baharu di Petaling Jaya. JSC bakal menyaksikan kepulangan 30 peratus penyewa lama, ketika era kemasyhuran Jaya Supermarket sekitar 1980-an. Ia menempatkan gabungan penyewa seperti Cold Storage, Nelson Corn-In-A-Cup, TGV Cinema, Adidas, Best Denki, Brewball Pool & Karaoke, The Body Shop, CIMB Bank, restoran Chili’s Grill & Bar, Cobay, Hing’s Watch, Original Classics dan Toys ‘R Us. Detik pembukaan JSC sudah tentunya dinanti penduduk bandar itu yang menyifatkan ia sebagai sebagai pusat beli-belah bersifat komuniti sejak 40 tahun lalu. Jaya Supermarket di Seksyen 14 pada era 1970-an, pernah diangkat sebagai mercu tanda Petaling Jaya dan menjadi kebanggaan penduduk di sekitarnya suatu ketika dahulu. Tinggal Kenangan. Diawal pembukaan pusat tersebut sehinggalah ia ditutup pastinya meninggalkan memori dan kesan mendalam kepada setiap penduduk di sekitarnya. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad Petaling Jaya, Lee Chen Yoong, 30, menyifatkan pusat beli-belah itu sebagai 'pilihan utama' untuk lepak ketika zaman remajanya. Beliau akan menaiki bas nombor 13 selepas waktu sekolah untuk pergi ke Jaya Supermarket. "Saya turut tindik telinga tanpa pengetahuan ibu bapa di salah sebuah gerai yang menawarkan perkhidmatan itu di Jaya Supermarket," katanya. Christina Low, 31, yang pernah bekerja separuh masa di Starbucks Jaya Supermarket menjadikan Hing's Watch untuk membeli koleksi jam tangan kegemarannya. Menurutnya, pusat beli-belah itu merupakan 'tempat popular' untuk dikunjungi selepas waktu sekolah terutama dalam kalangan bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kampung Tunku, SMK Sri Aman, (L) Bukit Bintang dan SMK (P) Assunta sejak era 1980-an. N. Theresa berkata dia tidak pernah lupa aroma biskut Famous Amos di pusat beli-belah itu. "Saya singgah membeli biskut Famous Amos selepas selesai melakukan tindik di telinga di kedai emas Poh Kong buat pertama kalinya. Aroma biskut tersebut seolah-olah menyelubungi segenap ruang legar Jaya Supermarket," katanya. Lim C.Y. berkata beliau akan pergi ke pusat beli-belah itu untuk melakukan pemeriksaan gigi. "Saya memakai pendakap gigi dan perlu melakukan pemeriksaan di sebuah klinik gigi yang terletak di atas pusat beli-belah itu," katanya. Jaya Supermarket pada 1990an yang melalui beberapa pengubahsuaian. Peruncit asal. Perniagaan francais tempatan dengan produk berasaskan jagung, Nelson's Corn merupakan peruncit asal yang akan kembali mewarnai atmosfera JSC. Produk jagung dalam cawan yang diperkenalkan pengasasnya, Datuk Nelson Kwok pada 1985 menjadikan Jaya Supermarket sebagai lokasi pertama produk tersebut. Kwok berkata sejarah lama Jaya Supermarket masih wujud dalam diri penyewa kedai dan setiap warga Petaling Jaya. "Dulu kedai jagung saya terletak di bawah tangga, dekat pintu utama Jaya Supermarket. Bila orang masuk, bau harum jagung yang dimasak terus memanggil-manggil pelanggan. "Dengan pembukaan JSC ini, Nelson's Corn akan tampil dengan imej baharu dan dilengkapi kemudahan tempat duduk bagi memberi keselesaan kepada pengunjung," katanya. Atmosfera Baharu. Pengarah Jaya Seksyen 14 Sdn Bhd, Ismail Ani Arope berkata pembukaan JSC yang berwajah baharu akan membantu menghidupkan kembali atmosfera di Seksyen 14. "Kita semua tahu bagaimana JSC adalah sesuatu yang penting kepada penduduk di sekelilingnya, bagaimana ia memberi keselesaan, inspirasi dan menjadi simbol kemegahan mereka. Sehubungan itu standardnya dipertingkat mengikut kehendak pasaran yang lebih tinggi dan sofistikated," katanya.